بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات
Tak adil kalau ummi tak cerita mengenai Muhammad Imran. Nanti bila besar, dia dah pandai baca blog,dan cari tulisan ummi, dia akan kecik hati sebab hari dia dapat keputusan cemerlang peperiksaan akhir tahun sama dengan keputusan UPSR Abdullah Mubarak diumumkan.
Semalam semasa ummi tulis tentang Abdullah Mubarak,ummi terlupa nak cerita berkenaan Muhammad Imran, anak ummi yang bongsu.
Muhammad Imran sudah berusia 8 tahun. Bersekolah di SKTU3, sama sekolah dengan Abdullah Mubarak. Beza umur mereka berdua ini hampir 4 tahun.
Tahun lepas , masa menduduki tahun satu, dia ditempatkan di kelas 1 Arif. Sebulan selepas persekolahan bermula, cikgu-cikgu tahun 1 mengadakan penilaian semula kepada murid-murid tahun 1 untuk mengelaskan mereka dikumpulan yang sama. Kebetulan Muhammad Imran terlibat dalam program transisi Tahun 1.
Apabila di dapati prestasi akademik Muhammad Imran menurun, dan Muhammad Imran masih gagap untuk membaca, dia di letakkan dalam kelas 1 Bestari.
Apabila balik sekolah , dalam kereta dia pun bercerita, "ayah, Aan kena tukar kelas,masuk kelas 1 Bestari"
Sambung ayahnya " itu lah malas nak belajar, malas nak membaca, orang lain tentu dah laju membacanya. Kan dah turun kelas"
Cepat Muhammad Imran mencelah, "turun kelas,bukan turun tangga pun, kelas tu kat sebelah 1 Ariff saja." Tergelak ayah dengar jawapan Muhammad Imran ni.
Apa yang Muhammad Imran faham dari ayahnya kata ialah dia berpindah kelas dari tingkat 2 ke tingkat 1 berdasar ayat 'turun kelas' sedangkan ayahnya maksudkan 'turun kelas' tu ditukarkan dari kelas A ke kelas B disebabkan prestasinya menurun.
Dari Tahun 1 Bestari Muhammad Imran naik ke Tahun 2 Bestari. Penguasaan pembacaan Muhammad Imran bertambah baik. Paksa sambil pujuk untuk dia rajin membaca. Pujuk belajar agar mahu menyiapkan kerja sekolah terutama Matematik.
Dari segi tulisan jawi,penguasaan Muhammad Imran semakin baik sebab disebelah petang Muhammad Imran bersekolah agama.
Hari-hari Muhammad Imran dijemput dan dihantar ketika pergi dan balik sekolah, samada sekolah kebangsaan atau sekolah agama. Jika ayahnya tidak sempat, atau ada kerja luar, ayah akan pesan ummi untuk hantar dan jemput.
Ummi pula hanya akan keluar dari rumah jika disuruh ayah. Jika tidak ada urusan, memang ummi payah nak keluar rumah walaupun ke kedai. Seronok sangat duduk dalam rumah, dapat melakukan berbagai aktiviti yang digemari seperti mengemas, mencuci pakaian dan memasak.
Abdullah Mubarak dan Muhammad Imran
Kembali kepada cerita Muhammad Imran, semalam tu selepas sahaja jemput Abdullah Mubarak ambik keputusan UPSR,terus bawa Abdullah Mubarak singgah ke KFC, belanja Abdullah Mubarak makan ayam goreng 2 ketul saja. Lepas tu baru pergi jemput Muhammad Imran balik sekolah.Masuk sahaja Muhammad Imran ke dalam kereta,terus di khabarkan dengan suara gembira "ummi, ummi Aan dapat nombor 1..."
"Ayah,ayah...Aan dapat nombor 1 , tadi cikgu bagitahu, ni ada surat, Sabtu ni datang terima hadiah", katanya pada ayahnya pula.
Ummi ambik surat tu dan baca, ooo...rupanya hari Sabtu 13 November 2010, sekolah akan adakan Majlis Anugerah Cemerlang dan Penyampaian Hadiah. Dan surat tu meminta ibu bapa turut hadir untuk memeriahkan majlis tu.
Syukur, Alhamdullilah...
Muhammad Imran sudah menampakkan prestasinya di dalam pelajaran. Muhammad Imran memang susah untuk mengharap dia belajar dan ulangkaji pelajaran di rumah. Selalu kena paksa dengan ayah baru dia mahu buka buku. Itu buka buku, belum pasti baca atau tidak. Ayah boleh macam tu sebab ada ugutan.
"Kalau tak mahu belajar, tak boleh guna laptop..."
Takut benar antara Muhammad Imran dan Abdullah Mubarak, jika ayah tidak benarkan guna laptop. Disebabkan laptop untuk mereka guna cuma ada sebuah sahaja, ummi terpaksa buat jadual giliran. Setiap 2 jam tukar giliran. Nanti kalau cuti sekolah, Omar Abdul Aziz balik rumah, kena juga masuk giliran. Dan penggunaan waktu malam hanya setakat pukul 10:00 sahaja.
Ummi cuba melatih mereka agar tidor di waktu malam. Bangun awal, tak mahu mereka tidor pagi terutama selepas suboh. Tambahan cuti sekolah hampir menjelang tiba, lagilah jadual penggunaan laptop dikuatkuasakan. Paling penting semasa guna laptop TIDAK boleh gunakan seorang diri dalam bilik. Susah untuk memantau, apa yang mereka surfing.
Anak-anak atau siapa sahaja memang tidak berani sentuh atau gunakan laptop ummi. Walaupun laptop ummi memang sentiasa terbuka dan online. Laptop ummi memang khas untuk pemantauan Halaqahnet. Laptop ayah pun , jarang anak-anak berani guna, hanya sekali sekala guna jika terdesak nak buat kerja.
Begitulah cerita anak-anak ummi dalam mereka meningkat remaja. Sekiranya meninggalkan solat berjemaah, dendanya tidak dibenarkan makan!
Semoga semua anak menantu dan embun yang amat ummi kasih menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, hidup didalam redha, rahmat dan kasih sayang Allah.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment