Kita sangat memerlukan rumahtangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Usrah muslim, keluarga muslim mempunyai peranan yang penting di dalam kekuatan dan kepaduan masyarakat ataupun perpecahan dan kemusnahannya. Rumahtangga itu adalah merupakan asas utama bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan dibentuk di masa pembentukan dan persediaan mereka. Rumahtangga lah yang bertanggungjawab mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak yang akan mencorakkan hidup mereka, benarlah Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya-kejadian yang suci dan ibu bapanya lah yang menjadikan Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi”
Dari awal-awal lagi hendaklah seorang lelaki atau perempuan ini membangunkan keluarga muslim yang diasaskan di atas dasar takwa. Seorang lelaki yang sejati wajib mencari perempuan Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini, menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah, sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa, sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalanginya, memelihara dirinya di waktu ghaibnya sekalipun bagaimana lamanya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut bentuk Islam yang sebenar-benarnya.
Begitu juga jika seorang suami itu ingin membina sebuah lagi keluarga, mestilah memilih perempuan yang beragama, berakhlak mulia dan bertaqwa. Rasanya memilih isteri kedua dan ketiga kena lebih berhati-hati supaya rumah tangga yang sedia ada, aman bahagia tidak pula musnah atau porak peranda. Sebolehnya rumah tangga yang akan dibina itu akan menambahkan lagi kebahagiaan yang sedia ada. Hidup bertambah harmoni walaupun mempunyai 2 atau 3 keluarga yang perlu dikendalikan.
Banyak mana pun rumahtangga yang dibina, biar lah rumah tangga yang bertaqwa, hidup dalam harmoni, berkasih sayang dan yang penting sentiasa berada di dalam redha , rahmat dan kasih sayang Allah.
Apabila rumahtangga yang dibina itu mempunyai iltizam dengan Batas-Batas Islam, maka hukum-hukum Islam dan adab-adabnya mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri, masa pengantin baharu atau berbulan madu mestilah jauh dari segala adat lapuk, pusaka usang jahiliah yang rosak. Walaupun untuk perkahwinan kedua atau ketiga atau keempat, pembangunannya mesti berasaskan syariat Islam.
Kalau kita berpegang teguh dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.
Membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri, tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan dengan segala perhiasan rumahtangga.
Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari perasaan takwa kepada Allah, kerana Allah lah yang mengurniakan kebahagiaan, yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami dan isteri-isteri. Benarlah Allah yang Maha Agung yang telah berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Ar-Rum: 21)
Kita tidak memandang kebahagiaan itu di dalam harta yang banyak, akan tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.
Tujuan dan tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Taala. Jadi kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah Taala. Kita jadikan segenap kehidupan hidup sebagai alat untuk kita menghampirkan diri kepada Allah. Kita pergunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah.
Amal dan nikah kahwin dan mendidik anak-anak dan lain-lain lagi yang merangkumi segala kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kepada Allah, untuk menghampirkan diri kepada Allah, selagi dibuat kerana mengharap keredhaan Allah dan menjauhi apa yang dimurkai Allah.
Oleh itu mana-mana suami, mestilah memandang urusan perkahwinan mereka yang kedua atau ketiga atau keempat sebagai ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Semua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu mana-mana pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan kewajipan suami-isteri rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu. Tolong menolong ke arah kebaikkan, menuju takwa dan ke arah taat kepada Allah di dalam pergaulan mereka. Harga menghargai, hormat-menghormati dan kasih sayang di antara semuanya. Semuanya ini mesti di atur menurut syariat Islam. Benarlah Rasulullah s.a.w tatkala bersabda yang bermaksud:
” Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya.”
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)
Dalam membina rumah tangga bahagia mesti ada suasana saling percaya mempercayai, cinta mencintai, di antara suami dan isteri-isteri, maka lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga-rumahtannga . Rumahtangga -rumahtangga ini menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka hilanglah segala keraguan. Tidak ada lagi kata mengata, tuduh menuduh dan ke pura-puraan.
Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang-terangan dan rahsia di waktu ghaib dan waktu syahadah. Lantaran itu tenteramlah jiwa suami dan ia berpuas hati kepada isteri-isterinya dan yakinlah ia bahawa isteri-isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walaupun beberapa lamanya ia terpisah dari isteri-isterinya. Demikian juga sikap isteri-isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan menggoda semuanya.
Apabila kehidupan rumahtangga suami dan isteri-isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas syura’, tolong menolong, cinta mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus. Inilah yang mendorong dan menolong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. jika masih terdapat kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan. Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:
`Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang maaruf akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya”. (Al-Baqarah : 228)
” Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka”. (An-Nissa’: 34)
Lantaran itu sempurnalah pentadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam.
Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna’im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya himgga ke hari ini.
Suami dan isteri-isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Tiap-tiap orang dari kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman:
‘Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” (At Tahrim : 6)
Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya”.
Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah ataupun menyalahi ajaran Islam padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.
Akhirnya kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Bergaul baik dengan antara suami dengan isteri-isteri dan anak-anak , di mana semua anak-anak dan isteri-isteri makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuan seorang suami.
Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.
Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya. Dengan fesyen pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi di waktu suka dan duka Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah, adat-adat dan tradisi jahiliah yang di import dari luar.
Sekian entri ummi kali ini,bagaimana untuk membina rumahtangga-rumahtangga poligami yang bertaqwa.
Impianku menjadi isteri solehah
0 comments:
Post a Comment