BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 23 July 2010

Pelihara Tutur Kata mu Ibu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



SERING kita mendengar dalam kehidupan seharian, seorang ibu sering memarahi anak mereka di atas kenakalan atau kesalahan yang dilakukan.


Lantas mereka melaknat dan menyumpah anak mereka itu baik dengan kata kotor ataupun doa yang tidak baik sehingga menjadi kebiasaan.








Ibu tidak pernah merasa bersalah atau berdosa atas perbuatannya itu. Sambil bersungut dan mengumpat, si ibu meninggalkan permata hatinya itu menangis.


Memang tugas sebagai ibu di rumah tangga mempunyai tugas yang sangat berat, ibarat pekerja ibu mempunyai jam kerja yang tidak terbatas berbanding bekerja di pejabat selama enam hingga lapan jam.Selepas itu dia boleh beristirahat dengan tenang.


Sedangkan bagi ibu yang memiliki anak menjaga mereka 24 jam, belum melayani suami, memasak, mengurus rumah, menggosok pakaian dan sebagainya.


Aduh kasihan sungguh kaum ibu. Beruntunglah ibu yang suaminya menyediakan pembantu di rumah untuk meringankan tugasnya.


Bagaimana pula apabila suami tidak mampu? Tentu isteri yang perlu menyelesaikan tugas itu bersendirian dan biasanya apabila ibu keletihan di tambah pula dengan kerenah anak sudah pasti ibu tidak dapat kawal emosi.


Maka keluarlah cercaan, cacian, makian, laknat dan sumpah yang tidak baik kepada anak mereka.


Biasanya seorang ayah yang mendengar kadang hanya berdiam diri saja. Lalu bagaimana sebenarnya Islam memandang hal ini?


Memang apabila seseorang jauh dari penghayatan Islam yang mulia ini akan menyeret mereka dalam dosa dan maksiat bahkan mereka secara tidak sedar menzalimi diri mereka.


Kerana itu wajiblah bagi semua Muslim dan juga Muslimah mempelajari agama agar mereka terhindar dari apa yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang di perintah-Nya.


Islam melarang ibu bapa melaknat anak mereka, bukan hanya itu kita pun dilarang menyumpah diri kita sendiri ketika kita marah.


Sesungguhnya kita tidak mengetahui bila waktu yang kita ucapkan perkataan itu menjadi doa dan di kabulkan.


Dari Jabir bin Abdullah, beliau menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Janganlah kalian menyumpah diri kalian, dan jangan pula menyumpah anak-anak kalian dan harta kalian, anda tidak mengetahui saat anda menyebut itu menjadi (doa) dan dikabulkan sehingga Allah akan mengabulkan sumpah itu." (Hadis Riwayat Muslim)


Hadis di atas menjelaskan bahawa ada waktu baik yang di dalamnya akan dikabulkan doa. Demikian itu hadis berkenaan melarang kita untuk menyumpah diri, putera-puteri kita dan harta kekayaan kita supaya sumpah itu tidak bertepatan dengan waktu doa itu dikabulkan.


Tetapi sayangnya sebagaimana yang dipaparkan di atas, ramai kaum ibu sebenarnya yang melaknat dan menyumpah anak mereka, tetapi beralasan mereka sebenarnya tidak bermaksud melakukan sedemikian.


Sebagaimana kita ketahui, alasan itu tidak dapat diterima kerana larangannya jelas dan tegas.


Ada satu cerita di mana ada seorang anak lelaki berusia sembilan tahun tersambar petir. Maka ramailah orang datang untuk melihatnya. Tidak lama kemudian datanglah seorang ibu yang menangis teresak-esak dan menjerit kerana mendapat tahu anaknya sudah meninggal dunia.


Selepas beberapa waktu, rupanya kematian anaknya itu adalah akibat dari sumpah ibunya sendiri yang ketika itu sedang marah yang menyumpah agar anaknya disambar petir.


Akhirnya sumpahnya itu dikabulkan Allah dan ibu berkenaan terlalu menyesal. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.


Sungguh menyedihkan apabila seseorang jauh dari nilai agama sehingga membuatkan diri mereka terjerumus melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya.


Semoga Allah membimbing kita semua serta mengampuni segala dosa kita. Sebenarnya banyak tip yang boleh di pelajari oleh ibu agar mereka mampu boleh mengawal emosi ketika marah. Antaranya:


1. Ketika ibu marah, ingatlah bahawa Allah selalu mengawasi kita dan ingatlah bahawa anak tidaklah terus menjadi dewasa dan memahami kehendak kita.


Kita juga dulunya anak yang nakal dan menyakitkan orang tua kita.


2. Tarik nafas dalam-dalam dan santai (relaks).


3. Bila kedua-dua cara di atas belum boleh menguasai emosi segeralah beristighfar. Apabila ingin meninggikan suara maka lakukanlah sehingga anak mendengar suara kita.


4. Seseorang akan mudah marah akibat keletihan. Maka jangan memaksa diri dalam melakukan pekerjaan rumah sebaiknya tidurlah segera ketika anak tidur. Berbincanglah dengan suami berkenaan cara dan kaedah selain bacalah buku sebagai panduan.


5. Jangan lupa berdoalah kepada Allah agar hati ibu dalam genggaman-Nya. Insya-Allah, kita tidak akan membiasakan diri lagi menyumpah anak kita ketika marah.



Semoga menjadi pengajaran,iktibar dan teladan kepada ibu-ibu dan bakal-bakal ibu semua. Jika kita mahu menjadikan anak kita anak yang soleh,maka ia bermula dari diri kita, jadilah ibu mithali dan muslimah solehah terlebih dahulu.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



0 comments: