BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 12 January 2010

Bunga Cinta Seorang Isteri


Hati ini berdebar-debar , namun seperti terasa kepuasan sebagai seorang isteri apabila suami telah mengucapkan redhanya kepada ku sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya.

Tidak ada apa lagi cita-citaku sekarang ini selain mengharap redha, rahmat dan kasih sayang Allah sebelum, semasa dan selepas kematian ku. Impian ku menjadi isteri yang suami redhai telah tercapai apabila suami telah melafazkan.

Itulah bahagia seorang isteri.Apabila dimarahi isteri perlu diam, apabila ditanya, jawap secara berhemah. Bila berkata-kata selalu fikir adakah kata-kata ku lunak untuk didengar atau akan menyakitkan hatinya.

Untuk menjadi isteri yang suami redha, tidak semestinya perlu sambut di depan pintu apabila dia balik ke rumah atau mahu pergi bekerja. Memang sebaiknya begitu, tetapi kadang-kadang kala kita juga ada kelemahan,tanpa sedari, mungkin ketika dia balik ke rumah kita sedang di bilik air atau sedang bekerja. Tidak sama zaman dahulu lagi untuk mendapat redha suami dengan sambut suami depan pintu, sebab setiap orang dah ada kunci pagar dan rumah sendiri. Nak masuk pagar rumah tak payah nak minta orang bukakan pintu, boleh buka sendiri.

Yang penting seorang itu sentiasa menyenang dan memudahkan urusannya.Apabila kita selalu memudahkan urusannya, selalu menjadi tangan kanannya, selalu menjadi pembantu peribadinya, selalu jadi setiausahanya, maka apabila ketiadaan kita, dia akan terasa. Macamana nak tahu, mudah sahaja, minta ke pasar dan pesan barang-barang lebih dari 2 jenis. Pasti suami tak ingat, dan akan call tanya semula apa barang yang mahu dibeli.

Sebab itu jika suami selalu minta tolong isteri uruskan hantar dan ambik anak-anak dari sekolah, atau bayar bil atau isi borang income tax atau apa-apa borang, maka buatlah dan isilah borang dengan lapang dada walaupun kita sebuk. Banyak manafaatnya bila kita menjadi tangan kanannya. Dan jika ada tarikh-tarikh atau perkara penting selalu kita yang ingatkan kerana dia akan terasa kita ini ibarat pembantu peribadi dalam semua urusan.Jangan kita kata, suami tu manja, atau tidak pandai berdikari atau tidak perihatin terhadap tarikh-tarikh penting atau nombor akaun bank atau nombor kad pengenalan kita.

Ini kerana bila kita sakit atau kita tak ada, dia seperti terasa patah tangan, seperti kehilangan, dan bila ini menguasai dirinya, secara senyap dia menghargai kehadiran kita walaupun tidak pernah mengungkap melalui kata-kata.

Selalu perempuan bangga jika dapat suami yang tahu serba serbi, suami tahu segalanya, sangat berdikari,maka jika kita tiada dia tidak rasa apa-apa kekurangan,maka tak ada apalah yang mahu dia kenang dan ingat pada kita lagi.

Oleh itu, jadilah tangan kanan suami dalam apa jua urusan hidupnya. Kita jadi kaunselor, jadi setiausaha, jadi tukang urut, jadi tukang picit, jadi co-pilot, jadi perancang kewangan dan sebagainya. Lakukan dengan ikhlas, maka jiwa raga kita akan bahagia dan ceria. Begitulah jika mahu menjadi isteri yang suami redhai.

Tidak semestinya kita ini seorang yang waraq baru dapat title isteri solehah, kuat ibadah, kuat beramal,yang penting kita menjadi seorang isteri yang sabar di hati dan syukur pada wajah. Pakej lengkap untuk jadi isteri yang suami redha ialah Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki. Jika isteri itu waraq, kuat beramal ibadah dan berjariah itu lagi lah baik dan dikira bonus kepada seorang suami atas kejayaan mendidik isterinya.

Dan ini pakej lengkap untuk menjadi isteri solehah dan diredhai suami, yang baik untuk diikuti semua para isteri. Bukan mudah kerana suami juga ada hati dan perasaan. Inilah tugas utama seorang isteri untuk dapat title solehah apabila diredhai oleh suaminya.Ummi titipkan di sini untuk dijadikan ia panduan dan pedoman semua para isteri.


Ciri-ciri isteri solehah

- Mengakui dan menerima kenyataan bahawa suami ialah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga.

Tiada siapapun boleh menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri.

Satu kurniaan Allah yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di dunia dan di akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan anak-anaknya.(boleh juga isteri yang mempunyai pendapatan share dengan suami, tanpa isteri ego dengan gajinya yang tinggi)

Firman Allah: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa: 34).

- Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tidak ada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suami.

Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh seorang isteri. Rasulullah s.a.w. menjawab, suaminya. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh suami. Baginda menjawab, ibunya. (Hadis riwayat Hakim).

- Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan terhadap isteri.

- Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami.

- Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya. (Riwayat Ibnu Majah).

Isteri wajib mentaati perintah suaminya selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak Islam. Tetapi sayangnya ramai di kalangan suami yang menyalahgunakan pengertian taat ini. Mereka mengambil kesempatan untuk membebankan isteri dengan pelbagai hal yang tidak wajar.

- Berusaha menambah ilmu pengetahuan dan mempertingkatkan nilai-nilai akhlak yang murni supaya sejajar dengan petunjuk yang diarahkan oleh Islam mengenai sahsiah seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh suami.

Sabda Rasulullah s.a.w., Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

- Mempunyai sifat redha, yakin diri serta tawakal kepada Allah untuk menghadapi sebarang masalah dan cabaran hidup berkeluarga selaras dengan firman Allah, "Bergaullah dengan isteri-isteri kamu menurut cara yang wajar dan baik. Sekiranya kamu berasa tidak senang disebabkan perangai mereka, bersabarlah mungkin dalam perkara yang kamu tidak suka itu Allah menjadikan kebaikan yang banyak." (An-Nisa: 19).

Walaupun ayat ini ditujukan kepada suami, pengajaran yang terkandung amat perlu menjadi panduan kepada para isteri. Setiap orang hendaklah menyedari hakikat bahawa tiada seorang pun yang cukup sempurna dalam segala aspek. Oleh kerana itu kita perlu berusaha memperbetulkannya dan menyelesaikannya.

Rasulullah memberi panduan, Janganlah seorang suami yang mukmin membenci isteri yang mukminah disebabkan tingkah lakunya. Jika ia tidak berkenan kepada satu daripada tingkah lakunya, tentu masih ada tingkah lakunya yang lain amat disenanginya. (Hadis sahih).

- Membantu dan menolong suaminya agar menjadi anak yang sedia berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, lebih-lebih lagi ibunya yang telah lanjut usia, uzur dan miskin kerana tanggungjawab anak lelaki lebih berat dan lebih utama terhadap kedua-dua ibu bapanya.

- Bersedia menjadi penyokong kuat kepada perjuangan suaminya iaitu perjuangan yang tidak menyimpang dari garis-garis yang dibenarkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w., Allah memberi rahmat kepada seorang isteri yang jika ia bangun malam dan solat, ia membangunkan suaminya supaya sembahyang bersamanya. Tetapi sekiranya suaminya enggan, direnjiskan air ke muka suaminya dengan penuh kasih sayang.

- Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang ramai.

Inilah sebahagian daripada sahsiah isteri yang seharusnya ada pada setiap wanita untuk mencapai kesempurnaan hidup berkeluarga dan mendapat keredhaan Allah yang diharapkan oleh setiap suami seperti doa Nabi Daud a.s.: ``Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dikurniakan seorang isteri yang solehah, yang dapat membantuku menyelesaikan urusan duniaku dan urusan akhiratku.''

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Untuk menambahkan kegigihan kita berusaha menjadi isteri salehah, ingatlah hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian.” (Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Begitulah, untuk menyediakan diri sebagai isteri solehah, hati kita hendaklah sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang rabbani.


"Dialah Allah dilangit dan dibumi.Dia mengetahui yang kamu rahsiakan dan yang kamu lahirkan dan mengetahui apa2 yang kamu usahakan" (Al- An'am: 3)



Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

0 comments: