بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Malam raya kedua, baru ummi anak beranak tiba di rumah arwah mak di Parit Haji Tahir. Rumah itu di diami oleh adik perempuan ummi yang ke 8. Adik ini telah berkahwin semasa arwah mak masih hidup. Dari kecik, adik ini tidak pernah kemana-mana, atau berjauhan dengan arwah mak.
Setelah semua kakak-kakak dan abangnya berkahwin, hany adik ini sahaja yang tinggal dengan arwah mak. Adik yang temankan arwah mak bila abah bermalam di rumah mak muda. Sebab itu bila ada orang melamar adik,mak nyatakan hasrat dan syarat kepada bakal suami adik, ia itu selepas berkahwin,mereka kena tinggal bersama dengan arwah mak di rumah itu.
Jadi setelah arwah mak meninggal dunia, kami 9 beradik sepakat bersetuju memberikan rumah itu kepada adik untuk dia mewarisinya.
Rumah itulah yang banyak memberikan kenangan kepada semua adik beradik. Rumah itu menjadi tempat berkumpul sekali sekala adik beradik, terutama ketika hari raya.
Bila ummi balik kampung, rumah itulah yang ummi tuju, singgah dan bermalam. Ummi amat selesa tinggal di rumah itu. Rumah yang terletak di tepi sawah padi. Ada telaga, parit dan tali air disekitarnya.
Bermula malam raya ke dua, kami bermalam di rumah itu. Walaupun masih keletihan,sempat juga kami anak beranak singgah beraya di rumah adik abah yang tinggal di sebelah rumah itu. Makan bihun sop. Kebetulan pulak ada sepupu ummi sebelah abah datang berziarah. Sepupu ini jarang dapat bertemu sebab setelah ayahnya meninggal, ibunya jarang dapat datang bawa ke rumah abah.
Bila beraya di kampung,ramai saudara mara dapat ditemui. Sebab itu ummi tak mahu beraya di rumah ummi di Johor. Kalau di kampung,dapat jumpa semua saudara mara jauh dan dekat.
Pagi raya kedua, zauj ke pasar beli ikan. Mana tahu ada tetamu yang datang. Tuan rumah tak ada, adik balik beraya di rumah mentuanya di Pahang. Maka ummi yang jadi tuan rumah,jika ada tetamu yang datang.
Jam 9 :00 pagi, anak angkat baru Norazlin, orang Iban Sibu,Sarawak, memeluk Islam 3 tahun lalu datang. Dia dari Ipoh nak ke Pulau Pinang, rumah sepupunya yang juga telah memeluk Islam.
Ummi bersama Nur Azlin,adik-adik dan anak-anak saudara.
Jam 10:00 pagi semua adik-adik dan kakak pergi ke rumah Pak su,adik abah yang bongsu. Adik abah yang bongsu ini tinggal di depan surau hujung. Meriahnya bila semua dapat bertemu di sana. Sepupu-sepupu dari sebelah abah ada. Anak angkah Dah pun semuanya ada. Memang lama tidak bertemu sepupu-sepupu ini sebab tinggalnya jauh-jauh. Mereka pun balik kampung sekali sekala sahaja.
Di rumah Pak Su Odhman
Sampai jam 12 :00 tengah hari, ummi balik ke rumah semula. Rasa kepenatan, walaupun baru sebuah rumah. Kat rumah paksu tadi ummi menolong berkemas di dapur. Sehingga waktu zohor, ummi berkemas di rumah semula dan masak nasi. Mana tahu ada yang ingin makan nasi.
Jam 2:00 petang, semua adik-adik nak pergi rumah adik lelaki ummi yang bongsu, tinggal di Alor Setangguk di Sg.Gedong. Zauj nak pergi bawa anak-anak. Ummi tak jadi pergi sebab ada anak angkat lelaki ummi yang nak datang dan beraya dengan ummi. Tak lama dalam pukul 2:10 petang , sebelum zauj pergi, Ariff pun sampai.
Ariff adalah anak angkat ummi yang ke 20. Ariff lambat sampai,walaupun bergerak awal dari Manjong. Katanya jalan jem di Bukit Gantang. Kesesakan jalan raya ketika musim perayaan di jalan bandaran adalah perkara biasa setiap tahun.Ini kerana limpahn kereta sanak saudara mereka yang balik kampung dan berziarah sana-sini.
Bila ariff sampai saja,ummi terus masakkan lauk. Ummi tahu ariff hanya suka makan nasi. Lauknya pun mudah, ikan goreng cicah air asam atau kicap cili api. Cumanya ikan tu mesti ikan yang segar.
Ariff duduk dengan ummi sampai petang bersama dengan anak angkat mualaf iban tu. kami berbual-bual. Abdullah tidak ikut rupanya ke rumah bapak di Alor Setangguk. Jadi Abdullah ada bersama -sama di rumah menemani ummi. Lepas asar, Norazlin balik ke Pulau Pinang.
Lepas maghrib, ummi ajak Ariff ke rumah sepupu di depan rumah arwah mak. Sepupu menjamu nasi berserta lauk pauk. Ada ikan wadi, ikan kering, air asam, sambal udang, ketam goreng , tolr dadar dan sop tulang. Berselera kami makan nasi setelah seharian asyik makan pulut lemang dan ketupat.
Lepas solat isya', pukul 9:00 malam barulah ariff beransur pulang ke rumah mak nya di utara. Ini adalah raya pertama Ariff beraya bersama ummi. Moga tahun-tahun akan datang Ariff tetap dapat beraya bersama-sama ummi.
Pada tahun ini juga adalah tahun pertama anak menantu beraya bersama-sama ummi. Ingatkan pada awalnya, semua anak -anak ummi yang telah berkahwin akan beraya di rumah mertua, tetapi lain jadi ceritanya.
Hanya Najdah ikut suaminya balik ke Terengganu dan Along dengan isteri ke Port Dikcson beraya dengan mertua. Nazihan dan suami , angah dan isteri beraya dengan ummi di Tg Karang sebelum bersama-sama balik ke Perak. Setelah menziarahi abah tok, barulah angah teruskan perjalanan ke Kedah,balik rumah mentuanya.
Nazihah masih ikut ummi beraya di Perak. Namun along yang kali pertama berjauhan dengan ummi, sejak dari hari Khamis lagi asyik telfon tanya khabar. Akhirnya,malam raya kedua, along bergerak juga dari Port Dikcson balik ke Perak menggunakan kereta bapa mentuanya. Along nak beraya dengan ummi. Along bersama ummi di Perak sehingga hari Rabu. Nazihah bersama ummi hingga hari Ahad, raya ke 3. Lepas tu Nazihah baru balik rumah mentuanya.
Raya ke 3 tu,sebelum Nazihah balik ke rumah mentua di Lekir, ummi bawa Nazihah dan suami pergi rumah adik abah yang kedua di Masjid Tinggi. Dalam perjalanan, singgah rumah Pak Tam Zainal di Taman Mutiara di Batu 6, dan rumah Pak Long di Batu 7, Jalan Bahru. Pak Tam dan Pak long adalah saudara seibu sebapa arwah mak.
Rumah - rumah mak dan bapa saudara adalah ziarah rutin setiap kali ummi dan zauj serta anak-anak balik ke kampung. Mereka telah berusia,dan wajib dilawati. Tak ada luaknya jika selalu menziarahi mereka. Disamping ziarah, ummi menunjukkan contoh kepada anak-anak juga agar meeka juga bersikap begitu terhadap mak-mak dan bapa saudara mereka apabila telah berusia lanjut.
Sedang pula, petang Ahad tu,Najdah sampai dari Terengganu. Najdah nak beraya dengan ummi pulak. Pagi Isnin angah pulak sampai dari Pulau Pinang. Pagi ni ummi merancang nak berziarah ke Kedah. Pergi walimah ustaz Nazrul di Kuala Nerang. Rumahnya jalan ke Tasik Pedu.
Jauh sungguh rupanya perjalanan ke sana. Kerana ukhuwwah silaturahim, ummi mengenali Ustaz Nazrul hanya melalui laman blognya sahaja. Ketika ini Ustaz Nazrul masih lagi menuntut di Universiti Azhar, Kaherah. Berkomunikasi di alam maya secara tegur sapa melalui komen di blog. Namun urusan Allah yang menghendaki ukhuwwah alam nyata terbina, maka dilapangkan masa kepada ummi dan zauj untuk menghadiri walimahnya.
Bermula tegur sapa di blog, membawa kepada perkenalan ummi dengan ibunya,Mak Teh Ta. Dari situ, tertanam hajat untuk bertemu dua beranak ini. Maka, kebetulan walimah jatuh pada raya ke 4, dan ummi masih di Perak, maka ummi ajak zauj pergi ke Kuala Nerang. Kembara Aidil Fitri ummi diteruskan lagi ke utara rupanya. Ummi belum pernah samai tempat ini.
Balik dari Kuala Nerang, singgah pula, rumah adik ummi yang ke 4 di Bandar Baru , Kedah. Dia dan suami buat open house. Di sini bertemu lagi saudara mara sepupu sepapat jauh dan dekat. Meriah juga sebab lama tidak bertemu.
Dari rumah Suhana, terus ke rumah, dan kepenatan. Nak berehat malamnya. Raya ke 5, rancangan nak beraya ke rumah Amat Kamal, adik lelaki ummi yang ke 6 di Parit Haji Wahab.
Di rumah Mohd Kamal di Parit Haji Wahab.
Janji untuk makan tengah hari di rumah Kamal. Jadi pagi tu,ummi bersiap-siap awal,seawal jam 8 :00 pagi ummi dan zauj pergi berziarah ke rumah kawan lama ummi di Taman Mutiara, Batu 6, berhampiran rumah Pak Tam Zainal. Ummi pergi rumah Fatimah, kawan ummi dari sekolah rendah, darjah 1 hingga sekolah menengah tingkatan 3. Fatimah tidak bekerja tetapi dia banyak mencari pendapatan sampingan untuk beramal jariah. Rumahnya menjadi pusat belajar Al- Quran untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Seronok berborak santai dengan dia suami isteri.Macam-macam kisah lama dibualkan. Hingga Jam 10:30 baru ummi minta diri. Dari rumah Fatimah,ummi terus ke rumah Kamal pula. Makan minum tengah hari sehingga masuk waktu zohor.
Lepas waktu zohor, ummi pergi pula berziarah rumah kawan lama sekolah rendah hingga menengah. Kawan satu kelas ummi,Fatimah dan Samsun Naila. Rumah Samsun Naila di Taiping. Samsun Naila menjadi guru. Kemudian ummi ke rumah sepupu bernama Mohd Saidi yang juga bekerja sebagai guru. Lepas itu baru ummi pergi ke rumah Siti Sharina, sepupu ummi, anak angah Dah yang bekerja sebagai jururawat. Semau rumah-rumah yang ummi ziarah di Taiping ini tidak pernah ummi zairahi sebelum ini. Memang sejak berkahwin 26 tahun lalu, ummi tidak pernah ke Taiping. Bila balik saja ke kampong,banyak rumah nenek dan mak saudara untuk dziarahi,jadi rumah sepupu dan kawan lama tidak berkesempatan.
Kini kebanyakkan nenek-nenek saudara telah meninggal dunia,jadi kurang rumah mereka yang tua-tualanjut usia untuk di zairahi pada tahun ini. Ini memberikan ruang untuk ummi menziarahi rumah kawan lama dan sepupu. Lagi pun sepupu-sepupu ini adalah sepupu dekat,anak mak-mak dan ayah saudara kandung sendiri.
Sebelum ummi mengakhir kembara Aidl Fitri,pada hari raya ke 6, rabu,rumah terakhir yang ummi pergi ziarah ialah rumah bekas Tuan Guru yang mengajar kitab-kitab di surau -surau kampong. Kini tuan guru itu telah uzur dan berpenyakit Dementia. Dementia adalah sejenis penyakit otak yang progresif. Ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian dan boleh menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan masa panjang. Selain itu pesakit dementia mengalami penyakit Alzheimer.
Tanda-tanda dan gejala Dementia
• Hilang daya ingatan yang menyebabkan masalah dalam pekerjaan atau perjalanan
kehidupan harian.
• Masalah dengan aktiviti yang biasa dilakukan, seperti memasak, mandi dan
mengenakan pakaian.
• Sukar mencari perkataan yang mudah, sukar menerangkan sesuatu, atau kerap
mengulangi percakapan (echolalia).
• Masalah dalam orientasi, contohnya kerap hilang arah walaupun di kawasan yang
biasa dilalui
• Hilang keupayaan membuat penilaian
• Masalah dalam pemikiran abstrak, misalnya mengalami masalah menentukan apa
yang ingin di beli semasa keluar membeli belah.
• Meletak barang di tempat lain atau kerap tertinggal barang.
• Perubahan emosi secara tiba-tiba, biasanya dengan tidak bersebab. Mereka mungkin
mengalami perubahan dalam tingkah laku.
• Perubahan dalam perwatakan, daripada seseorang yang peramah kepada seseorang
yang cepat marah, cemburu atau penakut (timid)
• Hilang minat dan kecenderungan dalam pekerjaan dan hobi mereka
Ujian Allah buat dirinya di hujung usia. Menguji bukan sahaja untuk dirinya tetapi orang-orang sekitarnya. Untuk tuan guru itu,dia telah tiada hukum sebagai seorang Islam mukalaf kerana langsung tidak ada sebarang ingatan lagi. Melihat kesabaran dan ketaatan seorang isteri menjaga suaminya membuat ummi terkenang kisah Siti Rahmah,isteri Nabi Ayub. Semoga Allah memberikan ganjaran buat dirinya dan suami.
Balik dari ziarah, ummi ke rumah Paksu Mohammad Isa dan Maksu Milah di tepi taliair. Mereka ini merupakan sepupu abah. Berbual seketika sebelum minta diri untuk berkemas-kemas.
Rancangan ummi, petang itu mahu balik ke Johor. Memang rancangannya mahu bergerak selepas waktu zohor. Selepas masak lauk, makan tengah hari, barulah bersiap-siap kemas barang ke dalam kereta dan bergerak balik menuju ke selatan. Sampai di Setia Alam jam 7 :00 malam, zauj rasa penat dan bermalam di sini pula.
Berehat satu malam, sebelum esok paginya Khamis 16 September,Malaysia di istiharkan sebagai cuti umum, awal-awal bersiap balik ke Johor. Perlu balik juga kerana, Abdullah akan bersekolah pada hari Jumaat. Abdullah akan menduduki peperiksaan UPSR pada hari Selasa.
Tiab di rumah Taman Pulai Utama pada jam 5:00 petang,hari Khamis. Perjalanan baik, tanpa ada sebarang kesesakkan lalu lintas di lebuh raya. Jumlah petrol yang di isi sepanjang kembara Aidil Fitri kali ini ialah RM 600.00 dan bayaran tol RM 400.00. Berakhirlah kembara AidilFitri tahun 1431 H.
Alhamdullilah,keadaan rumah baik dan terpelihara. Syukur kepada Allah yang memelihara rumah dan harta benda yang ada di dalamnya. Tidak terjadi 'black out' seperti tahun lepas yang menyebabkan bau busuk dari peti sejuk dan aquarium ikan. Tahun lepas,bila putus bekalan elektrik selama 5 hari (sebabnya berlaku petir, suis induk jatu dan lupa tinggalkan kunci kepada jiran untuk on kan semula). Kali ini ,ummi beringat dengan meninggalkan kunci rumah kepada jiran yang tidak balik ke kampong.
Sekian entri kembara Aidil Firi kali ini. Jauh perjalanan demi ukhuwwah dan silaturahim sesama insan . Suatu persaudaraan yang dituntut Allah dan Allah redhai persaudaraan ini. Perjalanan yang penuh rahmah dan kasih sayang.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment