Beberapa tahun yang lampau, bayangan kematian sering muncul. Bayangan bersama perasaan takut, resah dan gelisah. Selalunya – berulang-ulang – lintasan hati secara tiba-tiba merasai saat-saat tersebut bakal tiba, bila-bila masa sahaja.
Terbayang bagaimana suami dan anak-anak menghadapi kehilangan isteri dan ibu. Mata melihat bayangan Abdullah yang baru berusia 1 tahun. Paling mengharukan apabila terbayang saat-saat kesukaran diambil nyawa secara perlahan-lahan, berada di alam kubur, cuba melintasi siratul-mustaqim dan menanti-nanti di mana akan ditempatkan. Syurga atau neraka.
Perasaan ini ku pendam sahaja
Dan bayangan kemunculan kematian itu bermain-main di minda bersama dengan keresahan diri memikirkan tahap perhubungan dengan Allah SWT. Bersediakah untuk pergi? Atau bagaimanakah corak pemergian nanti? Aku ketakutan!
“Tiadakah engkau perhatikan orang-orang yang keluar dari rumahnya, beribu-ribu banyaknya, kerana takut mati, lalu Allah mengatakan kepada mereka: “Matilah” Kemudian mereka itu dihidupkan Allah kembali, sesungguhnya Allah itu Pemurah terhadap manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih”
(Surah Al-Baqarah, ayat 243).
Pada satu ketika itulah aku berkeloh-kesah dengan soal-soal kematian. Ia satu perasaan yang terlalu pelik. Takut. Resah. Gelisah. Ia datang dan pergi. Terutamanya ketika mata berkira-kira untuk dilelapkan. Ia berlaku hampir setiap hari. Berulang-ulang dan kelihatan sukar untuk dihilangkan.
Aku benar-benar tidak upaya untuk menghilangkan perasaan kecelaruan tersebut. Kemuncak perasaan tersebut masih bermain-main di hati sejurus sebelum Allah menghantar jemputan untuk menunaikan fardhu haji. Kemudian, sesuatu yang ajaib berlaku. Keresahan ‘kematian’ hilang secara tiba-tiba apabila seluruh perasaan memikirkan soal haji.
Aku lebih risau memikirkan kejahilan yang utama terutamanya dalam konteks ketidakupayaan membaca Al-Quran. Malah lebih risau memikirkan persoalan samada Allah mahu atau tidak mahu menerima saya sebagai tetamunya. Terlampau banyak dosa-dosa lampau yang terpikul di bahu kiri. Sayup-sayup hati memikirkan, apakah yang bakal dihadapi semasa berada di Tanah Suci.
“Dan tinggalkanlah dosa yang terang dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa akan diberi pembalasan nanti, disebabkan dosa yang mereka kerjakan”.
(Surah Al-An’aam, ayat 120)
Perjalanan menunaikan ibadat haji – sebelum, semasa dan selepas – memberi ruang untuk aku berfikir, Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa. Aku diberi peluang untuk merasai kemanisan boleh membaca al-quran di dalam bahasa asalnya. Tergerak pula untuk memahaminya dengan membaca secara tekun terjemahannya.
Allah membuka pintu hati untuk merasai dan menilai kehidupan ini daripada sudut penciptaan Allah dan bukannya pandangan yang berdasarkan logik akal manusia semata-mata. Namun aku menyedari yang ia hanyalah setitis daripada perasaan yang diizinkannya.
“Dan tuliskanlah untuk kami kebaikan di dunia ini dan di akhirat; sesungguhnya kami kembali kepada Engkau. (Tuhan) mengatakan: seksaku, akan kutimpakan kepada siapa yang aku kehendaki, dan rahmatku meliputi segala sesuatu, sebab itu akan Aku tuliskan rahmat, untuk mereka yang bertakwa, mereka yang membayar zakat dan yang mempercayai keterangan-keterangan Kami”
(Surah Al-Araaf, ayat 156).
Hakikat sebenar, Allah memberi perasaan takut dan gentar kepadanya melalui kematian. Ingatan tentang kematian adalah peluang terbaik untuk mendekati diri kepada penciptanya. Aku manusia jahil, tidak berilmu dan tercari-cari apakah yang sebenarnya yang aku kehendaki.
Akhirnya, aku memahami yang kehidupan selepas kematian lebih kekal, abadi dan perlu diperjuangkan. Dalam keterbatasan ilmu itulah aku berpaling dengan berbekalkan kemanisan apa yang Allah kurniakan semasa menunai fardhu haji – berdoa, solat berjemaah di masjid, bertahajjud, berpuasa sunat dan membaca al-quran – dan mahu ia diteruskan sehinggalah saya tidak dapat bernafas lagi.
Setiap kali merenung langkah-langkah yang bakal dilalui, aku selalu terfikir dan bertanya-tanya, mampukah aku menuruti kumpulan akhir zaman yang sedikit sebagaimana digambarkan oleh Allah SWT melalui surah Al-Waqiah yang bersama-sama Rasullullah memasuki syurga yang tertinggi. Atau termasukkah aku dalam golongan ketiga yang menerima surah amalnya melalui tangan kiri, menderita kepanasan dan terseksa kerana sikap sombong, angkuh dan riyak kepada pencipta.
Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang memelihara dirinya dari kejahatan, (bagai taman) yang di sana ada sungai-sungai dari air yang tiada mahu berubah, sungai-sungai dari susu yang rasanya tiada pernah berubah, sungai-sungai dari anggur yang amat sedap rasanya bagi orang yang meminumnya dan sungai-sungai dari madu yang bening jernih.
“Di sana mereka memperoleh aneka macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhannya. (Orang yang begitu senang dalam syurga) samakah dengan orang yang tinggal tetap dalam neraka, dan diberi minum dengan air yang mendidih sehingga putus berpotong-potong isi perutnya?”
(Surah Muhammad, ayat 15)
Benar, syurga hanya boleh didiami dengan rahmatnya. Namun, membaca dan membayangi keindahan dan keistimewaan syurga terasa tersangat bodoh jika tidak bercita-cita untuk bersama Rasullullah menjadi penghuni syurga yang paling istimewa.
Benar juga, tidak logik untuk orang yang jahil seperti aku, bermimpi dan berangan untuk mendapatkan sesuatu yang tidak sepadan dengan ilmu dan amalan yang ada di dada. Namun aku berkeyakinan dengan janji-janji Allah yang dia akan memakbulkan doa-doa hambanya yang ikhlas, bersungguh-sungguh dan diucapkan dengan penuh ketakutan.
“Syurga Adn, mereka masuk ke dalamnya, dan juga orang yang baik-baik dari bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri (suami-suami) mereka dan turunan mereka, sedangkan malaikat-malaikat datang pula kepada mereka dari segenap pintu”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 23).
Malah aku bercita-cita agar aku dapat bersama abah dan mak, suami, anak-anak dan rakan-rakan menjadi penghuni syurga Adn. Aku tidak mahu tercicir. Aku mahu bersama mereka. Aku mahu merasai kedinginan sungai-sungai yang mengalir di dalamnya dan tidak berhasrat untuk membakar kulit sendiri berulang-ulang yang pastinya tanpa penghujung.
Syurga atau neraka merupakan dua pilihan yang tidak sukar untuk dipilih. Dan aku telah membuat pilihan tersebut.
“Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada keterangan-keterangan Kami, nanti akan Kami masukkan ke dalam neraka, setiap kali kulit mereka telah hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain, supaya mereka rasakan benar seksaan; sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa dan Bijaksana”
(Surah An-Nisaa, ayat 56).
Persoalannya, mampukah aku turut serta dengan segala kejahilan diri? Aku terfikir, jika Allah boleh memberikan segala macam kemuliaan semasa menjalani ibadat haji, maka Allah tetap Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sampai bila-bila.
Itulah dakwah kepada diri sendiri. Catatan ini mengingati janji-janji yang telah aku tanamkan dan mungkin boleh dikongsi oleh mereka yang senasib dengan ku. Aku mohon keampunan Allah jika niat penulisan ini disalahtafsir dan mengundang pelbagai pandangan negatif.
Aku tidak berniat untuk bersifat angkuh sombong, riyak dan takbur kerana jalan-jalan yang masih belum dilalui terlampau banyak onak dan duri.
Astargfirullah. Subhanallah. Allahu Akhbar.
0 comments:
Post a Comment