بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِالسلام عليكم ورحمة الله وبركات
Allah Ta'ala mewajibkan penutupan aurat seperti yang tercatat di dalam Al-Quran Surah Al-Ahzab, ayat 59 dan Surah an-Nur, ayat 31 mengikut syarat-syarat yang telah Rasullulah terangkan didalam sunnahnya.
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]
Firman Allah dalam surah an-Nur (bermaksud);“Dan janganlah mereka (yakni perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”. (an-Nur, ayat 31).
Di dalam ayat di atas, Allah melarang wanita-wanita beriman mendedahkan perhiasan dalaman mereka kepada kaum lelaki kecuali beberapa orang berikut;
1. Suami
2. Bapa kandung
3. Bapa mertua
4. Anak lelaki kandung
5. Anak lelaki tiri
6. Saudara kandung
7. Anak-anak saudara
8. Sama-sama wanita
9. Di hadapan hamba-hamba mereka
10. Orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
11. Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.
Perhiasan pada badan wanita ada dua jenis;
1. Perhiasan zahir; iaitu pakaian yang dipakai dan perhiasan yang ada di kawasan badan yang harus didedahkan iaitu muka dan tangan (seperti celak, cincin, inai dan sebagainya). Perhiasan zahir ini harus diperlihatkan (atau didedahkan) kepada orang lain termasuk lelaki ajnabi, namun dengan syarat aman dari fitnah.
2. Perhiasan batin/khafiy (tersembunyi); iaitu perhiasan yang berada di kawasan selain muka dan tangan seperti anting-anting, rantai, gelang kaki dan sebagainya; tidak harus diperlihatkan kecuali kepada suami, mahram dan lelaki-lelaki yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas. Jika perhiasan sudah tidak harus diperlihatkan, apatahlagi hendak memperlihatkan tempat beradanya perhiasan itu iaitu tubuh itu sendiri, sudah tentu lebih diharamkan. Jadi, ayat di atas sekaligus difahami darinya kewajipan wanita beriman menutup aurat mereka (iaitu seluruh badan kecuali muka dan tangan) dari dilihat oleh kaum lelaki kecuali beberapa orang yang disebut dalam ayat di atas.
Ramai wanita tahu kewajiban menutup aurat ini. Tetapi hanya berapa kerat sahaja yang mentaati. Itu yang ummi katakan betapa sedihnya melihat mereka-mereka berpakaian tetapi jauh dari ciri-ciri yang disyariatkan oleh agama Islam.
Yang ketat, yang terbelah, yang pakai pakaian seperti pakaian renang, yang pakai pakaian seperti lepas timpa hujan dan yang pakai pakaian sekadar menutup kulit, bukan tutup aurat.
Itu belum termasuk lagi yang berpakaian menyerupai lelaki, yang menyerupai orang -orang jahiliah dan yang menyerupai sesuatu kaum kuffur.
Sedih yang amat bila melihat orang-orang yang mengaku beragama Islam tetapi tidak melaksanakan tuntutan yang agama Islam anjurkan.
Kenapa itu terjadi? Tiada ilmu? Tidak sampai seruan? Degil? Tidak taat? Masih ingin bergaya? Itulah antara sebab-sebab dan puncanya kenapa ramainya manusia berpakaian yang tidak memenuhi syariat agama Islam.
Salah siapa? Pemerintah? Ibu bapa? Atau diri sendiri?
Wahai bakal ibu dan bakal bapa, didiklah anak-anak dari asas di dalam penutupan aurat. Terangkan kepada mereka apa yang betul, apa yang salah. Jangan rasa bersalah atau segan silu untuk menerangkan pada anak-anak, bila mereka melihat seseorang berpakaian yang ketat macam sarung nangka, yang terbelah, yang terselak dan yang terbuka. Nyatakan kebenaran. Kita bukan mengata atau mengumpat tetapi mendidik melalui apa yang terpandang di depan mata.
Tanya mereka ,
" apa perasaan diri kalau pakai baju macam tu?"
"cantikkan di pandang?"
"Kalau kita tengok orang pun rasa nak muntah, ertinya orang tengok kita pun rasa macam tu juga"
Inilah yang dikatakan mendidik melalui perjalanan dan pengalaman. Jangan banyak berjalan cuma mencari keseronokkan. Melancong sambil mendidik.
Semoga entri ini memberikan fikiran untuk kita mengubah diri sendiri dan keluarga...
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Tafsir Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani.
2. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
3. Tafsir al-Wasit, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
4. Tafsir Surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah.
5. Fiqh al-Albisah dan az-Zinah, ‘Abdul-Wahhab Tawilah.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment