BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 11 July 2010

Amalan Ketika Hamil

Amalan Ketika Hamil
Setelah lama berblog,tidak terlintas untuk ummi berkongsi pengalaman ummi hamil dengan pelayar-pelayar internet walaupun telah 10 kali ummi lalui.


Tiba-tiba sahaja hari ini,ingin ummi kongsikan sesuatu buat panduan dan kemaslahatan gadis-gadis yang akan berumah tangga,isteri-isteri yang baru bernikah dan juga bakal-bakal ibu.

Semua keinginan untuk mencatat di sini bermula, apabila di forum halaqahnet, ada seorang pelayar meminta panduan ibu hamil. Maka sibuklah ummi mengoogle mencari maklumat. Selepas itu terlintas difikiran ummi,kenapa nak cari panduan orang lain, sedangkan diri sendiri telah pun melaluinya.


Soalan pertama : Bagaimana yang di sebut sebagai kehamilan terancang ?


Ini Jawapan ummi berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Ketika rahim masih kosong, dalam keadaan suci, katakan baru lepas haid atau baru lepas bernikah. Fikirkan, adakah mahu anak sekarang atau nanti. Mana tahu ada kekangan yang perlu dilalui untuk tidak segera hamil.Kalau rasa nak lambat lagi kena buat perancangan untuk elak kehamilan. Manusia hanya boleh merancang, sekiranya takdir Allah kata jadi, maka jadilah juga walaupun kita berusaha untuk mengelakkannya. Usaha untuk mengelakkan kehamilan itu cuma rancangan kita, belum tentu itu yang Allah rancangkan sejak azali.


Jika merancang mahu anak, maka pada kali pertama bersama dengan suami selepas suci mulakan dengan doa. Niatkan dalam hati setiap kali bersama, selepas membaca doa berjimak dimukaddimah persetubuhan, sepanjang masa persetubuhan itu bacalah doa ini di dalam hati, "Ya Allah, aku bermohon kepada keluasan rahmat MU,jadikan benih ini anak yang soleh,sempurna akal fikiran dan sihat tubuh badan."


Bacalah doa ini setiap masa setiap kali bersama suami sehingga disahkan hamil. Apabila disahkan hamil,maka doa ini pula di baca setiap masa tak kira di mana berada.

Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam kandunganku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit. Ya Allah, sempurnakan dia yang ada dikandunganku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu. Ya Allah, keluarkanlah dia dari kandunganku dengan mudah dan selamat. Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.



Sebenarnya ada doa ini di dalam bahasa arab,tetapi oleh kerana dah terlalu lama tak hamil,dah terlupa doa di dalam bahasa arabnya.

Yang ummi ingat hanya hujungnya sahaja, namun ummi akan usaha mencari juga. Tanya zauj lagi lah dia pun tak ingat sebab mana dia ada baca doa tu.



Sohihan..kamilan..hazikan..'akilan..'aliman zakiyyan mu'minan solihan...Allahumma ahsin khuluquha..wa ahsin shautaha..li qiraati Quran wal hadisi bibarkati saiyidina Muhammad s.a.w..Amin...walhamdullilah hirrabil 'alamin.

maksudnya: Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.


Begitu pula amalan -amalan yang baik ketika hamil. Banyak yang mengalakkan membaca surah-surah tertentu untuk di baca. Di bawah ini ada ummi sertakan. Tetapi ia berbeza dengan apa yang ummi sendiri lakukan ketika ummi hamil.

Ummi amat suka jika di dalam tempoh kehamilan itu akan melewati bulan puasa. Ini bererti ummi dapat berpuasa penuh, dan dapat menggandakan ibadah serta doa untuk anak yang di dalam kandungan.

Sekiranya mampu baca satu quran. Setiap hari mengaji dari awal hamil sampai bersalin. Amalkan macam kita mengaji di bulan Ramadhan. Setiap kali hamil ummi mesti tekad untuk khatamkan quran. 9 bulan tu,kalau bacaan laju,tentu boleh khatam 3, 4 kali,yang penting istiqomah membaca setiap hari walaupun gagap atau lambat.


Kita tidak payah pilih-pilih surah apa yang baik dibaca. Baca sahaja semuanya satu quran.

Seronoknya hamil...

Sambil itu baca juga terjemahan quran, agar kita faham apa yang kita baca. Ummi galakkan buat yang ini. Sebelum mengaji tekad dalam hati moga anak yang dikandung ini akan dapat menghafal quran suatu hari nanti.

Ketika hamil,jangan sekali-kali tidor di waktu pagi. Ini akan melemahkan tubuh badan dan akan cepat kelihatan lesu. Jika mahu tidor,tidorlah selepas waktu dhuha sebelum solat zuhur. Qailullah Memang fitrahnya,ibu hamil terutama yang masih baru kehamilan, akan berasa amat mengantuk di ketika ini.


Pesanan arwah bapa dan mak mentua,jangan kejutkan ibu yang hamil ini tidor. Biarkan sahaja kerana ketika tidorlah pembesaran janin berlaku. Jika mahu mengejutkan mereka ini bangun pun, caranya mesti lembut agar mereka tidak terkejut. Tetapi jangan pula tidor berlebihan kerana akan membawa kesan buruk kepada ibu dan bayi dalam kandungan.


Semasa hamil,lalui kehidupan dan aktiviti harian seperti biasa. Buat kerja rumah,jika masih belajar, pergi ke kuliah seperti biasa. Jangan sekali-kali memanjakan diri dan ikut rasa/mood malas. Memang fitrah ibu hamil akan dilanda kemalasan maksima. Ummi sudah lalui keadaan ini, hanya kekuatan diri untuk melawannya sahaja akan berjaya.


Ada ketika kita akan rasa loya, tekak mual dan ingin muntah pada awal kehamilan. Itu memangnya rasa semula jadi kepada setengah-setengah ibu. Bukan semua akan melalui keadaan ini. Macam ummi sendiri,dalam 10 kali hamil ada sahaja perbezaannya. Hanya yang sama ialah, bila hamil sahaja, ummi tidak suka makan apa yang ummi masak. Ummi hanya makan apa yang orang lain masak biarpun lauk orang tu adalah lauk semalam. Jiran ummi lah yang selalu jadi mangsa ummi, berikan lauk lebihan semalam kepada ummi. Ummi terima dengan penuh gembira kerana ada makanan yang dapat dimakan. Namun untuk ummi pergi meminta atau bertanya jauh sekali.


Sebab itu ketika hamil, zauj yang selalu masak untuk ummi makan. Untuk zauj dan anak-anak,ummi dah siapkan tetapi ummi tidak akan jamah masakan itu. Tak tahu kenapa, ummi pun musykil juga dengan keadaan ummi ini.


Pernah juga ummi paksa makan makanan yang ummi masak, nampak sedap, ummi makan sebab hari tu ada peperiksaan akhir kertas Kimia Organik di Dewan Besar,UTM. Kalau tidak makan, nanti lapar pula ketika exam, dah la paper tu ambik masa 3 jam. Lepas makan masih ok,maka ummi pun masuk duduki peperiksaan tu. Tiba-tiba baru 40 minit menjawap, tekak dah rasa loya dan mahu muntah. Alahai,nak muntah kat mana ni,dah la kerusi ummi dihadapan sekali. Dewan tu sangat lah besar, kalau pun ummi berlari keluar pasti tidak sempat dan akan bertaburan di atas lantai dewan yang berkarpet itu. Dan ini pasti akan menganggu kawan-kawan lain yang sedang kyusuk menjawap soalan peperiksaan.


Oleh kerana tekak ni dah tak boleh tahan, ummi pun terus sahaja muntah kat tudung ummi sendiri. Hari tu ummi pakai jubah dan tudung labuh, kebetulan fabriknya tebal. Ummi kendong muntah ummi tu,yang keluar ialah nasi dan lauk yang ummi makan pagi tu. Pengawas peperiksaan datang bantu ummi dan iringi ummi keluar dewan menuju ke asrama puteri. Masuk bilik air mereka dan tinggalkan tudung ummi yang dipenuhi muntah ummi sendiri,pergi ketuk bilik pelajar junior, minta pinjam tudung. Kebetulan junior tu memang pakai tudung labuh juga. Pengawas peperiksaan tu iringi ummi sahaja sampai ummi siap bertudung.


Lepas tu ummi sambung masuk dewan peperiksaan semula untuk menjawap yang masih banyak lagi. Ummi kehilangan masa selama 30 minit semata-mata menguruskan muntah ummi itu. Alhamdullilah,paper itu lulus juga walaupun terganggu disebabkan keadaan ummi yang hamil.

Ini baru cerita satu situasi yang ummi hadapi ketika satu kehamilan. Bermakna ada banyak cerita-ceriti ketika ummi lalui 10 kali kehamilan. Namun semua itu tidak menyebab mana-mana ibu pun serik untuk terus hamil. Jika diizinkan tentu ibu yang pernah hamil akan mahu hamil lagi.


Tidak dapat digambarkan perasaan seorang perempuan apabila dia mengetahui dirinya hamil dari zuriat suaminya sendiri. Bahagia dan tenangnya jiwa. Tenang jiwa mungkin disebabkan oleh kerap membaca quran dan berzikir sewaktu hamil. Lagi pun apa yang zauj ummi selalu buat ialah,ketika ummi tidor,zauj akan mengaji berhampiran dengan ummi. Kadang tu mengaji atas katil sebelah perut ummi. Jadi anak dalam kandunga itu selalu diperdengarkan bacaan quran selain doa ummi dan ayahnya.


Ini hanya sedikit catatan ketika ummi sendiri hamil. Dibawah ini ummi ambil dari hasil googlelan ummi berkaitan panduan ibu hamil. Mana-mana pun boleh diikuti asalkan mahu buat. Banyak-banyak yang diketahui tetapi jika tidak diamalkan pun tidak guna juga.



Amalan-amalan ketika mengandung

1. Banyak bertaubat kepada Allah s.w.t atas segala dosa yang telah dilakukan

2. Sentiasa menutup aurat mengikut ajaran Islam

3. Membaca ayat-ayat Al-Quran


Surah-surah amalan ketika mengandung

· Al-Fatihah dan ayat Kursi

· Seluruh surah Yassin

· Seluruh surah At-Taubah

· Seluruh surah Yusuf

· Seluruh surah Luqman

· Seluruh surah Maryam

· Surah An-Nahl ayat 78

وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

· Surah Al-A'raf ayat 189

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا فَلَمَّا تَغَشَّاهَا حَمَلَتْ حَمْلاً خَفِيفًا فَمَرَّتْ بِهِ فَلَمَّا أَثْقَلَت دَّعَوَا اللّهَ رَبَّهُمَا لَئِنْ آتَيْتَنَا صَالِحاً لَّنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِين

Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang-senang (bertenang tenteram) satu diri kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika dia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata): Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur

Link laman-laman web Al-Quran

Syed Aftab Ali Bukhari - bacan Al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Inggeris

Al-Islam - bacaan Al-Quran dan terjemahan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa melayu.

4. Membaca doa

· Doa mohon rahmat - Surah Ali-Imran ayat 8-9

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ رَبَّنَا إِنَّكَ جَامِعُ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَّ رَيْبَ فِيهِ إِنَّ اللّهَ لاَ يُخْلِفُ الْمِيعَادَ

(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

· Doa zuriat yang soleh - Surah Ali-Imran ayat 38

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.

· Doa mohon ampun - Surah Ali-Imran ayat 192-194

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلإِيمَانِ أَنْ آمِنُواْ بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الأبْرَارِ رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَى رُسُلِكَ وَلاَ تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لاَ تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.

· Doa anak tetap mengerjakan sembahyang - Surah Ibrahim ayat 40-41

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan

5. Kehidupan suami isteri ketika mengandung akan mempengaruhi janin. Oleh itu terdapat adab-adab yang perlu bagi suami dan isteri

· Adab isteri terhadap suami ketika mengandung

1. Mengasihi dan menyayangi suami

2. Menjaga perkataan terhadap suami

3. Tidak terlalu cerewet

4. Menjauhi daripada perasaan yang tidak baik terhadap suami

5. Menghargai pandangan dan nasihat yang diberikan suami, orang tua serta ahli keluarga

6. Menghormati kaum muslimin dan muslimat serta berbuat baik kepada mereka

7. Menjauhi dari mengumpat dan menghina orang lain.

· Adab suami terhadap isteri

1. Menunjukkan kasih sayang terhadap isteri

2. Jujur dan setia pada isteri serta tidak memberi layanan yang kejam dan kasar

3. Selesaikan selisih faham

4. Tidak mudah menjatuhkan talak atau mengeluarkan perkataan yang sama sepertinya.

5. Kerap melakukan sembahyang sunat dan mendoakan isteri dan anak selamat

Yang paling utama bagi seorang ibu yang hamil ialah menjaga lidahnya dari berkata-kata sia-sia , jauhi dari memaki, menghina,mengumpat dan mencarut. Selain itu jaga pemakanan, bukan sahaja mementingkan kebersihan,  mengambil makanan yang berkhasiat tetapi menjaga kehalalan makanan serta sumbernya.


Ummi tidak makan langsung apa-apa jeruk yang diawet, minuman berkarbonat, makanan ringan dan makanan segera. Jika teringin nak makan asam,ummi beli sahaja epal hijau atau buah mangga. Tetapi bersyukurnya ummi,dalam semua kehamilan itu,ummi tidak suka makan benda-benda yang masam. Suka makan buah-buahn yang manis sahaja. Suka susu  dan sayur. Ini akan  memberikan kesan kepada bayi dalam kandungan, bayi lahir dalam keadaan sihat dan kulitnya bersih. Lagi pun makanan ni tak payah masak, maka ummi boleh makan banyak-banyak.


Kalau ummi suka air soya, maka ummi akan buat sendiri. Sudah pasti tidak ada bahan pengawet. Rendam kacang soya dan kisar, lepas tu masak sehingga mendidih. Ummi buat untuk 3 hari sekali, dengan disejukkan di dalam peti sejuk. Ummi juga suka minum air tebu dan air kelapa. Kalau kita suka makan, makanan begini,tak ambik makan tambahan seperti pil asid folic atau vitamin A pun tak apa.


Satu lagi pesanan ummi kepada ibu yang baru hamil, memang tekak loya dan selalu muntah, kadang tu sampai penat nak berulang alik ke bilik air dan badan jadi lemah. Kalau berlaku keadaan begini, jangan ikut mood,ikut emosi diri, sebaliknya jangan berhenti makan, teruskan juga makan walaupun akan muntah lagi. Sebabnya pada awal kandungan, embrio sedang terbentuk dan membina tisu-tisu untuk organ dalaman. Makanan berkhasiat amat penting untuk pembentukkan tisu-tisu organ embrio.


Ini yang berlaku, pada awal kehamilan tak lalu makan, dah hujung kehamilan kuat makan. Pada hujung kehamilan ni kalau kuat makan dah tak beri kesan pada bayi dalam kandungan sebab semua tisu-tisu organ sudah terbentuk, cuma mencukupkan masa penyempurnaan agar dapat berfungsi dengan baik. Kalau ibu makan banyak ketika ini,hasil utama di dapati ialah kegemukan dan bertambah berat badan bukan akan membesarkan bayi tapi membesarkan tubuh ibu sendiri. Lepas tu penat nak diet semula...

Sekian entri hari ini,semoga bermanafaat untuk dunia dan akhirat.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



7 comments:

wildan said...

subhanallah! awesome!! teringinnya nak jadi ibu.. :) ummi, jeles kat atun sbb dia dh sempurnakan separuh agamanya..

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Meh...ramai-ramai...

Karisma Izzah said...

Nikmatnya mengandung... cabarannya juga besar

teringin nak mengandung lagi.huhuhu.....

Karisma Izzah said...

Ummi doakan ye... semoga Allah Kabulkan Doa-doa Ummi... Amin...

N.Y. said...

bestnya dengar cerita ummi...
nak mengandung jugak....
tapi, dah 1 tahun lebih kahwin..msih belum hamil lagi..:(
ada tips tak ummi?

Ummi Munaliza said...

InsyaAllah Amy, kena banyak bersabar. Banyakkan berdoa mohon dimurahkan rezeki. selalu bersedekah ,biarpun sedikit tetapi berterusan...

Anak tu rezeki juga,maka jika kita pemurah, akan Allah murahkan lagi rezeki kita.

N.Y. said...

thanks you ummi...insyaallah...akan berusaha untuk lebih istiqamah.