BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 18 October 2014

Teruslah Berbuat Kebaikkan


Teruslah bantu orang lain
Memulakan langkah untuk suatu kehidupan baru bukanlah mudah. Ia perlu sokongan bukan sahaja kewangan tetapi sokongan rohani dan emosi.

Bukan mudah seperti kita semua mendapat kerja baru. Cari kerja, hadiri temuduga dan mulakan kerja.

Ramai yang mempersoalkan kenapa Baitus Solehah masih membenarkan pelatih yang telah 3 bulan melahirkan bayinya masih berada di sini. Mudah sahaja cadangan, "suruh aja mereka keluar cari kerja." Atau " Wah bestnya, duduk rumah jaga anak, semua benda orang support."

Kita tidak berada ditempat mereka yang trauma dengan kisah kejam yang terpaksa mereka tanggung. Ditambah lagi apabila tidak mendapat sokongan keluarga. Ada keluarga yang asyik suruh beri anak tu pada keluarga angkat. Ada keluarga yang langsung tidak mahu menjemput walaupun anak itu telah bertaubat dan berubah. Keluarga masih memikir yang anak mereka tu jahat, tidak dapat dikawal dan telah mengaibkan keluarga.

Apakah ada manusia yang tidak pernah buat silap? Apakah ada insan yang sempurna, terhindar dari melakukan kesalahan dan dosa. Allah telah menyediakan satu peluang iaitu taubat. Pintu yang paling luas tanpa ada sempadan ialah pintu taubat. Dengan sifat Allah yang Maha Pengampun dan Penerima Taubat, siapakah kita untuk terus-terusan menghukum mereka.

Mana ada insan yang rela untuk terus tinggal di rumah perlindungan melainkan dia memang menyerahkan diri untuk terus 'berkhidmat' semata-mata mencari redha Allah. Mereka pun nak hidup seperti orang lain, memiliki dan dimiliki. Tapi mudahkah? Mereka masih trauma, takut tersilap kali kedua, maka mereka bersabar dalam memilih pekerjaan agar tidak tersasar lagi. Keadaannya berbeza jika mereka mendapat sokongan keluarga.

Sangat gembira apabila seorang pelatih telah ditawarkan pekerjaan. Ini bermakna dia boleh memulakan kehidupan bersama bayinya. Namun adakah siapa memahami, untuk memulakan langkah perlu ada sokongan. Cuba imbas semula, mula-mula anda mendapat pekerjaan dulu, belum pun dapat gaji, bagaimana anda memulakan untuk mendapat tempat tinggal, pengangkutan ketempat kerja, pengasuhan bayi dan lain-lain? Apakah semua ini hanya kun fa ya kun? Apa yang mereka perlukan selain sokongan moral, emosi, jasmani dan rohani?

"ummi tu suka bagi lemak kat pelatih, duit poket nak pergi klinik pun ummi kasi untuk mereka beli jajan."

Ada ke jajan jual kat klinik? Kat klinik tu cuma jual air, buah potong, kerepek pisang atau ubi dan roti. Tak boleh ke, mereka membeli kerana teringin tengok orang kerusi sebelah makan kerepek pisang atau jambu batu.

Kalau ummi tak beri duit poket, mereka nak beli dengan apa? Mereka bukan ada duit. Duit simpanan jauh sekali. Harapkan keluarga beri, menjenguk pun jauh sekali apatah lagi nak beri duit poket lagi.

Keluarga mereka tak sama dengan kita, dari kecil sudah ada buku akaun sendiri, ada simpanan peribadi.

Oleh itu bantulah mereka yang mahu memulakan kehidupan baru ini. ramai yang tahu apabila diri hamil, mereka telah berhenti kerja dan tinggal di rumah perlindungan tanpa pengetahuan keluarga. Namun akhirnya, keluarga akan tahu juga apabila dimaklumkan. Ada keluarga yang terkejut dan dapat menerima dengan redha, dan ada keluarga yang tahu membuang terus dari memori mereka seseolah anak tu tak pernah ujud.

Ada pelatih yang menghargai dan rasa terharu dengan sokongan yang kita berikan, katanya, tak tahu bagaimana nak balas budi. Saya cuma kata, saya lakukan ini kerana Allah, di sini ada redha Allah, saya tak nak apa-apa dari kamu. Saya cuma mahu kamu terus mentaati Allah dan tolong orang lain pula. kamu ingat kebaikkan orang yang kamu terima, maka kamu teruskan melakukan kebaikan pada orang lain pula.

Jika kita semua terus menolong orang kerana ingat, ada orang pernah tolong ketika kamu susah dahulu, maka kerja kebajikan ini akan terus berjalan hingga hari kiamat. Saya nak kamu tolong orang lain pulak pada masa akan datang. Saya akan mati, dan dah tak dapat tolong orang lagi, jadi kamu yang akan meneruskannya. Kamu akan meneruskan kerja baik dari didikan dan tarbiyah ummi.

Itu saja pesanan saya pada mereka yang terharu dan menghargai masa-masa berada di Baitus Solehah. Yang ambil pengajaran dan pelajaran akan menghargainya, mana yang terasa Baitus Solehah telah mengongkong dan menyekat kehendak nafsu mereka akan merasa lega bila sudah keluar bebas dari Baitus Solehah.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: