Entri hari ini berkaitan dengan mendidik anak-anak istimewa, autisme. Selama 5 tahun ummi bersama mereka di SMKTUN. Kerana rasa ingin melakukan sesuatu buat bekal di akhirat nanti, ummi telah membuat keputusan mengejut dalam diri ummi sendiri.
Sebenarnya memang tidak pernah terlintas difikiran yang suatu hari nanti ummi akan mengajar dan mendidik insan-insan istimewa ini. Bersama mereka, ummi dapat merasai kebahagiaan dan kasih sayang yang tulus dihati mereka.
Selepas peperiksaan SPM diumumkan, ummi terus memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Memang cita-cita dari kecik suka menjadi guru, maka ummi memohon kursus pendidikan di dua buah universiti tempatan. Aku pilih UTM dan UPM. Kedua-dua permohonan ini, ummi sempat dipanggil untuk melalui temuduga. Namun akhirnya ummi memilih untuk melanjutkan pelajaran di UTM, Jalan Gurney,Kuala Lumpur dalam bidang Integrasi Sains Serta Pendidikan, pengkhususan Fizik, Kimia dan Matematik.
Setelah tamat pengajian dengan memperolehi diploma , ummi ditawarkan untuk meneruskan hingga ke sarjana muda, tetapi ummi menolak kerana sedang hamil anak kedua. Setelah 3 tahun menganggur, barulah ummi dipostingkan ke sebuah sekolah di Kulai, Johor. Ummi berada di sekolah pertama ini selama 5 tahun, sebelum bertukar ke sekolah kedua di Taman Universiti, Skudai.
Ummi berada di sekolah SMKTUN ini selama 15 tahun. 10 tahun pertama berada di sini, ummi dilantik mengetuai organisasi pusat sumber sekolah. Semua yang berkaitan buku, peralatan ABM, APD, multimedia dan alat siar raya sekolah di bawah kawalan dan penyeliaan ummi. Subjek yang ummi ajar selama berada di sekolah ini hanyalah geografi tingkatan 3. Ramai juga tertanya-tanya bagaimana seorang guru geografi mampu mengendalikan alat siar raya sekolah. Sebaiknya yang mengendalikan alat siar raya ini adalah guru Fizik dan paling kurang guru sains.
Sebenarnya mereka tidak tahu kelulusan asal ummi di universiti dulu disebabkan ummi lebih banyak masa mengajar geografi. Bila dimaklumkan pengkhususan ummi semasa di universiti, barulah mereka faham. Memang bidang yang ummi ceburi ini berbeza dari ilmu yang dituntut semasa di universiti. Namun kerana minat dan merasakan ia satu tanggungjawap, maka segala berkaitan pusat sumber, buku, peralatan multi media, siar raya dan juga subjek geografi ummi belajar dari A-Z. Pengetahuan ummi zero, namun dengan kesungguhan ummi untuk menunaikan amanah, ummi pelajari tiap perkara dengan lapang dada dan hati terbuka.
Ummi jalani berbagai kursus, ummi pergi ke sekolah lain untuk bertanya, menuntut ilmu untuk menguruskan sebuah perpustakaan dan pusat sumber. Langsung ummi tidak malu untuk belajar dan bertanya pada sesiapa sahaja yang sudi untuk memberi tunjuk ajar. Ummi sering membuat lawatan ke sekolah-sekolah contoh dan pusat sumber negeri.
Memang tidak ummi sangka, dengan minat yang tinggi, dan sokongan zauj terhadap kerjaya ini, komitment ummi sendiri terhadap pusat sumber dan perpustakaan, ummi merasai kepuasan. Ummi lebih banyak berinteraksi dengan benda tidak bernyawa disamping pustakawan yang rajin membantu, sehingga hubungan ummi dengan mereka erat dan mesra.
Di ketika kemuncak ummi berada di organisasi pusat sumber sekolah, dan ummi sendiri telah di berikan kursus sehingga peringkat kebangsaan , pernah menghadiri kursus Literasi Maklumat oleh KPM, tiba -tiba ummi menukar haluan ke arah pendidikan khas.
Suatu hari, selepas solat zohor, tiba-tiba ada lintasan hati datang, menyebut pendidikan khas. Mulanya ummi tidak ambik hirau, tetapi suara hati menyebut pendidikan khas ini makin kerap, maka dalam diam , ummi pergi berjumpa dengan PK 1 sekolah, mohon dihantar berkursus pendidikan khas. (Ingatlah, bila datangnya lintasan atau suara hati menyuruh kearah kebaikan, maka bersegeralah ambil perhatian dan bertindak, ia cuma datang sekali sahaja.)
Sebulan selepas itu, ummi dipanggil menjalani kursus asas untuk mendidik anak-anak istimewa. Dalam kursus itu, ummi didedahkan dengan teknik dan kaedah , mengenalpasti anak-anak istimewa. Namun semua itu teori sahaja. Pengalaman sebagai guru biasa di kelas normal banyak membantu ummi dalam mendidik anak-anak istimewa ini .
Pada tahun berikutnya, 1 Januari 2005, ummi dilantik menjadi guru Pendidikan Khas untuk mengajar anak-anak istimewa. Rupanya kebahagiaan yang ummi temui bila berada disini. Walaupun perlu kesabaran yang tinggi bila bersama mereka tetapi hati ummi sentiasa lapang dan tenang. Bahagia mendidik makhluk Allah yang bertaraf wali, kerana mereka diturunkan ke dunia tanpa dosa hanya untuk menguji para keluarga,guru, sahabat, jiran tetangga dan saudara mara. Pendek kata mereka dijadikan untuk menguji insan sempurna seperti kita.
Ada berbagai kategori anak-anak istimewa ini, down sindrom, autisme, hyperaktif, william sindrom, mental retanded, palsy celebral dan slow leaner. Entri ini ummi khaskan bercerita berkaitan anak autisme. Anak-anak istimewa ini semuanya sangat rapat dengan guru-guru.
Mendidik anak istimewa autisme memang memerlukan kesabaran yang cukup tinggi.Kita sukar untuk berkomunikasi dengan mereka. Mereka tidak memiliki perasaan,hidup dalam dunia tersendiri yang mereka cipta. Kita perlu memperuntukkan masa yang banyak untuk memahami kehendak mereka.Perlu membuat pemerhatian bagaimana untuk tackle mereka agar mahu menurut didikan yang ingin kita ajar.
Kadang kala mereka bertindak diluar dugaan kita,bertindak spontan dan tingkah laku jadi aggerasif apabila mereka diganggu oleh pelajar lain.Perlu memberi tumpuan individu apabila mendidik mereka untuk menulis dan menurut apa yang hendak kita ajar.
Disamping itu kita juga perlu memerhatikan bakat yang mereka miliki, apa yang mereka minat,agar mudah mengajar dan mendidik mereka. Contohnya, seorang pelajar autisme ummi mempunyai bakat dalam kerja seni,samada jahitan croshtich atau menggulung kertas untuk dibuat bakul atau kraf tangan. Cuma kita perlu memperuntukkan masa yang lama untuk mengajar mereka membuatnya.Kerja yang mereka buat sangat teliti dan kemas.
Ada antara anak autisme yang ummi ajar mempunyai keistimewaan boleh menyebut nama hari yang betul jika kita sebut suatu tarikh. Kita boleh pilih apa saja tarikh kedepan atau kebelakang dalam tempoh 50 tahun. Setiap tarikh yg kita beri,jawapan hari yang dia sebut mesti betul. Dia bukan ada jadual atau pun kiraan matematik pun.bila ditanya pada pakar,rupanya memang ada autisme memiliki keistimewaan ini. Jadi jangan kita pandang rendah kekurangan mereka kerana dalam kekurangan itu mereka dikurniaan keistimewaan oleh Yang Maha Perkasa.
Yang seorang lagi anak istimewa yang ummi didik mempunyai kelebihan dalam pengiraan umur. Dia ni rajin bertanya setiap orang yang ditemui,bilakah tarikh lahir. Lepas tu dengan pantas dia sebut umur orang tu dalam masa tak sampai 5 saat. Dah ramai orang yang menguji dia, termasuk ahli matematik.Pakar pun kata keistimewaan ini anugerah Tuhan. Rupanya dalam kekurangan ada kelebihan...
Teringat 4 tahun lepas, masa hari lahir 4 Februari 2005,bila kawan-kawan dari bilik guru buat surprised,datang ke kelas pendidikan khas bawa kek dalam kotak,coklat ,bunga dan hadiah.
Masa tu ada seorang anak autisme yang baru seminggu masuk daftar.Ummi pun belum lagi dapat mengenali perwatakan nya secara dekat lagi.Pelajarnya tidak berkomunikasi dengan sesiapa pun,tidak mahu berkawan, pendiam kerana tidak boleh bercakap, dan suka menyendiri.
Tiba-tiba bila nampak kek dan hadiah yang dibawa oleh kawan-kawan ummi, dia melompat dan bertepuk tangan,terus merampas hadiah dan dikoyakkan pembalut hadiah tersebut. Bunga dihancurkan. Lepas tu dia nak kek pulak, oleh kerana takut dia hancurkan kek tu, seperti bunga, ada pelajar lain larikan kek tu bawa keluar kelas. Dia mengamuk dan meronta-ronta menghentakkan kepalanya ke dinding sambil meraung-raung tanpa butiran perkataan.Dia mengamuk mencederakan diri sendiri.
Terkejutnya ummi, itulah pertama kali berhadapan anak autisme yang kronik.Di pujuk tak mahu, ummi peluk,tapi rupanya,walau pun perempuan, dia lagi kuat dari ummi. Masa tu ummi pakai gelang kristal pun direntapnya sampai putus. Kerana tak dapat mengawal keadaan dia,ibu bapa terpaksa dipanggil.
Diceritakan pada ibu bapanya, baru tahu bahawa anak ini tidak boleh lihat benda dalam kotak dan berbungkus. Bila nampak dia akan jadi aggesif. Tak tahu kenapa jadi begitu, mungkin ada sejarah masa lalunya. Tapi ibu bapanya tak mahu cerita punca dia jadi begitu. Selepas tu ibu bapanya bertindak memberhentikan nya dari sekolah.Sebagai guru, kami tidak mampu berbuat apa-apa jika itu tindakan ibu bapa. Kalau dilihat pada rupa paras,tak siapa tahu kekurangannya kerana rupanya sangat cantik,ayu dengan wajah kacukan. Tapi tiada siapa tahu rahsia Allah.
Semalam seorang anak autisme + hyperaktif,bernama Muaz Umair berusia 16 tahun,asyik bertanya;
" cikgu, mahram tu apa?"
" Muaz Umair, mahram tu mcm mak,kakak,nenek dan untie".
"Boleh pegang, ye cikgu"
" ye, muaz"
"muaz tak boleh pegang dan salam cikgu tau,
kita bukan mahram."
" cikgu, anjing tu haram ye?"
" ye, Muaz"
"boleh pegang anjing?"
"tak boleh, Muaz, anjing haram"
"pegang manusia,boleh tak cikgu?"
"manusia boleh pegang,manusia halal"
"Oooo...macamtu saya boleh la pegang cikgu,cikgu kan manusia,halal"
"yang haram, anjing"
"????"
apa ummi nak cakap lagi?
cara bercakap dgn mereka mesti lembut,
kena panggil nama penuh...
cuba baca dan panggil nama mereka dengan lembut,ada tona...
begitu lah cara mendidik mereka...
walaupun mereka ada kekurangan, mereka juga ada kelebihan untuk berfikir.
tapi mereka berfikir ikut logik.
Itulah kekurangan dan itu lah juga kelebihan.
Sekian untuk kali ini...
3 comments:
tersentuh hati membaca entri ini..
Itulah rahsia Allah. Dakapan sayang manusia terhadap anak istimmewa mesti mendidik mereka untuk berdikari.
Jangan dakapan sayang itu makin melemahkan mereka. Didik anakistimewa untuk boleh melakukan yang paling asas, terutama menyediakan makanan untuk diri sendiri agar suatu hari nanti mereka boleh menyuap nasi hasil dari titik peluh sendiri.
Assalamualaikum,
Jika tidak keberatan, boleh saya dapatkan e-mail cikgu..
Post a Comment