BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 7 December 2009

Bagaimana aku mula menulis

Masuk bulan Disember ni, idea untuk menulis macam tumpul. Mungkin sibuk dan mudah letih agaknya. Cerita pergi ke Melaka minggu lepas pun masih dalam bentuk draf, belum dipublish. Mana tidak sibuknya, dengan anak-anak yang cuti sekolah, cucu lagi, maka konsentrasi untuk menulis tu berkurang.Untuk menulis ni, perlukan tumpuan juga walaupun bukan menulis novel. Sebabnya bagi ummi setiap apa yang ummi tulis dan cerita mesti ada mesej dan nilai yang ingin disampaikan. Ummi bukan menulis sekadar melepaskan rasa atau meluahkan perasaan tanpa ilmu yang berilmiah untuk dijadikan panduan kepada pembaca.

Memang ummi telah berniat ketika ummi mula menulis di laman maya ini untuk berjariah ilmu. Selain ummi menjariahkan masa bersama halaqah, mengendalikan forum, memantau forum, ummi ingin juga menjariahkan ilmu ummi kepada pembaca.

Bagaimana ummi terdorong untuk menulis menjelang usia 44 tahun? Jika kata untuk ummi memenuhi masa lapang yang banyak terluang ini, tidak juga, sebab, tahun lepas ummi diberikan cuti sakit hampir 9 bulan, langsung satu perenggan ayat pun tidak ummi tulis. Kawan-kawan yang datang berziarah pun ada kata, "muna, apa kata dah duduk saja di rumah ini, muna menulis, sebab muna kan minat membaca, muna dah lalui banyak pengalaman, jadi tiba masanya muna tuliskan pengalaman yang dilalui untuk dijadikan panduan kepada anak-anak atau pembaca." Tapi tidak juga ummi menulis. Mungkin hati belum terbuka. Orang kata belum tiba masanya.

Segalanya berubah, bila ummi balik dari Makkah, hati masih rindu pada Baitulullah , Makkah Mukaramah dan Masjid Nabawi di Madinah Munawarrah, maka mencarilah cerita dan gambar-gambar berkaitan Baitullah dan Masjid Nabawi. Terjumpa cerita, Dato' Dr. Haron Din masuk ke dalam Kaabah disamping untuk cari maklumat rawatan alternatif bagi rawatan kesihatan ummi. Di Laman Darus syifa, ada pautan Halaqah.net menjemput untuk menjadi ahli. Ummi pun mendaftar.Bermula dari Daftar pada: January 28, 2009, 03:53:39 PM, ummi terus setia dan aktif bersama Halaqah net.

Ini catatan ummi 'Bagaimana Anda Bertemu Dengan Halaqah.Net.'

Bertemu Halaqah.net"Setelah hampir setahun hanya duduk di kerusi roda, tidak dapat kemana-mana, teman setia hanyalah al-quran, buku-buku, dan sebuah laptop, dengan dialah saya tersenyum, dengan dialah saya ketawa. Untuk mengharap sahabat taulan, saudara mara,anak-anak, selalu mendampingi saya,tidak mungkin kerana masing-masing ada urusan kehidupan sendiri, anak-anak perlu menuntut ilmu, suami dan sahabat-sahabat perlu bekerja mencari rezeki, saudara mara jauh di utara, maka saya perlu mengisi masa dalam kehidupan seharian sendiri.

Dengan pergerakkan yang terbatas,apa yang mampu dilakukan? Hospital menjadi rumah kedua...
Mujurlah ada laptop teman setia, seperti nyawa kehidupan...
Semasa menjelajah web Darus Syifa, ternampak jemputan ke Halaqah.net,terus mendaftar. Kehidupan semakin berwarna, dan telah tekad di hati, biarlah baki usia yang ada ini, untuk beramal jariah bersama halaqah.net. Hanya jalan dakwah begini yang mampu saya lakukan sekarang. Sekira lama tidak akitf, tiada pula khabar berita, maka sedekahkan Al-Fatihah buat saya ya. "

Ini komen pertama dari ustaz Ibnuwalidaini:

Dakwah"semoga ummi terus kuat utk berdakwah di medan maya ini..insya Allah usaha yang telah ummi lakukan ini akan dapat ganjaran dariNya...

halaqah.net...satu ruang yang cukup sempit tapi pelbagai orang ada dalam nih..disini kita dipertemukan dalam menghubungkan silaturrahim sesama Islam..."


Komen kedua dari izzah hanaani:

Doa"saya doakan moga ummi sembuh..Allahumma Salli'ala Saidina Muhammad, Tibbil Quluubi wadawaaiha...
jasa ummi disini amat dihargai.terima kasih ummi.ummiku sayang ummi..."

Di ruangan kerjaya ummi tulis ini:

KerjayaQuote from: Munaliza Ismail on March 07, 2009, 03:18:10 PM

Kerjaya saya sekarang hanya menjawap dan menyoal.

Duduk berjam-jam menghadap laptop.

Bila lapar, saya makan. Mengantok saya tidor.

Lepas tu ustaz alhaudhie jawap lagi...

GAJIMujurlah.. kalau kena bayar gaji, tak terbayar dah halaqah... kerja full time/day

Semuanya jadi kenangan sangat indah bagi ummi. Ummi rasa bahagia dan ceria bersama Halaqah.net. Setelah 1o bulan, hari ini ummi mencatatkan pertemuan dengan Halaqah.net. Dengan Halaqah.net, menyebabkan ummi sentiasa rindu. Walaupun masih baru, belum pun setahun, tapi telah banyak jatuh bangun, suka duka yang ummi tempuh bersama Halaqah.net.

Selepas bersama Halaqah.net , barulah ummi mula aktif menulis laman blog. Mungkin telah dapat dorongan, dapat idea dan mungkin ummi telah berjinak-jinak dengan membaca laman orang lain semasa mencari idea , bahan rujukan untuk menjawap soalan berkaitan beberapa permasalahan feqah, munakahat dan lain-lain topik.

Dari situ, ummi mula mengimbas kembali kata-kata kawan-kawan menyuruh ummi menulis pengalaman ummi di selama ini. Alhamdulillah, ummi berjaya menulis sedikit demi sedikit pengalaman ummi yang lalu. Banyak lagi catatan yang belum ummi tuliskan berkaitan kerjaya dan hidup ummi yang telah ummi lalui. Kebanyakan yang ummi tulis sekarang ini adalah cerita semasa. InsyaAllah ada kesempatan dan masa, ummi akan tulis juga buat bacaan, renungan dan panduan untuk anak-anak ummi.

Tak sangka, bila dah mula menulis jadi seronok sehingga ummi mampu memiliki 5 laman blog dan mengendalikan sebuah forum. Posting di forum telah mencapai 7364. Menulis ini dapat mengembangkan idea dan perlu lebih banyak membaca. Ummi harap, apa yang ummi tulis di laman-laman blog menjadi ilmu yang boelh dijariahkan...


Impianku menjadi muslimah solehah

0 comments: