بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِالسلام عليكم ورحمة الله وبركات
Tidak mungkin berjaya seorang itu ingin jadi penyabar, tetapi tidak mendidik diri dan hatinya dengan makanan rohani. Makanan rohani ini yang mampu membersihkan hati. Hati yang telah dicemari dengan toksin-toksin beracun.
Memang sebaiknya mencegah hati dari kerosakkan tetapi jika sudah rosak,perlu pula dicarikan penawarnya. Apabila telah bertemu penawarnya, diri juga mesti berdisplin untuk merawatnya. Jangan dah tahu penawarnya tapi pakai redah cara guna tanpa aturan.
SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.
Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.
Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)
“Allah sentiasa Mencintai orang-orang yang sabar” (surah Ali Imran, ayat 146),
“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” (surah al-Baqarah, ayat 153.
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira” (surah az-Zumar, ayat 10).
Seterusnya Allah juga berfirman: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya.” (surah al-Baqarah, ayat 155-157).
Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:
1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.
Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.
2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.
3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.
4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.
Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:
# Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
# Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
# Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.
5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.
Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.
Pengurniaan tiga perkara, iaitu selawat, rahmat dan petunjuk secara serentak menyebabkan orang-orang shalih dari generasi awal umat Islam ternanti-nanti dan merasa terhibur apabila mereka menerima sesuatu yang memerlukan kesabaran.
Mereka berkata: “Kenapa aku tidak bersabar padahal Allah telah berjanji akan memberikan tiga perkara kepadaku dan salah satu dari tiga perkara itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya?”
Akhir sekali orang yang bersabar akan dimasukkan ke syurga dan di dalamnya: “Malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (surah al-Ra’d, ayat 23-24)
Maksud Sabar dan Jenis-Jenisnya.
Sebegitu besar keutamaan bagi orang yang memiliki sifat sabar, sudah tentu kita tertanya-tanya apakah maksud sabar. Mudahnya, sabar dari sudut bahasa bermaksud menahan. Ada pun dari sudut istilah, ia bermaksud kekuatan jiwa untuk menahan dari berakhlak buruk apabila munculnya sesuatu.
Meraih Sifat Sabar.
Di antara surah al-Qur’an yang terawal diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. ialah surah al-Muddathir dan ayat yang ketujuh surah itu berbunyi: “Dan bagi Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar.” Ini menunjukkan bahawa sifat sabar adalah antara yang terawal dan terpenting yang dituntut oleh Islam ke atas kita. Akan tetapi sabar bukanlah satu sifat yang dapat bermastautin secara tetap dalam diri seseorang. Ia adalah sifat yang boleh wujud dan hilang, boleh tinggi dan rendah, boleh berlaku kepada sebahagian jenis kesabaran dan tidak berlaku kepada sebahagian jenis yang lain.
Maka bagi meraih sifat sabar, seseorang hendaklah sentiasa prihatin akan keadaan dirinya dan sering menasihati dirinya untuk bersabar. Dihargai juga apabila ahli keluarga dan rakan-rakan saling menasihati untuk bersabar dengan mengingatkan kembali ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan keutamaan-keutamaan sabar. Tidak ketinggalan ialah memohon pertolongan Allah agar mengurniakan sifat sabar kepada diri kita kerana Allah jua telah berfirman: “Dan bersabarlah dan tiadalah kamu dapat bersabar melainkan dengan (pertolongan) Allah.” (surah al-Nahl 16:127).
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment