Kenapa saat ini, perasaan ini lain benar rasanya. Hati merasakan sesuatu yang makin hampir dan pasti terjadi setiap manusia. Hati berkata-kata telah sedia dan berharap pada keluasan rahmat Allah untuk menghadapi saat itu.
Kelesuan di dalam tisu-tisu jasad makin terasa walaupun zahirnya kelihatan sihat dan ceria. Tersedu seperti lepas menangis masih kerap terjadi. Seperti terdapat suatu kesedihan dalaman yang tidak kelihatan.
Setiap urat nadi,tisu-tisu di jasad ini sakit, terasa nyaman bila ada yang memicit-micit. Allah telah sampaikan hajatku, maka aku juga telah bersedia untuk dijemput pada bila-bila masa walaupun tidak ada manusia yang tahu bila saat dan ketikanya.
Maha Suci Mu Ya Allah, aku telah bersedia dan hanya berharap pada keluasan rahmat dan kasih sayang MU yang Maha Agung...
Kurniakan aku keluasan rahmat MU sebelum, di saat ketika dan sesudah kematian ku. Limpahkan aku dengan kasih sayang MU dan redha MU.Letakkan aku bersama-sama dibawah naungan panji syafa'at Rasul MU bersama ibu bapaku,anak-anak menantuku , embunku dan kaum keluargaku dihari pengadilan nanti dan seterusnya bersama-sama menuju syurga firdaus MU.
Hidupnya Insan Tiada Yang Abadi
Menunggu Saat Panggilan Azali
Hilanglah Nafas Tak Bergerak Lagi
Tanah Perkuburan Kita Bersemadi
Ya Tuhan Ya Allah Ya Rahmat Ampuni Kami
Mayat Terbujur Telah Dikafan
Dibawa Pergi Sanak Saudara
Di Kubur Tempat Akhir Pesanan
Tinggal Di Dalam Gelap Gelita
Ya Tuhan Ya Allah Ya Rahmat Ampuni Kami
Talqin Dibaca Ingatan Diberi
Kepada Semua Yang Hidup Lagi
Jadikan Tauladan Kesedaran Diri
Kubur Yang Sempit Siksa Sekali
Ya Tuhan Ya Allah Ya Rahmat Ampuni Kami
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
6 comments:
Kematian itu suatu yang pasti, hanya saja kita tidak mengetahui bilakah tibanya ajal kita. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa mengingati kematian dan berusaha menyiapkan diri dengan sebaik-baik bekal untuk menghadapinya. Satu kerugian yang besar sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan yang ingkar terhadap Allah swt. Lebih malang lagi apabila seseorang itu ‘dijemput pergi’ tatkala dirinya sedang bergelumang dalam lembah kemaksiatan.
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. [ali-Imran (3) : 185]
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendati pun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh, … [an-Nisa' (4) : 78]
Selesaikan amanah kita secepat mungkin, langsaikan hutang kita, tuntutlah kemaafan sekiranya dilakukan terhadap manusia, dan bertaubatlah sekiranya kita terlanjur melakukan dosa sebelum terlambat. Kita tidak tahu bila ajal akan datang menjemput kita, oleh itu pastikan kita sentiasa berusaha melaksanakan kesemua yang telah saya nyatakan tadi agar kita tidak menanggung beban tuntutan tersebut di hari pengadilan kelak.
Sekiranya amanah yang diberikan itu tidak mampu dilaksanakan secepat mungkin (tapi dalam masa yang sama, pastikan berkualiti), maka hendaklah kita memilih seorang yang boleh dipercayai untuk meneruskan amanah tersebut sekiranya ia melibatkan kepentingan umum.
Bagi yang berhutang pula, hendaklah ia melangsaikannya sebaik sahaja ia berkemampuan. Jangan sesekali ditangguhkan apabila sudah berkemampuan. Kepada pemberi hutang pula, janganlah didesak-desak penghutang untuk membayarnya sekiranya ternyata dia tidak mampu untuk melunaskannya buat masa ini. Pemberi hutang juga dianjurkan supaya menghalalkan hutang tersebut i.e. menyedekahkan sebahagian atau sepenuhnya kepada si penghutang, sekiranya keperluannya sudah mencukupi; sebagaimana firman Allah swt:
Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. [al-Baqarah (2) : 280]
Islam juga telah menggariskan beberapa panduan dalam urusan hutang ini, antara lain kita dikehendaki mencatit hutang kita. Rujuk kepada ayat 281 sehingga 282 surah al-Baqarah yang menyentuh mengenai perihal urusan hutang pemiutang ini.
Mengingati kematian bukanlah bererti kita mengabaikan urusan duniawi. Ada juga segelintir yang mengambil sikap acuh tak acuh terhadap dunia dan hanya fokus kepada ibadah dan hari akhirat. Sedangkan Rasulullah saw,insan yang paling hampir dengan Allah swt tidak pula mengabaikan urusan duniawi, baginda tidak pula menyeru para sahabat radhiallahu ‘anhum supaya berhenti daripada perniagaan ataupun pekerjaan mereka lalu memenuhkan masjid untuk beribadah sepanjang masa.
Sekiranya kita melakukan kesalahan terhadap manusia pula, hendaklah kita berusaha untuk mengakui kesalahan kita serta memohon kemaafan darinya. Tiada apa yang hendak dimalukan apabila kita memulakan permohonan maaf. Bahkan itulah yang dituntut oleh Islam.
Sudah menjadi lumrah dalam hubungan manusia, adakalanya akan berselisih faham sesama mereka. Tiada manusia yang sempurna, maka oleh itu sentiasalah menjadikan diri kita sebagai seorang pemaaf selaras dengan tuntutan syarak.
Jika kita ingin mengharapkan kemaafan, maka hendaklah kita menjadi seorang yang pemaaf terlebih dahulu.
Bagi yang telah terlanjur melakukan dosa kemaksiatan, maka hendaklah kita bertaubat seadanya dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Tiada manusia yang sempurna dan maksum melainkan Rasul Allah, oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam melakukan sebarang perbuatan dalam kehidupan seharian.
Dianjurkan juga untuk sentiasa beristighfar sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah saw sebanyak 70 (atau 100 kali) sehari.
Sedangkan Rasul yang maksum ini juga beristighfar saban hari, apatah lagi kita umatnya ini yang banyak berdosa dan ada yang bergelumang dalam lembah kemaksiatan.
Baguskanlah karyamu - Semua umurmu itu adalah masa di mana engkau hidup di dalamnya. Oleh kerana itu, maka baguslah kerjamu semampumu. Kerana kesempatan itu tidak mendatangimu sebanyak dua kali.
Post a Comment