“JANGAN lupa ya ummi! Bulan ini birthday Abdullah, Abdullah nak bawa kek kat kawan-kawan di sekolah,” ujar anak ummi yang berumur lapan tahun.
Tersentak juga mendengar anak montel dan gebu itu mengomel. Yang tersentak sebenarnya bukannya sebab kena beli kek atau terlupa tarikh hari lahirnya, tetapi kerana mengenangkan umur serta tanggungjawab di sebalik sambutan hari lahir itu.
Umur anak kecil yang masih putih bersih bak kain putih seperti Abdullah itu sememangnya hanya tahu bergembira kerana mereka dirai, diingati dan disayangi. Namun, bagi kita yang sudah lama bermusafir di bumi Allah ini sepatutnya bermuhasabah diri kerana semakin umur kita semakin berkurangan umur.
‘Birthday’ yang biasanya diucap ‘selamat’ itu sebenarnya ‘bertambah kurang’. Seeloknya di samping bergembira, jangan lupa aspek manfaat dan kualiti amal yang kita lakukan perlu seiring dengan pertambahan usia kita.
Hal ini sangat penting kerana di akhirat nanti, setiap individu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Sebagaimana di dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada Hari Kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.” (HR Tarmizi).
Dalam hidup manusia terdapat tonggak umur yang sangat penting, antaranya umur 40 tahun sebagaimana tertera dalam al-Quran (Al-Ahqaf: 15--16). Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Apabila seseorang sudah mencapai usia 40 tahun, sekiranya kebaikannya tidak mengatasi keburukannya, syaitan mencium di antara kedua-dua matanya dan berkata, ‘Inilah manusia yang sangat malang’.
Dalam riwayat lain, Nabi bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa umurnya sudah melebihi 40 puluh tahun sedang kebaikkannya tidak lebih banyak daripada kejelekannya, hendaklah ia mempersiapkan keberangkatannya ke neraka." Daripada dua hadis berkenaan, Nabi s.a.w menganjurkan umatnya untuk memeriksa amal perbuatannya setiap kali menyedari umurnya kian bertambah.
Umur aset yang akan dipertanggungjawabkan. Kita pasti ‘beruntung dan celaka’ dengan umur panjang kita. Semuanya bergantung pada amal yang kita lakukan. Rasulullah s.a.w menyimpulkannya dalam dua kalimat iaitu “Manusia paling baik ialah yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya.
Sehubungan itu, kita perlu menggunakan sisa umur yang masih diberikan ini dengan amalan yang baik khasnya bagi mencapai ‘Husnul Khatimah’ iaitu penghabisan umur yang baik. Mereka yang tidak menggunakan usianya dengan sebaiknya berada dalam kerugian dunia dan akhirat.
Hidup hanya sekali kerana peluang tidak datang berkali-kali. Hanya mereka yang terpimpin dengan al-Quran dan sunnah Nabi yang akan sentiasa berwaspada terhadap peringatan Allah s.w.t. Dalam surah al-’Asr yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar“.
Kerana terkesan dengan masa serta kepentingannya Ibrahim bin Adham pernah menjawab ‘Umurku baru 10 tahun’ apabila ditanya berapakah umurnya. Terkejut orang yang bertanya. Bagaimana boleh jadi begitu, sudah tua lagi berjanggut tetapi mengaku baru berumur 10 tahun. Dengan hati yang rendah penuh keinsafan beliau menjawab, “Baru 10 tahun aku benar-benar berubah dan beramal dengan berkualiti”. Seorang lagi alim apabila ditanya berapa umur, beliau menjawab, “Umurku 15 ribu hari. Lagi kaget yang bertanya, kita biasanya mengingati umur bayi empat puluh hari, enam puluh hari dan sebagainya. Beliau sangat berkira saat-saat yang berlalu, katanya aku ingat umurku dalam jumlah hari supaya aku dapat bermuhasabah. Sekiranya setiap hari satu kali berbuat dosa bayangkan kalau sudah 15 ribu hari. Kalau buat dosa setiap hari 5 minit bayangkan kalau sudah 15 ribu hari.
Orang yang cerewet dengan masa pasti akan memanfaatkan dan mengisinya dengan membaca, berfikir dan berzikir.
Orang sebegini akan mendapat keberkatan umur daripada Allah s.w.t. Selain itu, walaupun hayatnya tidak lama, sumbangan mereka akan kekal selamanya, namanya sentiasa disebut serta dijadikan rujukan, hujah dan dalil. Sebagai contoh Imam Syafie, yang meninggal pada usia 50-an. Imam Ghazali dalam juga lingkungan sama manakala Imam Nawawi pula pada usia 43 tahun. Mereka meninggalkan khazanah ilmu dengan warisan kitab yang membina bukan sahaja kepada tamadun manusia malah menjadi penggerak tamadun material soleh.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Munafiqun ayat 9 hingga 11 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, Janganlah kamu dilalaikan oleh urusan harta benda kamu dan anak- pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan ingatlah, sesiapa yang melakukan demikian, mereka itulah orang yang rugi. “Belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh“.
“Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” Ketika menyanyikan lagu ‘Happy birthday to you’ janganlah kita lupa merenung hadis ini: “Rebutlah olehmu akan lima perkara sebelum datang lima perkara; hidup kamu sebelum mati, sihat kamu sebelum sakit, masa lapang kamu sebelum masa kesibukan kamu, muda kamu sebelum tua dan kaya kamu sebelum miskin..” (HR Hakim dan Baihaqi).
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment