بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.
Buat renungan bersama-sama anak-anak dan orang-orang yang ummi sayangi. Kasih ummi bersama kalian bukan untuk kegembiraan di dunia ini sahaja, tetapi ummi mahu bersama-sama kalian hingga di akhirat nanti juga.
Selagi usia masih berbaki dan kematian masih belum mengunjung tiba, maka hargailah perjalanan ini. Andai memilih untuk tidak menghargainya, bererti anda memilih untuk tidak menghargai diri sendiri. Kehidupan ini simbol hubungan kita dengan Allah s.w.t.. Berjalanlah menuju Allah s.w.t. dalam kehidupan kita, nescaya kita dapati Allah s.w.t. lebih lagi mendekati kita. Malah, tanpa Dia mendekati kita, siapalah kita untuk mendekatiNya.
Dengan menghargai kehidupan yang sebagai sebuah perjalanan, mudah-mudahan memberi suatu fokus yang mendalam dalam diri kita untuk sentiasa memanfaatkan masa-masa yang masih tersisa dengan ketaatan dan dengan menunaikan tugas kehambaan diri kepada Allah s.w.t..
Perjalanan hidup ini menuju suatu kepastian. Kematian itu pasti datang sebagai tanda kesudahan bagi suatu perjalanan. Malah, setiap yang pasti datang itu terlalu dekat. Permulaan kehidupan itu adalah peluang. Pertengahan kehidupan itu adalah perjalanan dan perlu lebih menghargai hari-hari yang mendatang dan meminta ampun atas kekurangan dalam mengisi hari-hari yang telah berlalu. Kesudahan kehidupan itu adalah destinasi, penutup peluang dan waktu mengambil keputusan.
Khas ditujukan buat anakku Muhammad Nur Iman, yang baru memulakan perjalanan...
Di permulaan perjalanan, kita perlu banyak mengharap rahmat Allah s.w.t. agar Allah s.w.t. membantu kita dalam menjalani sebuah jalan kehidupan menuju redha dan cintaNya. Kita tidak akan memilih jalanNya kalau bukan Allah s.w.t. yang memilih kita untuk menujuNya. Hanya dengan rahmat dan kasih Allah s.w.t. sahaja, Allah s.w.t. memilih kita untuk menujuNya agar mencapai redhaNya. Oleh sebab itulah, selalulah mengharap rahmat Allah s.w.t., agar kita menghayati di awal perjalanan kita menuju Allah s.w.t., bahawa kita sangat memerlukan kepada rahmat dan kasihNya.
Jika hari-hari yang telah berlalu dalam usia kita itu merupakan hari-hari yang kita tidak melangkah menuju Allah s.w.t., maka jadikan sekarang, hari ini, adalah permulaan perjalanan kita menuju Allah s.w.t. dengan mengharapkan bantuanNya di sepanjang perjalanan kita menujuNya. Kita justeru tidak akan berjalan menujuNya tanpa rahmatNya, maka harapkanlah sentiasa rahmatNya menemani perjalanan kita menujuNya. Jangan putus asa biarpun kita lambat memulakan langkah. Sesungguhnya, jalan menuju Allah s.w.t. itu pada siapa yang jujur, bukan pada siapa yang terlebih dahulu sudah melangkah menujuNya. Baru dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. bukan bererti suatu kelewatan dan sudah lama dalam perjalanan itu juga bukan bererti suatu keselesaan.
Ini khas ditujukan buat anakku Muhammad Ariff...
Jika kita sudah berada di pertengahan perjalanan menuju Allah s.w.t., maka kita sangat memerlukan keampunan Allah s.w.t., agar Allah s.w.t. mengampuni keterlanjuran kita tatkala menghabiskan banyak usia yang telah lalu tanpa ketaatan kepadaNya. Hanya dengan keampunan terhadap keterlanjuran yang lalu, dapat membantu kita terus fokus dalam menunaikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t. di hari-hari yang mendatang. Oleh kerana itulah, bulan Ramadhan itu dijanjikan keampunan Allah s.w.t. di pertengahannya, kerana bagi mereka yang menghayati sebuah perjalanan menuju Allah s.w.t., maka pasti menghayati betapa pentingnya keampunan Allah s.w.t. di sepanjang perjalanan kita menujuNya kerana perjalanan kita menujuNya tidak pernah sunyi dari kecelaan, dosa, kesalahan dan sebagainya. Hanya pengampunan dari Allah s.w.t. terhadap dosa-dosa yang telah lalu akan menjadi kekuatan dalam terus menuju Allah s.w.t. dengan menunaikan kehambaan kepadaNya.
Buat peringatan semua anak-anak dan orang-orang yang amat ummi sayangi...
Hujung perjalanan kehidupan itu adalah waktu menerima keputusan. Tiada lagi peluang. Yang ada hanyalah debaran, penyesalan atau keseronokan. Pada ketika itu, cukuplah bebas dari api neraka itu sebagai suatu keputusan yang sangat bermakna buat setiap hambaNya. Barangsiapa yang bebas dari api neraka akan dimasukkan ke syurga. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalam syurga, maka dialah orang yang berjaya. Oleh yang demikian, di penghujung perjalanan, mendapat keputusan bebas dari api neraka itu adalah suatu keputusan yang sangat mengembirakan para hamba Allah s.w.t.. Maka, oleh sebab itulah, Allah s.w.t. membuat ilustrasi kecil pada bulan Ramadhan, di mana di akhir bulan tersebut, Allah s.w.t. menjanjikan pelepasan atau bebas dari api neraka. Ini kerana, kesudahan usia kita, kita sangat memerlukan pelepasan dari api nereka yang merupakan natijah dari rahmat dan keampunan Allah s.w.t...
Wahai semua anak-anak yang ummi sayangi, marilah sama-sama kita berjalan menuju ke pada Allah dengan melangkah dijalan yang DIA redha. Seanyum tangis ummi bersama - sama kalian bukan untuk di dunia ini saja...
Sesungguhnya ummi amat sayang kepada kalian...
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment