Ummi mulakan dengan pengalaman ummi sebagai ibu...
Ketika seorang ibu mahu melahirkan seorang insan ke dunia, kesakitan nya tiada terungkap dengan kata-kata. Menitis airmata menahan rasa sakit yang datang silih berganti. Sebab itu Allah berikan ganjaran syahid jika meninggal dunia kepada seorang ibu yang melahirkan seorang anak.
Walaupun begitu, tempoh masa kesakitan melahirkan seorang anak bagi setiap perempuan tidak sama. Ada yang sekejap ada yang berhari-hari. Ada yang mudah ada yang susah. Segala adalah kurniaan Allah.
Pengalaman ummi melahirkan 10 orang anak, berbeza antara satu sama lain. Kurniaan Allah, tempoh masa sakit hanya sekejap lebih kurang 2 jam. Tetapi rasa sakit itu tidak dapat digambarkan disini. Senang tulis, sangat sangat sakit.
Anak pertama, kedua dan ketiga semua dilahirkan di rumah, disambut oleh suami dan seorang bidan bersara. Masa tahun 80an masih belum ramai doktor wanita di hospital atau klinik swasta.
Mulai anak keempat, mula bersalin di hospital kerana abang kakak sudah besar dan mula sibuk ambil tahu, macamana adik dilahirkan. Dan mereka sibuk hendak tunggu dan tengok bagaimana proses kelahiran adik mereka. Anak nombor 4 ini, cuma sempat masuk 5 minit ke dewan bersalin, terus dilahirkan.
Anak kelima, bersalin pada hari Deepavali. Kebanyakan doktor bercuti, hanya ada doktor oncall sahaja. Oleh kerana pesakit tidak ramai, mereka bawa awal ke Dewan Bersalin ajak berbual takut saya keseorangan di bilik wad. Sedang berbual, rasa sakit terus nak bersalin, doktor baru nak pakai sarung tangan, bayi dah lahir.
Anak keenam, telah berdegup jantungnya, tetapi dijemput kerahmatullah kerana turun darah tanpa henti disebabkan tanggungjawab kerjaya yang dibuat tanpa rehat mencukupi.
Anak ketujuh, dari awal kandungan ada masalah, asyik dirawat oleh doktor pakar Hospital Besar, tapi akhirnya saya pergi bersalin di Hospital Daerah yang kecil sahaja. Rasa sakit sekejap sahaja, melahirkan anak ini di atas katil wad. Huru hara jadinya doktor dengan ururawat, kerana cadar dan selimut berlumuran darah. Mujur saya ditempatkan dalam bilik satu orang.
Anak kelapan, pengalaman anak ketujuh bersalin di katil, jadi awal-awal bila rasa sakit makin kuat terus beritahu jururawat, sampai dewan Bersalin, tetapi baby dah keluar atas troli.
Anak kesembilan tidak sempat ditiup roh oleh Allah, dijemput kembali ke rahmatullah, kerana saya diserang denggi berdarah yang kritikal.
Anak kesepuluh, dugaan yang hebat, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, baby dikeluarkan secara pembedahan kecemasan demi menyelamat nyawa seorang ibu yang kelemasan. Bertarung antara hidup dengan mati, namun Allah Maha Pengasih, saya masih ada hingga hari ini.
Bermula hari ini, hospital telah menjadi rumah kedua saya yang mengalami berbagai masalah kesihatan. Syukur dengan kurniaan Allah ini,kerana Dia begitu hampir dengan saya dan sentiasa dihati saya. Disinilah saya sangat merasai bahawa Allah sangat sayang pada saya, saya dapat melihat keadilan Allah pada manusia,Allah Maha Gagah dan Perkasa dan dengan KemurahanNya saya menikmati hidup penuh rasa cinta hanya padaNya.
"Pengalaman menjadi ibu"
0 comments:
Post a Comment