BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 4 August 2009

Hatiku yang teruja...

Dah 4 hari aku tak menulis di sini, blog yang lain sempat pulak aku . Ini disebabkan kesihatan aku yang asyik terganggu. Aku cuba kuat, tabah dan sabar dengan keadaan ini. Hari Sabtu,1 Ogos 2009, aku pergi jumpa dengan Dr Ishak, Pakar Surgery di Jalan Tengkera, Melaka. Aku dengan ditemani Amiratun Nazihah , Abdullah,dan Imran bertolak lepas solat subuh dengan kereta naza. Abang pandu kereta, dan aku pula, sebaik duduk disebelah pemandu akan terus lelap dan tidur. Kebetulan malam tadinya aku tidor jam 4.30 pagi.

Kami tiba di Bandar Hilir lebih kurang jam 9 pagi dan terus cari gerai untuk sarapan sebab Imran asyik cakap "lapar, lapar..." Lepas sarapan, pergi ke Klinik Dr Ishak, jam 10.15 dapat bertemu Dr Ishak. Selepas berbicara, berbincang bagaimana kaedah rawatan dan step apa yang perlu dimulakan. Aku akur dan ikut saja, apa yang dicadangkan oleh Dr Ishak, kaedah rawatan sakit ku ini. "Walaupun kita nak ubati sakit jantung, sebelum itu, kita kena cari punca, kalau puncanya dari hati, maka hati yang kena dirawat dulu. No point jika kita ubati jantung tapi , yang jadi punca dibiarkan saja." Itu lah, kata-kata Dr Ishak yang masih tergiang -giang di telinga ku.

Maka aku akur, dan ikuti step yang disarankan oleh Dr Ishak. Dengan beberapa borang tertentu, aku balik semula ke Johor Bahru hari itu juga, dan tiba dirumah jam 2.00 petang. Macam biasa, tiba di rumah rutin ku adalah mengadap laptop yang setia ini dengan Halaqah.net, web pilihan.

Aku buat sedikit kajian tentang hati, aku imbas kembali, sejak bila aku mendapat sakit hati ini. Tahun 1999, Bulan Disember aku berhajat untuk menderma darah di Bank Darah HSAJB. Aku ikut serta kerana abang memang menetapkan dirinya agar menderma darah paling kurang setahun 4 kali. Apa yang mampu kita sedekah, sedekahkan lah, tak kira siapa, sekurangnya, kita membantu pihak hospital merawat kepada mereka yang memerlukan darah.

Aku pun turut menderma darah, dan 1 paint darah ku diambil. Pihak Bank Darah mungkinmasa itu tidak sempat membuat analogy pada darah aku, namun semingga selepas itu, aku menerima panggilan telefon dari Bank Darah, minta datang semula ke sana. Aku juga mendapat kad bertulis "URGENT" dari Bank Darah HSAJB. Maka aku segera kesana, dan bertemu dokotr yang ada di situ. Doktor memaklumkan, bahawa dalam komposisi darah aku dijumpai satu virus yang 100 kali lebih jahat dari HIV. Mereka mahu buat pengesahan semula. Aku pun bersetuju. Seminggu lepas itu, aku mendapat panggilan telefon dari mereka dan mengesahkan keujudan virus itu benar dan meminta aku memulakan rawatan, sebab virus itu jenis yang menyerang hati.

Oleh kerana pada 1 Mac 2000 adalah tarikh penerbangan aku ke Madinah Al-Munawarah, aku menunda rawatan itu sebab masa yang ada sebelum berangkat ini aku perlu membuat beberapa persiapan akhir untuk diri yang akan pergi dan anak-anak yang akan ku tinggalkan.

2 minggu selepas aku pulang dari Makkah Al Mukarramah pada 16 April 2000, aku mendapat panggilan telefon dari HSAJB, minta aku memulakan rawatan untuk hati. Pada 12 Mei aku daftar masuk wad di HSAJB, selama 2 minggu dan menjalani ujian biopsy liver. 2 hari selepas buat ujian biopsy liver, aku dibenarkan balik ke rumah.

Sepatutnya aku perlu berjumpa doktor semula 3 minggu selepas itu, namum segalanya ditentukan oleh Allah, 12 hari selepas balik ke rumah aku sakit kembali. Sakit yang teramat sakit yang aku dapat gambarkan begini, "jika berbaring, aku rasa seperti baring di atas pasir, bukan menelan makanan, cuma air, aku rasa seperti menelan batu" Seluruh urat saraf, sendi aku sakit tak terkira. Kepala ini berdenyut-denyut bagai nak pecah, namun aku sabar, tanpa sepatah kata rintihan pun tidak aku ucapkan. Yang terdetik dihati hanya zikrullah. Suami aku hantar semula aku ke HSAJB. Aku di bawa ke Dewan Bedah unuk menjalani satu pembedahan kecil untuk menyelamatkan keadaan aku yang kritikal. Sebanyak 4 beg platlet di masukkan ke dalam tubuh aku ini bagi membantu diri aku yang kehilangan platlet disebabkan ada virus baru yang memakan platlet aku. Rupanya sakit kali ini disebabkan oleh serangan virus denggi berdarah.

Berbalik pada hati, masa aku tinggal di wad, aku telah dimaklumkan keadaan hati aku. Berdasarkan ujian darah, ada komposisi yang sangat tinggi yang lama-kelamaan akan jadi malignan sebagai kanser hati. Tapi untuk menuju kesitu, mengambil masa yang lama. Sedangkan rawatan untuk menentang virus ini tidak ada. Maka setelah aku keluar wad, doktor menasihati agar aku jalani ujian fungsi hati setiap 6 bulan. 2,3 tahun pertama aku rajin, lama2 aku jemu sebab setiap aku buat ujian aku dikhabarkan peratus kerosakkan hati ini. Tapi rawatannya tidak ada. Jadi khabar duka yang aku terima, kalau macam ni baik tak payah jalani ujian hati , jadi aku tak tahu apa-apa. Bermula saat itu, aku tidak lagi peduli pada kesihatan hati aku.

Namun, bila aku sakit di bahagian abdomen kanan berhampiran perut, aku terpaksa juga jumpa doktor, dan penawar yang diberikan cuma "postant" 500gm dan "pendesolone"(steroid). Maka sejak itu panawar ini sentiasa ada di dalam beg tangan aku walau kemana jua aku pergi. Banyak makanan aku tak boleh makan sebab akan memberi infection pada hati dan "menyegerakan" tempoh kerosakkannya.

Apa itu hati?
Hati

Hati merupakan organ yang terbesar di dalam tubuh. Ia terletak di belakang tulang rusuk pada bahagian kanan abdomen. Hati mempunyai dua bahagian, suatu lobus di sebelah kanan dan suatu lagi lobus yang lebih kecil di sebelah kiri.

Hati menjalankan banyak fungsi yang penting yang mengekalkan kesihatan seseorang. Ia mengasingkan bahan yang memudaratkan daripada darah. Ia menghasilkan enzim dan hempedu yang membantu menghadamkan makanan. Ia juga menukarkan makanan menjadi bahan-bahan yang diperlukan untuk hidup dan membesar.

Hati mendapat bekalan darahnya daripada dua salur. Kebanyakan daripada darahnya disalurkan oleh vena portal hepatik. Yang lainnya disalurkan oleh arteri hepatik.

Memahami kanser
Kanser merupakan suatu kumpulan beberapa penyakit yang berkaitan. Semua kanser bermula di dalam sel-sel, unit asas kehidupan di dalam tubuh kita. Sel-sel membentuk tisu-tisu, dan tisu-tisu membentuk organ-organ tubuh. Lazimnya, sel-sel akan membesar dan membahagi untuk membentuk sel-sel baru apabila tubuh memerlukan sel-sel itu. Apabila sel-sel menjadi tua dan mati, sel-sel baru akan mengambil alih tempat mereka. Kadang-kala berlaku kesilapan pada proses yang teratur ini. Sel-sel baru terbentuk apabila tubuh tidak memerlukan, dan sel-sel tua tidak mati apabila sepatutnya. Sel-sel lebihan ini akan membentuk suatu gumpalan tisu-tisu yang dipanggil ketumbuhan atau tumor. Tumor boleh jadi benigna atau malignan.

    . Tumor-tumor benigna bukan kanser. Biasanya, para doktor boleh mengeluarkannya. Sel-sel daripada tumor benigna tidak merebak ke bahagian lain tubuh. Di dalam kebanyakan kes, tumor benigna tidak akan terbentuk lagi setelah ianya dibuang. Paling penting, tumor benigna jarang mengancam nyawa.

. Tumor-tumor malignan adalah kanser. Tumor ini secara amnya lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa. Sel-sel kanser akan menceroboh dan merosakkan tisu-tisu dan organ-organ yang berhampiran. Juga, sel-sel kanser boleh terpisah dari tumor malignan dan memasuki saluran darah atau sistem limfa. Beginilah cara sel-sel kanser merebak daripada tumor asal (tumor primer) untuk membentuk tumor-tumor baru (tumor sekunder) di dalam organ lain. Kanser yang merebak ini dikatakan sudah metatesis. Jenis-jenis kanser yang berlainan selalunya akan merebak ke bahagian-bahagian tubuh yang berlainan.



Kebanyakan kanser-hati primer bermula di dalam hepatosit (sel-sel hati). Kanser jenis ini dipanggil karsinoma hepatosel atau hepatoma malignan. Kanak-kanak mungkin mendapat karsinoma hepatosel atau hepatoblastoma. Maklumat ini tidak mengulas kanser hati kanak-kanak.

Apabila kanser hati merebak (metatesis) ke bahagian luar hati, sel-sel kanser cenderung untuk merebak ke dalam nodus-nodus limfa yang berhampiran dan ke dalam tulang dan paru-paru. Apabila ini berlaku, tumor baru mempunyai jenis sel-sel abnormal yang sama seperti tumor primer. Contohnya, jika kanser hati merebak ke tulang, sel-sel kanser di dalam tulang sebenarnya ialah sel-sel kanser hati. Penyakit ini merupakan kanser hati metastetik, bukannya kanser tulang. Ia dirawat sebagai kanser hati, bukannya kanser tulang. Begitu juga, kanser yang merebak ke hati daripada suatu bahagian tubuh yang lain adalah berbeza daripada kanser hati primer. Sel-sel kanser di dalam hati adalah sama dengan sel-sel di dalam tumor asal. Apabila kanser merebak ke hati daripada organ yang lain (seperti kolon, paru-paru atau buah ubat), doktor mungkin akan memanggil tumor di dalam hati itu tumor sekunder.

Kanser Hati: Siapa yang berisiko?
Para penyelidik di hospital-hospital dan pusat-pusat perubatan di seluruh dunia sedang mengkaji untuk mempelajari punca-punca kanser hati. Buat masa ini, tiada siapa mengetahui dengan tepat punca-puncanya. Walau bagaimanapun, para ahli sains telah mendapati bahawa orang-orang yang mempunyai faktor-faktor risiko yang tertentu lebih cenderung mendapat kanser hati berbanding dengan yang lain. Faktor risiko ialah apa sahaja yang meningkatkan peluang seseorang menghidapi sesuatu penyakit.

Kajian telah menunjukkan faktor-faktor risiko yang berikut:

    · Jangkitan hati kronik (hepatitis) -- Sesetengah virus boleh menjejaskan hati. Jangkitan ini mungkin kronik (Ia mungkin tidak boleh disembuhkan). Faktor risiko yang paling penting bagi kanser hati ialah jangkitan kronik virus hepatitis B atau hepatitis C. Virus-virus ini boleh dijangkiti daripada seorang kepada seorang yang lain melalui darah (seperti berkongsi jarum) atau hubungan seksual. Seorang bayi mungkin menjangkiti virus ini daripada ibunya yang telah dijangkiti. Kanser hati boleh timbul selepas bertahun-tahun dijangkiti virus ini. Jangkitan-jangkitan ini mungkin tidak menimbulkan gejala-gejala, tetapi ujian darah dapat menunjukkan kehadiran virus ini. Jika ada, doktor mungkin mencadangkan rawatan. Juga, doktor mungkin akan membincangkan cara mencegah jangkitan kepada orang lain.
    Pada orang yang belum dijangkiti virus hepatitis B, vaksin hepatitis B dapat mencegah jangkitan hepatitis B kronik dan melindungi daripada kanser hati. Para penyelidik kini sedang berusaha untuk menghasilkan suatu vaksin untuk mencegah jangkitan hepatitis C.


Gejala-gejala
Kanser hati kadang-kala dipanggil "penyakit yang senyap" kerana pada peringkat awal kanser ini tidak menimbulkan sebarang gejala. Tetapi, apabila kanser mulai membesar, gejala-gejala mungkin termasuk:

    · Kesakitan pada bahagian atas abdomen di sebelah kanan; kesakitan mungkin menular ke bahagian belakang dan bahu

    · Abdomen yang bengkak (kembung)

    · Turun berat badan

    · Hilang selera dan sentiasa berasa kenyang

    · Rasa lemah atau sangat letih

    · Loya dan muntah-muntah

    · Kulit dan mata yang kuning, dan kencing yang gelap akibat jaundis

    · Demam

Gejala-gejala ini bukan tanda-tanda kanser hati yang pasti. Lain-lain penyakit hati dan masalah kesihatan yang lain boleh juga menyebabkan gejala-gejala ini. Sesiapa yang mempunyai gejala-gejala tersebut harus berjumpa doktor secepat mungkin. Hanya doktor sahaja boleh mendiagnosis dan merawat masalah ini.

Diagnosis

Jika seseorang pesakit mempunyai gejala-gejala yang menunjukkan kanser hati, doktor akan melakukan satu atau lebih prosedur-prosedur berikut:

    . Pemeriksaan fizikal -- Doktor itu akan meraba abdomen untuk memeriksa hati, limpa dan organ-organ yang berhampiran jika ada gumpalannya atau perubahan pada bentuk dan saiz. Doktor juga mengesan asites, peningkatan cecair yang abnormal di dalam abdomen. Doktor itu mungkin juga memeriksa kulit dan mata bagi tanda-tanda penyakit kuning.

    · Ujian-ujian darah -- Banyak ujian darah akan dilakukan untuk mengesan masalah-masalah hati. Suatu ujian darah mengesan alfa-fetoprotein (AFP). Tahap AFP yang tinggi boleh jadi suatu tanda kanser hati. Ujian-ujian lain boleh menunjukkan hati berfungsi dengan baik.

    · Skan CT -- Suatu mesin x-ray yang bersambung kepada suatu komputer akan mengambil suatu siri gambar-gambar hati dan organ-organ lain dan salur-salur darah di dalam abdomen secara terperinci. Pesakit mungkin akan menerima suntikan sejenis pewarna yang khas supaya hati boleh dilihat dengan jelas di dalam gambar-gambar tersebut. Daripada skan CT, doktor mungkin boleh melihat tumor-tumor di dalam hati atau di bahagian-bahagian lain

    · Ultrabunyi-- Alat ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi yang tidak dapat didengari oleh manusia. Gelombang-gelombang bunyi ini akan menghasilkan suatu corak gema-gema apabila gelombang-gelombang tersebut terpantul daripada organ-organ dalaman. Gema-gema ini akan membentuk suatu gambar (sonogram) hati dan organ-organ lain di dalam abdomen. Tumor-tumor mungkin menghasilkan gema-gema yang berlainan daripada yang dihasilkan oleh tisu-tisu yang sihat.

    · MRI-- Suatu magnet yang kuat yang bersambung kepada suatu komputer digunakan untuk membentuk gambar-gambar bahagian dalam tubuh. Gambar-gambar ini dilihat pada monitor dan boleh juga dicetak.

    · Angiogram-- Bagi suatu angiogram, pesakit mungkin berada di hospital dan diberikan ubat bius. Doktor akan menyuntik suatu pewarna ke dalam arteri supaya salur-salur darah di dalam hati akan kelihatan pada x-ray. Angiogram akan menunjukkan tumor di dalam hati.

    · Biopsi-- Di dalam sesetengah kes, doktor mungkin mengambil suatu sampel tisu. Seorang pakar patologi menggunakan mikroskop untuk mengesan sel-sel kanser di dalam tisu tersebut. Doktor itu mungkin mendapatkan tisu dengan beberapa cara. Satu cara ialah dengan memasukkan suatu jarum halus ke dalam hati untuk mengambil secebis kecil tisu. Kaedah ini dinamakan aspirasi jarum halus. Doktor mungkin menggunakan skan CT atau ultrabunyi untuk memandu jarum tersebut. Kadang-kala, doktor tersebut akan mendapatkan suatu sampel tisu menggunakan jarum yang agak besar (biopsi teras) atau dengan memasukkan tiub halus yang berlampu (laparaskop) ke dalam suatu potongan di dalam abdomen. Satu cara lagi ialah mengambil tisu melalui pembedahan.

Seseorang pesakit yang perlukan biopsi mungkin ingin bertanya kepada doktor soalan-soalan berikut:

  • Mengapa saya perlukan biopsi? Bagaimanakah biopsi ini akan memberi kesan ke atas rancangan rawatan saya?
  • Biopsi jenis apakah yang akan saya jalani?
  • Adakah terdapat risiko yang prosedur biopsi akan menyebabkan kanser merebak?
  • Berapa lama masa yang diambil? Adakah saya di dalam keadaan sedar? Adakah ia menyakitkan?
  • Bilakah keputusannya akan saya ketahui?
  • Jika benar saya menghidapi kanser, siapakah yang akan berbincang dengan saya tentang rawatan? Bila?

Pemeringkatan

Jika kanser hati telah didiagnosis, doktor perlu tahu peringkat, atau tahap, penyakit tersebut untuk merancang rawatan yang terbaik. Pemeringkatan ialah suatu usaha untuk mengetahui saiz tumor, sama ada tumor telah merebak,dan jika benar, ke bahagian-bahagian tubuh yang mana. Pemeringkatan yang teliti menunjukkan sama ada tumor boleh diambil keluar melalui pembedahan. Perkara ini sangat mustahak kerana kanser hati tidak boleh diambil keluar melalui pembedahan.

Doktor boleh memastikan peringkat kanser hati semasa diagnosis itu dibuat, atau mungkin pesakit terpaksa menjalani lebih banyak ujian. Ujian-ujian tersebut mungkin termasuk ujian-ujian pengimbasan seperti skan CT, MRI, angiogram atau ultrabunyi. Ujian-ujian pengimbasan boleh membantu doktor mengesan sama ada kanser hati telah merebak. Doktor mungkin menggunakan suatu laparoskop untuk melihat secara terus ke dalam hati atau organ-organ yang berhampiran.

Rawatan

Ramai orang yang menghidapi kanser hati mahu memainkan peranan aktif di dalam membuat keputusan tentang penjagaan perubatan mereka. Mereka mahu mempelajari segala-gala yang boleh tentang penyakit mereka dan pilihan-pilihan rawatan mereka. Walau bagaimanapun, rasa terkejut dan tertekan yang pesakit alami setelah didiagnosis dengan kanser, membuatkan para pesakit sukar memikirkan semua perkara yang mereka ingin tanyakan kepada doktor. Selalunya, adalah berfaedah untuk membuat suatu senarai soalan-soalan sebelum suatu temu janji. Untuk mengingati apa yang telah dinyatakan oleh doktor, mereka boleh mengambil nota atau mintalah izin untuk menggunakan pita rakaman. Sesetengah pesakit juga lebih suka ditemani seorang ahli keluarga atau kawan semasa mereka berbincang dengan doktor - untuk mengambil bahagian di dalam perbincangan, mengambil nota atau hanya untuk mendengar.

Buat masa ini, kanser hati hanya boleh disembuhkan hanya apabila ia dikesan pada peringkat yang awal (sebelum ia merebak) dan hanya jika pesakit itu cukup sihat untuk menjalani pembedahan. Walau bagaimanapun, rawatan-rawatan selain pembedahan mungkin dapat mengawal penyakit ini dan membantu pesakit hidup lebih lama dan berasa lebih sihat.

Apabila penyembuhan atau pengawalan bagi penyakit ini tidak mungkin dapat dilakukan, sesetengah pesakit dan doktor mereka memilih terapi paliatif. Terapi paliatif bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup seseorang dengan mengawal kesakitan dan lain-lain masalah yang berpunca daripada penyakit ini.


Mengawal Kesakitan
Kesakitan merupakan masalah yang lazim bagi orang yang menghidapi kanser hati. Tumor boleh menyebabkan kesakitan dengan menekan saraf-saraf dan organ-organ lain. Juga, terapi -terapi bagi kanser mungkin menimbulkan ketidakselesaan.
Doktor pesakit atau seorang doktor yang pakar di dalam mengawal kesakitan boleh melega atau mengurangkan kesakitan dengan beberapa cara:

    · Ubat tahan sakit -- Ubat-ubat selalunya boleh melegakan kesakitan. (Ubat-ubat ini boleh membuatkan seseorang mengantuk dan sembelit tetapi berehat dan mengambil laksatif dapat membantu)

    · Sinaran -- Sinaran-sinaran bertenaga tinggi boleh membantu melegakan sakit dengan mengecutkan tumor

    · Sekatan saraf -- Doktor mungkin menyuntik alkohol ke dalam kawasan di sekitar saraf-saraf tertentu di dalam abdomen untuk menyekat kesakitan itu.

Khasiat Pemakanan
Pesakit kanser hati mungkin tidak lalu makan terutamanya jika mereka tidak selesa atau letih. Juga, kesan-kesan sampingan rawatan boleh menyukarkan makan. Makanan mungkin berbau dan berasa berlainan. Walau bagaimanapun, pesakit harus cuba memakan kalori dan protein yang mencukupi untuk mengawal berat badan mengekalkan tenaga dan menggalakkan penyembuhan. Perancangan dan pemeriksaan yang teliti adalah penting. Kanser hati dan rawatannya mungkin menyukarkan pesakit untuk menghadamkan makanan dan mengekalkan berat badan mereka.


Sokongan bagi Pesakit Kanser

Melalui kehidupan dengan penyakit yang serius seperti kanser hati bukannya mudah. Sesetengah orang dapati yang mereka perlukan bantuan menghadapi aspek-aspek emosi dan praktikal penyakit mereka. Kumpulan-kumpulan sokongan boleh membantu. Di dalam kumpulan-kumpulan ini, pesakit-pesakit kanser dan keluarga mereka selalu berkumpul untuk berkongsi segala yang mereka pelajari tentang mengatasi kanser dan kesan-kesan rawatan.

Glosari

terapi adjuvan

Rawatan yang membantu atau menolong rawatan yang lain

anemia
Kekurangan di dalam kuantiti dan kualiti sel-sel darah merah tubuh. Anemia boleh menyebabkan rasa lemah dan sesak nafas.

biopsi Pengeluaran suatu sampel tisu daripada badan untuk diperiksa di bawah mikroskop supaya dapat membantu mendiagnosis sesuatu penyakit

diagnosis
Proses mengenal pasti penyakit seseorang.

diafragma
Sehelaian otot dan tendon yang memisahkan bahagian dada dan abdomen.

Keteter epidural
Suatu tiub plastik yang halus yang dimasukkan melalui bahagian bawah tulang belakang ke dalam ruang epidural

gastrektomi
Pengambilan keluar perut secara separa atau total melalui pembedahan.

imunoterapi
Rawatan yang menggunakan atau menggalakkan sebahagian daripada sistem daya tahan badan tubuh sendiri.

nitrat
Garam asid nitrik. Didapati di dalam daging yang diawet.

paliatif
Memberikan kelegaan daripada gejala-gejala tanpa berusaha menyembuhkan penyakit.

polip
Suatu ketumbuhan yang kecil yang timbul daripada permukaan membran mukus.

0 comments: