BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 11 April 2010

Hargai nilai ibu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kepada sesiapa yang punya mak, hargailah. 

Mak ummi telah 4 tahun kembali ke rahmatullah. Namun rasanya macam semalam saja perginya. Kasih sayangnya masih segar dalam ingatan. Sentuhan tangannya, belaian dipipi terasa masih panas. Masih terbayang lagi senyumannya. Mungkin juga rasa ini masih subur dan diharap tetap subur kerana kasih itu lahir di hati dan dibajai di hati juga.

Ditambah lagi mak sering hadir di dalam mimpi - mimpi yang mungkin dianggap mainan tidor, tetapi bagi ummi itu adalah anugerah Allah untuk ummi mengubat rindu. Tidak pernah ummi melupakan mak walaupun telah bertahun mak pergi.

Mak, bilakah muna akan menyusul mak? Duduk berdua dengan mak seperti dahulu, muna suka mak baring, letakkan kepala mak atas paha muna. Masih muna ingat mak, akhir- akhir waktu muna bersama mak. 2 minggu sebelum mak pergi,muna balikkampung untuk ziarah mak.

Kita tidur berdua, sambil berbual-bual menyingkap kisah lama. Mak ceritakan, macamana susah mak untuk besarkan muna dengan adik-adik. Dengan rumah kita di tepi sawah, orang kata pondok pisang sesikat, beratapkan nipah.

Masih muna ingat mak, kita perlu angkut air guna timba bawa naik ke rumah untuk kegunaan harian. Kita guna air hujan yang ditadah dalam tempayan untuk minuman harian. Tiap petang muna kena cari kayu api, kena angkut bawa naik atas rumah. Orang lain dah guna dapur masak gas, tapi kita masih guna kayu api. Orang lain guna air paip, kita masih guna air parit dan air hujan untuk minuman. Kita mandi guna air telaga, sejuknya tak terkira kala mandi di subuh hari. Basuh pakaian pun guna air parit sahaja.

Jalan untuk sampai ke rumah kita sejauh 3 km, perlu melalui taliair yang bila hujan sangat becak/berlumpur. Sedangkan ke rumah orang lain, dah ada jalan raya, paling kurang batu kelikir supaya tidak becak bila hujan.

Untuk ke sekolah muna perlu berjalan kaki sejauh 3 km untuk sampai sekolah. Pernah ada basikal, abah belikan tetapi kena berkongsi dengan kakak, kadang-kadang saja muna dapat gunakan sebab kakak nak periksa, mesti kena cepat sampai sekolah. Muna perlu beralah. Dan kadang-kadang (sebenarnya selalu) bila naik basikal, muna jatuh parit, hingga tenggelam dengan basikal, habis baju kuyup dan buku basah. Muna tak cekap naik basikal, lagi pun muna berbaju kurung, berkain,jadi payah nak kayuh, kadang tersangkut pada rantai basikal. Tambahan bila berselisih dengan orang-orang tua/lelaki yang tak mahu beralah bagi jalan pada muna.

Kekerapan jatuh parit hingga tenggelam, menyebabkan muna serik nak tunggang basikal ke sekolah. Rela muna berjalan kaki, supaya buku tidak basah. Bila buku basah muna tak dapat menulis, buku kena jemur, untuk beli buku baru, tidak mungkin sebab yuran RM 3.00 setahun pun abah sukar nak bayar,apatah lagi jika nak beli buku baru. Muna tahu, muna ada ramai adik-adik, sedangkan abah cuma kerja buat sawah padi orang saja. Duit cuma dapat bila musim tuai padi. Antara musim mana ada duit untuk abah biayai persekolahan kami adik beradik.Tambahan pula dari kakak sampai anak ke 5 semuanya perempuan, adik ke 6 baru lelaki. Mana boleh bantu abah cari duit. Kami yang perempuan cuma boleh bantu abah buat kerja sawah padi sahaja.

Namun begitu, kita tetap dapat makan nasi tiap hari sebab, kita ada padi,kita tampi dan tumbuk sendiri agar jadi beras. Kita boleh memancing, menjala dan memukat ikan, untuk buat lauk harian. Mak pula rajin tanam sayur, mak tanam atas batas sawah pokok terung, pokok cili,pokok kacang bendi, pokok ubi keledek dan pokok timun. Kat tepi parit pula, mak tanam pokok ubi kayu, pokok jagung , pokok betik dan pokok pisang. Itulah makanan harian kita sehinggalah muna dapat sambung belajar ke KL.

Masih muna ingat, masa sekolah menengah, dah tingkatan 3, bila nak belajar waktu malam, muna guna pelita minyak tanah. Kami adik beradik duduk belajar dekat-dekat sebab cuma ada satu pelita sahaja untuk menerangi kegelapan malam. Lagipun nak jimat minyak tanah. Muna tetap gigih juga buat siapkan kerja sekolah dan ulangkaji. Muna tekad pada masa itu, mahu keluar dari kepompong kemiskinan hidup. Satu caranya hanyalah dengan menuntut ilmu, sebab nak kaya dengan harta tak mungkin kerana kita memang tidak berharta walaupun sekangkang kera.

Idola muna masa itu ialah Mak Teh Azizah, Mak Teh Azizah rajin belajar, dapat masuk UKM. Ketika tahun 2, Mak Teh dilamar orang, dan Mak Teh kahwin juga. Masa tahun 3 Mak Teh dah dapat anak, tapi Mak Teh tetap juga teruskan belajar sampai tamat degree. Mak Teh berjaya bawa keluar keluarganya dari kepompong kemiskinan duduk di kampung. Itu yang muna jadi rajin juga. Muna fikir, kalau muna tak kerja, sapa nak berikan mak duit tiap bulan? Sapa nak bantu mak biaya adik-adik sekolah?

Dan bila adik-adik dah habis belajar, dah kahwin, Allah takdirkan mak sakit pula, maka dengan duit itulah pula mak guna untuk biayai perubatan. 20 tahun mak sakit, akhirnya mak meninggal hanya disebabkan oleh angin ahmar/stroke selama 24 jam sahaja. Begitu mudah mak pergi dihadapan muna seorang diri.

Ketika itu, adik telefon muna khabarkan mak sakit dan di bawa ke Hospital Ipoh kerana angin ahmar, ada pendarahan di dalam otak mak. Masa itu muna masih di rumah muna di Johor Bahru. Bila dengar berita itu, terus Othman hantar muna ke Hospital Ipoh. Semua orang, adik-adik, kakak, abah yang selalu bersama mak, tidak ada depan mak waktu mak pergi. Allah pilih muna sorang saja untuk melepaskan mak pergi. Mereka semua selalu bersama mak, sedangkan muna hanya dapat setahun paling kurang 2 kali saja jumpa mak sejak muna berkahwin. Muna duduk jauh di selatan/abah selalu kata, muna duduk sisi langit, perjalanan nak jumpa mak ambik masa lebih 10 jam ketika belum ada lebuh raya. Mak selalu sebut, agaknya kalau mak mati, muna seornag saja tak sempat mengadap mak. Muna sedih bila dengar mak kata macam tu.

Siang malam muna berdoa, "Ya Allah, berilah aku kesempatan agar dapat bertemu dengan mak, sebelum mak pergi jauh dari dunia ini." Dan itulah yang telah Allah takdirkan buat muna, akhir hidup mak dihadapan muna. Muna sempat bersama mak selama 10 jam sebelum mak pergi. Dari jam 12 malam itu, kita tidur bersama-sama, mak berbaring di katil wad, muna cuma duduk di kerusi, tangan kita bergengaman sepanjang malam itu. Muna tahu walaupun badan sebelah kanan mak telah mati (tak bergerak dan berfungsi), mata pejam, mulut membisu, tapi mak tak tidur. Sebab bila tangan kita terlepas dari gengaman, tangan kiri mak teraba-raba cari tangan muna. Dan bila muna berbisik di telinga mak, muna kata,kalau mak faham apa muna cakap, mak gengam tangan muna, mak buat.

Bila azan subuh berkumandang dari masjid berhampiran, muna minta izin mak untuk berwuduk dan bersolat. Sambil tu, muna bisik kat mak, waktu subuh dah masuk. Kalau mak masih ingat,mak solatlah dalam hati. Selepas solat subuh, muna duduk tepi mak semula, muna buka surah yasin, tengah muna baca, muna dengar mak berdengkur 3 kali, muna ingat mak tidur...........

Tapi rupanya itu tanda mak kelemasan, tapi muna tak tahu, sehingga doktor tegur tanya , berapa lama mak berada di dalam keadaan begitu? Doktor bantu beri CPR pada mak, tapi jantung mak dah lemah sangat, doktor nak pasang mesin bantuan pernafasan, tapi muna tak beri izin, muna tanya , berapa lama masa dijangkakan mak akan pergi jika dipasang mesin itu, doktor jawap sekitar 2,3 jam sahaja. Muna cakap tak payah, sebab nanti akan menyakitkan mak, berikan masa yang ada ini untuk mua bersama dengan mak sahaja. Muna tak mahu mak sakit.

Bila tinggal berdua, mereka masih membiarkan wayar-wayar bersalut dibadan mak, wayar monitor untuk pantau jantung mak, muna lihat di monitor, graf masih tinggi julatnya. Muna gunakan masa itu dengan membisikkan khalimah syahadat di telinga mak. Tangan mak muna gengam, mak masih beri respon pada tangan muna, dan khalimah yang keberapa kali muna ulang-ulang ditelinga mak dengan harapan,hati mak ikut bacaan khalimah itu, akhirnya gengaman di tangan muna dengan mak jadi longgar, dan bahu muna di tepok oleh seorang doktor.

"Kakak, mak kakak sudah tak ada". Muna angkat kepala dari sisi telinga mak, memandang ke monitor, graf telah lurus. Muna pandang wajah mak, putih bersih tersenyum. Waktu itu, setitis air mata muna pun tidak mengalir, sebaliknya muna seakan merasa satu kepuasan yang membahagiaankan kerana dapat berbakti pada mak hingga akhir hayat mak. Rasa bahagia itu masih terpahat hingga hari ini. Mak mati dalam husnul khatimah. Sehingga mak di bawa ke kubur selepas di solatkan di rumah, muna tidak menangisi kematian mak. Muna dengan adik-adik yang mandikan mak, kapan kan mak. Terasa kami dah buat macam mak buat ketika kami baru dilahirkan dulu, mandikan dan pakaikan kami baju agar kami selesa. Begitu lemah lembut kami layan mak sebelum mak di bawa ke tempat persemadian akhir dunia ini.

Muna tak rasa sedih mak pergi, sebab macam dah tahu di mana tempat mak, namun untuk meringankan sekiranya masih ada dosa-dosa mak, muna suka meberikan hadiah pada mak setiap hari, agar keadaan mak aman di sana. Kesabaran mak hidup susah bersama abah, membesar dan mendidik muna dengan adik-adik telah mak dapat balasannya. Mak memang seorang muslimah yang qanaah dengan hidup ini. Dan itu yang mak didik pada muna dan adik-adik semua.Kami hidup seadanya , berusaha dengan gigih untuk hidup selesa pada hari ini. Kami tidak merungut dan merintih atas segala susah payah hidup dimasa lalu, sebaliknya berusaha dengan gigih untuk hari ini. Maka apa yang kami usaha, kami doa dan bertawakkal, itu yang Allah rancangkan buat kami adik beradik semua.

Walaupun tak ada adik-adik yang lepas muna, atau kakak yang berjaya ke Menara Gading, namum mereka berusaha dengan cara mereka untuk mencari rezeki. Ada yang berniaga cendol dan laksa, ada yang menjadi tukang jahit baju, ada yang buka taska, ada yang kerja kilang disamping meneruskan kegiatan mengusahakan sawah padi. Kakak sendiri pun untuk sara hidup hanya dengan membuat kuih sahaja. Namun kerana redha dengan apa yang telah Allah tetapkan , syukur dengan rezeki yang ada, bahagia tetap dapat diraih.

Begitulah sekadar perkongsian dan kenangan buat anak-anak semua...

Dibawah ini ummi ambik petikan dari akhbar, buat santapan.


Hargai nilai pengorbanan ibu


SAYA baru mengenali ibu gigih ini. Namun pautan kasih yang terjalin antara kami seakan-akan sudah lama. Hari pertama bertemu dengan wanita berusia 64 tahun itu, saya disajikan dengan paparan perit jerihnya membesarkan anak-anaknya.

Biar pun kami baru berkenalan, sentuhan kasih sayang keibuannya mudah menyerap, mengundang keselesaan untuk dia tanpa dipaksa mencurahkan rasa kepada insan yang baru beberapa jam hadir dalam hidupnya.

Rasa kagum saya terhadap kisah hidupnya bukan sedikit. Dia bersendirian -- biar pun ketika itu suaminya di sisi - untuk memastikan kesemua anaknya mendapat ilmu.

Bukan bermakna bapa kepada anak- anaknya tidak bertanggungjawab. Cuma dalam soal menentukan kepentingan ilmu, dia lebih peka dan berperanan.

Ketika anak-anaknya masih kecil iaitu sekitar tahun 1960-an dan awal 1970-an, ibu gigih ini berhijrah dari kampung asal bersama suami meneroka hutan membina sebuah dangau untuk berlindung daripada hujan dan panas.

Dangau tidak berbilik itu menjadi tempat mereka lapan beranak bernaung untuk tempoh yang agak lama. Kedudukan 'syurganya' itu juga terasing dan jauh daripada kediaman orang lain.

Dia dan teman hidupnya mengambil upah menoreh getah di kebun berhampiran dangaunya. Sambil merenung kisah silam, ibu yang telah kehilangan suami sejak lama dulu berkongsi kepayahannya.

Keadaan hidup yang sangat miskin sambil menyifatkan dia sekeluarga merempat di tempat orang, menyebabkan dia berhati-hati menjalani hidup.

Kasih ibu kepada anaknya

"Saya pernah membalut pokok-pokok getah dengan kain guni kerana bimbang anak-anak yang sedang nakal ketika itu merosakkan pokok tersebut," luahnya.

Kami bersembang mesra di dapur dan ketika bersama-sama memetik jantung pisang untuk dijadikan ulam hidangan makan tengah hari.

Keperitan hidupnya dirungkai dalam kemesraan itu. Betapa kesempitan hidup hampir saja menutup peluang anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sememangnya dia ibu bertuah kerana dikurniakan bukan sahaja anak-anak yang pintar malah memahami himpitan hidup ibu gigih ini.

Anak-anaknya hanya ada sehelai pakaian sekolah. Jika basah atau koyak, pakaian itulah yang mereka sarung setiap hari. Tiada rungutan jauh sekali memberontak. Kasut koyak juga dipakai mengharungi denai dan hutan berbasikal ke sekolah yang terletak jauh dari rumah.

Ada kalanya anak-anaknya tidak ke sekolah membantu ibu membanting tulang. Biar pun hidupnya kini semakin selesa, namun paparan perit jerih yang dilalui lebih 40 tahun lalu cukup untuk menggandakan kepercayaan saya tentang pengorbanan seorang insan bernama ibu.

Saya bertuah kerana dalam keadaan masih mempunyai ibu yang menatang saya umpama minyak penuh, saya dipertemukan pula dengan seorang lagi ibu yang sempat menumpahkan sedikit kasihnya kepada saya.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

6 comments:

noraidahsaian said...

ummi, aida menangis baca entri ummi ni.. sungguh besar pengorbanan mak ummi.. semoga mak ummi ditempatkan bersama orang2 mukmin di sana

MUNALIZA said...

Terima kasih aida, semoga Roh mak sentiasa dirahmati Allah. Hargailah mak selagi hayat mak masih ada. Gembirakan dia, jika itu membahagiakan hidupnya.

Walau siapa pun, jika lahir rasa kasih sayang dihati seorang ibu pada seorang yang dianggap anak walaupun bukan darah daging , tidak mengandungkan, tidak menyusukan atau tidak membesarkan tapi lahir perasaan kasih sayang itu, maka , hargailah juga kerana bukan semua ibu boleh menyayangi anak yang bukan anak kandungnya,asalkan itu juga boleh membuat hati ibu bahagia.Anak itu dikira mendapat ganjaran dari kasih sayangnya dan dipandang ibadah oleh Allah juga. Jadi Apa salahnya kita hidup berkasih sayang?

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Bukan semua perempuan/ wanita/ yang telah menjadi ibu mahu mengasihi dan menyayangi anak orang lain sama seperti anak sendiri. Bukan semua wanita, juga ibu, mahu mengambil tahu hal anak orang lain, kecuali hatinya penuh dengan rasa kasih sayang dan kecintaan kepada Allah SWT.

Ibn Nawi - Ustaz Nasrum said...

ummi,saya pun baru baca kisah ummi nie..sedih tersangat sedih..saya dapat rasakan pengalaman itu ketika arwah kakak saya yg meninggal baru2 ni...bila kita tgk depan mata secara life,berbeza dgn kita baca@tgk kisah org lain...pengalaman yg bukan semua org dpt...ceritanya yg x mamou diungkapkan dgn seribu bahasa...namun ketabahan ummi saya sanjung tinggi...menjadikan sy juga ingin mencontohi ummi...

Ibn Nawi - Ustaz Nasrum said...

kenapa?mengapa?kerana apa?sebab apa? ummi...seringkali soalan-soalan ini melingkari di fikiran nasrum.... soalan yg hampir sama, tp dlm bentuk yg berbeza-beza...(sukar utk diluahkan di sini)....tp yg pasti- kenapa ummi tulis cerita ini?

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Kenapa Ummi menulis cerita ini di sini? Asalnya laman blog ini laman peribadi sahaja. Ummi tidak paparkan pada umum. Ummi menulis sesuatu buat kenangan kepada anak-anak ummi disuatu masa nanti ketika ummi telah tiada.Sebelum ini ummi menulis dalam dairi dan pc peribadi.(terkenang suatu ketika dulu, bila doktor bagitahu masalah kerosakan hati ummi, balik dari hospital, ummi menjauhkan diri dari anak-anak sebagai persediaan agar mereka tidak rasa kehilangan ummi, dan ummi ingat pula, apa kenangan ummi untuk mereka jika ummi mati ketika itu,kesian mereka jika tak tahu kisah ummi mereka yang menderita sakit)

Laman ini awalnya dikunci dari pembaca kecuali yg ummi invite melalui email. Ummi anggap catatn peribadi. Tetapi lama-lama ummi berfikir, bagaimana ingin ummi menyampaikan sesuatu yang bermanafaat kepada masyarakat jika tulisan ummi,ummi simpan. Adakah nak tunggu ummi mati baru anak-anak ummi nak publish?

Dan ummi terfikir, adakah ada masa anak-anak ummi nak baca suatu ketika nanti. Memikirkan untuk perkongsian sesuatu yang bermanafaat, maka ummi bertindak publish dari sekarang. Sebab itu cerita ummi, ummi tak sentuh peribadi orang lain, hanya cerita peribadi ummi yang tidak menjatuhkan maruah dan mendatangkan aib pada ummi atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam penceritaan ummi. Boleh soroti dari awal penulisan ummi.

Paling utama, adalah buah tangan ummi untuk anak-anak ummi, sebab ada cerita yang mereka tidak tahu, mungkin ummi tak sempat cerita dan meluahkan. Tajuk laman ini pun, "menyelami hati seorang wanita".

Penulisan di sini bukan berkisar cerita semasa, ada juga cerita kenangan lalu yang boleh diambil iktibar dan teladan.Namun semuanya kisah benar yang telah ummi alami. Penulisan berdasarkan pengalaman. Samada orang setuju atau tidak, ini laman untuk ummi melukis rasa hati ummi. Sebenarnya ummi tak promote laman ni, namun ramai pula yang jumpa dan jadi follower.