السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
CARI wang tidak salah. Duit sebenarnya menjadi alat demi mentaati Allah. Dengan wang itu dapatlah kita membayar zakat, menunaikan haji, berjihad serta membantu mereka yang tidak berkemampuan. Islam meletakkan harta tempat yang mulia sekiranya diurus dengan cara yang berhemah. Yang kita bimbang kesibukan mencarinya sehingga melalaikan kita. Ada yang rela bekerja siang dan malam mencari harta hingga mengabaikan hak keluarga di rumah, anak mendapatkan pendidikan, hak Tuhan untuk disembah, bahkan yang paling parah hak anggota tubuh untuk beristirahat hanya demi harta yang nilainya tidak seberapa.
Yang kita hendak bincang pada kali ini adalah bagaimana kesilapan kita dalam melihat nilai yang kita buru habis habisan.
Padahal nilai akhirat itu perlu kita perjuangkan. Ini tidak apabila sudah mendapat wang, kedekut ibarat tangkai jering.
Dengan nilai wang RM10 ribu misalnya kita boleh dapat dan beli apa saja. Tetapi pernahkah kita fahami nilai dua rakaat solat sunat tahajud, nilai zakat, sedekah, membaca al-Quran, zikir? Adakah ia seimbang? Justeru, itu yang perlu kita perbetulkan segera. Wang adalah sebagai alat untuk membeli akhirat dan syurga. Ini kerana dengan kefahaman inilah mereka mencarinya dengan betul serta menggunakannya pun dengan cara yang betul.
Dunia kita dapat, akhirat pun kita juara. Contohnya, sahabat nabi jika mereka tertinggal takbiratul di dalam solat berjemaah saja, mereka bersedih dan berkabung selama tiga hari seolah-olah mengalami kerugian yang amat sangat.
Lain pula halnya dengan kita, kadang-kadang kita sanggup melupakan amalan demi bentuk keduniaan. Bertambah hairan kita tidak rasa bersalah hanya demi membina dunia itu. Contohnya solat, apabila berkumandang azan menandakan sudah masuk waktu solat. Kaum lelaki sepatutnya berduyun-duyun segera menuju ke rumah Allah. Manakala wanita pula bersegera solat di awal waktu, tetapi apa yang terjadi adalah kita sibuk mengutamakan kerja dengan alasan mencari rezeki. Sedangkan Allah menghubungkan rezeki itu sendiri dengan solat. Firman Allah yang bermaksud: "Perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Surah Thaha: 132).
Betapa jauhnya fahaman kita berbanding dengan sahabat nabi. Mereka rela mewakafkan kebun kerana ia menjadi penyebab lalai dalam solat. Jika akhirat sahabat bergoyang, mereka sanggup lepaskan dunia mereka untuk meneguhkan akhirat. Kita pula terbalik, kita sanggup lepaskan akhirat demi hendak memperteguhkan dunia kita. Amat menghairankan kita tidak rasa bersalah pun melewatkan solat demi dunia kita, apatah lagi rasa bersalah disebabkan malas serta tidak fokus mengerjakan solat. Bagi menyedapkan hati, kita bandingkan pula diri dengan orang yang tidak bersolat. Maka jawapannya 'saya lebih baik dari mereka yang tidak solat'. Oh, betapa jauhnya kita.
Jangan dibandingkan rohani kita dengan orang yang lebih rendah dari kita, tetapi bandingkan rohani kita dengan rohani sahabat nabi. Amatlah rugi jika kita hanya faham dunia dan kualiti ISO 9001 saja. Berusahalah ke arah mencapai kualiti rohani sebagaimana rohani sahabat nabi. Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini amat sementara, sedangkan akhirat itu kekal abadi. Umur dunia mungkin panjang lagi, tetapi apa yang pasti umur kita tidak akan sepanjang umur dunia ini.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment