BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 19 May 2010

Sabar hadapi ujian bukti insan beriman


Halwa dan madu buat diriku sendiri dalam menjalani kehidupan dan berjalan menuju kepada Allah yang Maha Pengasih. Allah yang menciptakan setiap kejadian di alam ini. Dengan keagungan dan kebesaranNYA ada hikmah disebalik setiap penciptaan dan kejadian itu.



MENGUNGKAP perkataan sabar, tenang, jangan marah, jangan ikut hati, jangan gopoh dan reda kepada orang lain memang mudah. Itulah kata-kata azimat sebagai tanda simpati dan nasihat kepada individu berdepan musibah atau keadaan memerlukan kesabaran untuk menghadapinya.

Namun, ternyata amat payah untuk diri sendiri mengamalkan sikap sabar. Ketika menghadapi musibah atau keadaan yang mengatasi daya ketahanan fizikal dan mental, memang amat sukar untuk bersabar. Sebab itu, individu dalam keadaan sedemikian memerlukan sokongan emosi daripada orang lain.

Sabar bererti menahan diri ketika mengalami penderitaan, musibah, keadaan tidak diingini dan kegagalan. Sifat sabar juga diperlukan agar tidak mengikut kehendak hati atau perasaan mendorong melakukan perbuatan mendatangkan keburukan.

Tanda sabar juga ialah apabila sanggup melakukan perkara sukar demi untuk mendapat kebaikan. Istiqamah dan kesungguhan yang tinggi, serta sanggup menghadapi tempoh panjang dalam melakukan sesuatu tugas juga termasuk dalam erti sabar.



Dari sudut agama, sabar dikategorikan kepada tiga perkara.

Pertama, menahan diri daripada perkara disukai, tetapi dilarang oleh agama.

Kedua, menahan diri daripada keadaan tidak disukai atau kesusahan yang dihadapi.

Manakala ketiga, dalam melakukan perintah Allah.

Sifat sabar amat dituntut dalam Islam. Banyak kebaikan diperoleh oleh mereka yang bersabar. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan amalan hamba-Nya yang bersabar dengan diganjar kebaikan di dunia dan akhirat.

Banyak perbuatan disukai manusia tetapi ditegah oleh agama. Perbuatan itu tentunya mendatangkan keburukan jika dilakukan. Islam menetapkan peraturan hidup agar menjauhkan perbuatan mendatangkan keburukan.

Nafsu manusia mudah tertarik kepada perbuatan mendatangkan kepuasan sementara. Bisikan syaitan menyebabkan nafsu cenderung melakukan perbuatan yang ditegah. Individu yang tidak melakukan perbuatan itu akan terasa rugi, sedangkan orang lain menikmatinya dengan rasa puas.

Justeru, sifat sabar penting untuk menghalang diri turut terbabit perbuatan mendatangkan keburukan itu. Kesabaran dalam kategori ini ada manifestasi kepada tanda bertakwa, yakini takut melakukan perbuatan yang ditegah.

Bersabar dalam kategori kuat menghadapi musibah banyak situasinya. Perkara yang menyusahkan keadaan fizikal dan rohani kerap dihadapi silih berganti. Kematian, penyakit berbahaya, kerugian harta benda dan kejadian tidak menyenangkan mesti dihadapi dengan sabar.

Kesabaran menghadapi ujian dapat memberi ketenangan menerima ujian daripada Allah. Banyak kebaikan terselindung di sebalik sesuatu kejadian. Terimalah itu sebagai qada dan qadar ditentukan oleh Allah.

Namun, kita wajib berusaha mengelak daripada ditimpa perkara buruk. Melakukan tindakan pencegahan adalah sebahagian daripada usaha yang mendapat balasan kebaikan. Kita tidak boleh berserah kepada takdir semata-mata. Dikatakan takdir hanya selepas usaha dilakukan.

Musibah antara cara Allah menguji kesabaran hamba-Nya. Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Individu memiliki iman yang teguh, nescaya tidak rasa keluh kesah menerima ujian Allah. Mereka tenang dan bersabar atas apa yang menimpa. Pada masa yang sama usaha untuk mendapat kebaikan diteruskan tanpa jemu.

Dari situ, Allah memberi balasan yang lebih baik. Bahkan, banyak individu yang bersyukur menyatakan kebaikan diperoleh hasil usaha selepas pernah menerima musibah sebelumnya.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan membalas orang yang sabar dengan memberikan pahala lebih baik daripada apa dikerjakan oleh mereka.” (Surah an-Nahl, ayat 96).

Orang sabar sentiasa mendekatkan dirinya di sisi Allah. Iman dan takwanya semakin teguh. Hatinya tabah berserah kepada Allah. Dalam hatinya tetap beriktikad dan yakin bahawa apapun yang dialaminya tidak sekali-kali menyebabkan dia menyekutukan Allah.

Individu bersabar tetap memohon pertolongan dan doa kepada Allah, tanpa sedikit berpaling mencari pertolongan kepada lain. Hal demikian tidak sia-sia kerana sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama-sama dengan orang sabar.

Segala apa terjadi ketentuan daripada Allah. Hamba bertakwa sentiasa melakukan perkara disuruh dan menjauhkan apa dilarang.

Sesungguhnya Allah menggantikan sabar dan takwa dengan pertolongan tidak disangka-sangka. Sesuatu keburukan mungkin berlaku akan digantikan oleh Allah dengan kebaikan atas sifat rahmat-Nya.

Kategori sabar dan tekun melakukan sesuatu tugas juga penting dijadikan amalan. Kebanyakan usaha memerlukan masa yang lama, baru mencapai apa diingini. Kesabaran amat perlu ketika berdepan dengan kegagalan. Ia dapat mengelak diri daripada berputus asa dan tidak mahu meneruskan perjuangan.

Individu yang bersabar menerima setiap kegagalan sebagai satu cabaran untuk berusaha lebih gigih. Sikap itu membuka peluang untuk berjaya dengan lebih cemerlang. Usaha untuk berjaya dilakukan dengan fikiran lapang dan lebih berhemah.

Mengapa mesti marah dengan kegagalan? Sepatutnya kegagalan dijadikan perangsang untuk berusaha lebih gigih secara konsisten. Kejayaan hasil usaha lama dan menghadapi kesukaran lebih bermakna dan dihargai.

Kejayaan tokoh ternama dalam bidang masing-masing dicapai hasil daripada sikap sabar dan tekun dalam usaha yang dilakukan. Mereka terpaksa menghabiskan masa dan tenaga untuk mencapai apa dihajati.

Individu yang tidak bersabar sesungguhnya menjadi rakan syaitan yang sering mencetuskan kerosakan dengan api kemarahan. Syaitan menggalakkan sikap tidak sabar untuk merosakkan kehidupan manusia.

Wallahu aklam.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

2 comments:

Ratu Pari said...

Sabar anak mak..........

Ratu Pari said...

Sabar anak mak...