BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 26 March 2010

Nikmat syurga tiada bandingan


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :


“Tidak akan masuk syurga orang yang ada didalam hatinya, seberat biji sawi, dari takabbur. Dan tidak akan masuk neraka orang yang dalam hatinya seberat biji sawi dari Iman” (Muslim)

Setelah Allah SWT menerangkan perbuatan para pendusta, berikutnya Dia menerangkan pula dengan lebih lanjut kemenangan yang diperolehi oleh orang yang bertaqwa, iaitu syurga yang digambarkan kewujudan dan isinya. Dia menerangkan bahawa syurga tidak lain adalah kurnia Allah SWT.

Perkara ini merupakan pendorong hasrat yang tinggi dan mengajak mereka agar lebih bersungguh dalam melakukan amal kebajikan dan menambahkan kedudukan yang dekat kepada Allah SWT dan ketaatan kepada-Nya.

Ayat ini juga merupakan gambaran penderitaan bagi orang yang tersesat lagi pendusta.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.

Ibn Abbas dan al-Dahhak berkata: Iaitu, dalam keadaan suci sedangkan Mujahid dan Qatadah berkata: Mereka selamat dari api neraka.

Firman Allah SWT: (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur. Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya.

Inilah sebahagian kenikmatan syurga dengan makanan dan bidadari. Al-Maraghi berkata: Bernikmatan dengan bidadari menggambarkan kesenangan seseorang di dunia yang memperoleh kelazatan walaupun kita tidak mengetahui hakikatnya di akhirat kelak dan kita wajib beriman dengannya.

Jelas kenikmatan di sana melebihi kelazatan yang terdapat di dunia. Ini merupakan bentuk kesenangan di hari akhirat.

Firman Allah SWT: Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Ibn Abbas berkata: Ia terisi penuh dan berturut-turut dan Ikrimah berkata: Ia menjadi jernih.

Firman Allah SWT: Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta.

Ibn Kathir berkata: Dalam syurga tiada perkataan yang tidak bermanfaat, malahan pula dusta dan dosa. Syurga merupakan tempat yang terjamin keselamatannya penuh dengan nikmat yang tidak terkira.

Firman Allah SWT: Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya).

Syed Qutb berkata: Kita dapat melihat keindahan pengungkapan dan irama dalam pembahagian di antara jaza' (balasan) dan ata' (kurnia).

Keindahan itu dapat dilihat lebih kurang pada semua bunyi di akhir ayat. Inilah ciri yang nyata dalam keindahan seluruh juzuk ini.

Firman Allah SWT: Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata dengannya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu).

Ibn Kathir berkata: Allah SWT menjelaskan berkenaan dengan Keagungan dan Kemuliaan-Nya. Dialah Rabb yang hakiki sama ada di bumi atau di langit dan semua makhluk tidak mampu berbicara kecuali dengan izin-Nya.

Firman Allah SWT: (Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.

Ulama tafsir khilaf berkenaan dengan maksud roh di sini antaranya:

Roh-roh manusia seperti riwayat al-Aufi dari Ibn Abbas.

Anak cucu Adam AS seperti pendapat al-Hasan dan Qatadah.

Salah satu daripada makhluk Allah dalam bentuk seperti manusia tetapi bukan malaikat dan manusia. Keadaan mereka juga makan dan minum. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, Abu Salih dan al-A'mash.

Iaitu Jibril a.s seperti pendapat Sya'bi, Said bin Jubair dan al-Dahak.

Para malaikat yang mulia dan hampir dengan Allah SWT seperti kata Muqatil.

Iaitu al-Quran. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Salah satu malaikat dengan ukuran sebesar seluruh makhluk.

Ibn Kathir mentarjihkan pendapat kedua iaitu: Anak cucu Adam AS.

Firman Allah SWT: Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya, maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!

Hari Kiamat pasti berlaku dan hendaklah seseorang itu beramal soleh dan dapat mendekatkan kepada Allah SWT dengan memperolehi kemuliaan dan pahala, di samping itu dapat menjauhkan dari seksaan azab neraka.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), Iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau Aku menjadi tanah (supaya Aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)".

Ibn Kathir berkata: Pada hari itu orang kafir berangan-angan dengan menyatakan jika mereka dijadikan sebagai tanah dan bukannya makhluk yang wujud di muka bumi.

Ini kerana setelah diperlihatkan kepada mereka azab dari Allah SWT dan perbuatan buruk mereka yang telah dicatatkan oleh malaikat yang mulia.

OLeh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

2 comments:

Anonymous said...

Salam, sekadar menyapa laman ini untuk bertamu seterusnya...insya'Allah.

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Tak sangka ustaz jumpa laman blog saya ni...terima kasih ustaz, sudi bertandang.