BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 1 February 2010

HIDAYAH PETUNJUK ALLAH

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam.


Semalam 31 hb Januari, Ahad, ummi masih berada di Kuala Lumpur. Dengan pertemuan bermula dengan sapaan memohon nasihat telah membawa ke satu hubungan anak-ibu yang tidak diduga. Kiranya, pada baki usia yang ada ini, Allah masih mengurniakan ummi seorang anak lagi. Tanpa ummi rancang dan ummi duga, ibarat baru melahirkan , ummi gembira dengan anugerah Allah ini. Inilah tarikh keramat yang akan ummi ingat , permulaan sebuah cerita dan kisah kehidupan,January 23, 2010, 07:53:29 AM


"assalamualaikum ya umi....
adapun saya ingin meminta sedikit nasihat..
saya seorang mualaf, dah convert 3 thn, masih bujng dan tinggal seorang diri..
adapun saya ini sangatlah rapat dgn ibu saya, jadi saya sangat selesa sekiranya setiap masalah saya dapat berbincang dengan seorang wanita...adapun masalah ini tidaklah dapat saya bincangkan dgn ibu saya sebab ini memang masalah berkaitan dengan ibu saya...


masalah saya,,,,saya teringin sangat nak bagitau ibu saya yang saya dah convert,,,tapi takut sangat,,,,saya sayang dia,,tak sanggup tengok dia menangis,ummi ada cadangan,,macam mana saya nak bagitau dia?"

Ummi yang memang seorang bersifat pengasih, memang mudah benar tersentuh hati bila didatangkan sapaan begini, maka bermulakan kisahnya...

Ikatan kasih sayang ibu- anak ini mudah benar terjalinnya. Ummi mengharap redha, rahmat dan kasih sayang Allah bersama dengan anak ini. Sesungguhnya, kita tidak pernah tahu apa yang telah Allah surat dan tetapkan pada kita. Bila Allah mengurniakan , maka terima lah dengan penuh syukur. Orang lain mencari-cari kasih sayang, tapi ummi dianugerahkan oleh Allah. Semoga kehadirannya teriring dalam  limpahan rahmat Allah keatas hidupnya juga. Akan ummi pelihara anugerah Allah ini dengan penuh kasih sayang.


Hidayah adalah milik Allah. Dikurniakan kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Tiada paksaan dalam beragama, masing-masing bebas untuk menyakini agama yang dia anggap benar. Namun untuk menerima cahaya Islam adalah hidayah dari Allah, dikurniakan kepada manusia istimewa yang dipilihNya.


Dia yang asalnya lahir dalam keluarga bangsa cina dan siam,berasal dari utara tanah air. Siapa menduga, dia yang terpilih. Sejak lahir pada 3 Oktober 1980, sebagai seorang bukan Islam, diberikan hidayah ketika usia menjelang 26 tahun. Sejak itu kehidupannya berubah , perlukan pengorbanan untuk meninggalkan semua perlakuan yang dilarang Allah dan melaksanakan tuntutan sebagai seorang Islam.


Terpaksa berjauhan dengan keluarga demi menjaga hati seorang ibu yang amat dia kasihi. Tidak mampu untuk dia melihat air mata ibunya bila mengetahui keIslamannya. Ummi tahu, betapa dalam kasihnya dia pada ibunya. Sebab itu hingga hari ini, belum terdaya untuk dia menyampaikan berita pengislamannya kepada ibu. Namun hatinya saban hari berdoa , agat ibunya juga diberikan peluang untuk mendapat hidayah Allah dan turut berusaha mencari kemanisan iman untuk kehidupan di dunia dan akhirat yang kekal abadi.


Dan dengan kehendak Allah ummi dipertemukan dengan dia. Dia yang menerima taufik dan hidayah Allah. Hidayah ini adalah sesuatu yang bernilai dan amat berharga. Dari hidup didalam kekufuran kepada cahaya Islam dan Iman. Semoga hidayah ini kekal hingga akhir hayatnya serta keturunannya. Moga dia bertambah kuat, istiqomah di jalan menuju kepada Allah.


Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah sahajalah yang dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, dari kemaksiatan kepada ketakwaan, dari kezaliman kepada keadilan, dari kegelapan kepada cahaya kebenaran dan dari kegelisahan kepada ketenangan jiwa.

        

Sehubungan itu, Allah berfirman maksudnya: Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman. (Surah al-An’am, ayat 125)
          

Jelas di sini bahawa Allah sahaja yang berkuasa untuk mengurniakan hidayah petunjuk-Nya kepada mana-mana manusia yang dikehendaki-Nya supaya beriman kepada-Nya. Orang yang mendapat hidayah Ilahi tersebut akan segera merasa lega dan lapang dadanya.
          

Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Berdasarkan definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa hidayah mempunyai pelbagai dimensi tafsiran, di antaranya hidayah Islam, hidayah al-Quran, hidayah Nabi dan para sahabatnya, hidayah kebenaran, hidayah jalan yang lurus dan sebagainya. Biar apa pun tafsiran dari sudut klasifikasi hidayah, namun pengertiannya yang beraneka itu tetap membawa maksud yang sama iaitu hidayah petunjuk ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi.


Kita dianjurkan  agar sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar. Lebih-lebih lagi perjalanan hidup yang penuh berliku semestinya ditempuhi oleh setiap insan menuntut sedikit sebanyak ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi agar kita  berjaya dalam hidup. Oleh sebab itulah, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah kepada setiap Muslim yang beriman kepada-Nya.   
        

Perlu diinsafi bahawa hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah kepada seseorang manusia sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan kepada keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia amat bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang manusia. Dalam erti kata lain, Allah hanya mengurniakan hidayah-Nya kepada hamba-hamba yang benar-benar beriman dan bertakwa sahaja. Firman Allah yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu; dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah Yunus, ayat 57) 
          

Selanjutnya, hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau kekeluargaan atau kaum kerabat. Dengan maksud lain, ada orang yang mendapat hidayah petunjuk dari Allah dan hidup bahagia serta taat kepada segala titah dan perintah Ilahi, akan tetapi anaknya adalah seorang yang amat derhaka kepada Allah dengan melakukan segala kemungkaran dan maksiat yang terlarang sebagaimana kisah yang berlaku kepada Nabi Nuh a.s. dan anaknya. Begitu juga Rasulullah sendiri dengan bapa saudaranya Abu Lahab.
          

Sebaliknya ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dengan dosa tetapi anaknya pula adalah seorang yang soleh dan patuh kepada ajaran Islam.
          

Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka bahawa orang yang selalu melakukan kejahatan itu susah untuk menerima kebenaran dan kesedaran serta tidak akan mendapat hidayah daripada Allah kerana hanya Allah sahaja yang berkuasa memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
          

Dari sini, dapat disimpulkan bahawa hidayah petunjuk adalah di bawah bidang kuasa Allah sahaja sehingga para nabi dan rasul sekalipun tidak mampu untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya. Ini kerana Allah menegaskan bahawa para nabi dan rasul diutuskan untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan serta menyeru manusia ke jalan yang benar dengan izin-Nya. Tentang mereka sama ada kelak akan menjadi orang yang memperolehi hidayah petunjuk atau tidak, urusan tersebut terpulang kepada Allah semata-mata. Bagi para nabi dan rasul, tugasnya hanyalah menyampaikan sahaja kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah sahaja.
          

Sehubungan itu Allah berfirman yang bermaksud: Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa jua harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. (Surah al-Baqarah, ayat 272)  
          

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat suci tersebut ialah terdapat beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir miskin perduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan orang yang masuk Islam, maka Rasulullah telah menegah daripada memberi sedekah kepada orang-orang musyrikin. Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana Rasulullah sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu turunlah firman Allah tersebut yang memerintahkan baginda agar terus memberikan sedekah kepada mereka.
          

Biarpun hidayah Allah itu menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada orang-orang bukan Islam kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah. Untuk itu, Islam telah menggariskan tiga kaedah berdakwah yang berkesan sebagaimana termaktub dalam firman Allah yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari  jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah al-Nahl, ayat 125)
           

Ayat suci di atas menegaskan bahawa dakwah yang baik dan berkesan seperti yang dianjurkan oleh Islam hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah berikut iaitu:-
                        ·      Berdakwah secara hikmah atau bijaksana
                        ·      Memberi pengajaran atau contoh teladan yang baik
                        ·      Bertukar-tukar fikiran atau berdialog dengan cara yang lebih baik .
           
          
Oleh itu, setiap Muslim sewajibnya mempergiatkan usahanya untuk berdakwah dan juga bersabar dalam menjalankan usaha-usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam agar ia mencapai matlamat yang disasarkan Islam iaitu keadilan Islam dan keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam segala lapangan hidup . Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan yang diterokai oleh orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi Allah ini.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: