BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 28 January 2010

Mendidik hati Sendiri Untuk Bersabar


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam.

Bijak untuk menasihati orang agar sabar, tabah dan cekal untuk hadapi ujian. Namun sedikit sahaja ujian ,perkara yang mengocak hati sudah merajuk dan mahu bawa diri. Kenapa mahu merajuk sampai lebih 18 jam jauh hati dengan seseorang hingga tak mahu log in Halaqah, padahal halaqah.net adalah nyawa dan kegembiraan hati sendiri.

Subuh ini selepas tahajud , ummi soal hati sendiri, di dalam doa mohon keselamatan dan kesejahteraan Halaqah.net agar sentiasa di dalam pemeliharaan dan rahmat Allah, ummi soal hati, lama mana mahu merajuk, mana mahu didahulukan? Hati atau agama?

Ada tanggung jawap terpikul di Halaqah.net. Ada amanah yang perlu dijaga di Halaqah.net. Jauh hati dengan tindakan seseornag itu adalah lumrah. Macam tidak biasa, ibarat kata seseorang " patutnya ummi dah kalis peluru". Tapi kena ingat juga hakikat bahawa ummi juga manusia, ada masa iman tinggi ada masa iman rendah. Terleka soal tanggungjawap bila hati rasa terguris.

Namun ketika berdoa di subuh hari, dengan linangan air mata ,hati rasa sebak kerana merajuk hati, membawa diri, tanggungjawap terabai, maka selesai bermunajat memohon diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran, log in semula dan buat maintance forum. Ada forumer yang suka-suka buka topik peribadi, itulah jika tidak dipantau, mahu berserabut forum dengan berbagai topik yang tidak berilmiah.

Bila mengingatkan diri akan tanggungjawap ini, benteng utama untuk ikhlas melakukan tugas ini ialah bersabar. Sabar dalam menghadapi karenah forumer yang memang kadang sengaja mencabar kesabaran dan secara tidak langsung mengganggu emosi dan pertimbangan akal.

Buat bacaan dan peringatan diri, ummi paparkan lagi peringatan tentang sabar. Ummi ambik peringatan ini dari artikel di Halaqah.net, artikel yang ummi terbitkan 2 hari lepas.

Kesabaran itu manis. Urusannya patut ditekadkan, dan orang-orang yang percaya saling mewasiatkannya kepada satu sama lain. Mereka yang bersabar dapat petunjuk, dan pertolongan Allah, untuk menjadi orang-orang yang menang, terutama di akhirat. Begitu kesudahan bagi orang-orang yang tabah menahan penderitaan, atau yang tidak terburu-buru tetapi tenang menghadapti cubaan.

Perkataan sabar atau kesabaran banyak disebut di dalam al-Qur'an. Banyak juga pengajaran yang didapati daripada ayat-ayat yang mengandunginya. Kali pertama disebut menyentuh memohon pertolongan berbunyi,

"Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat kerana ia adalah sungguh berat kecuali kepada orang-orang yang merendah hati," (2:45)

Pertolongan dipohon kepada Allah dengan sabar dan solat, yang menjadi berat bagi orang-orang yang sombong. Untuk solat pula, ahli keluarga disuruh melakukannya dengan sabar juga, seperti amalan lain dalam penyembahan kepada-Nya. Firman Tuhan,

"Dan suruhlah keluarga kamu bersolat, dan bersabarlah kamu padanya;" (20:132)

"Pemelihara langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya. Maka sembahlah Dia, dan bersabarlah kamu dalam penyembahan kepada-Nya;" (19:65)

Lantaran itu, terlihat tiga keadaan yang memerlukan kesabaran, dan mereka diringkaskan seperti di bawah:

*mohon pertolongan kepada Allah (2:45, 2:153, 7:128)
*dalam solat (2:45, 20:132)
*alam penyembahan kepada-Nya;" (19:65)

Ada banyak lagi contoh keadaan yang memerlukan kesabaran di dalam al-Qur'an. Antaranya disenaraikan dengan ringkas seperti berikut:

* atas apa sahaja yang menimpa (22:35)
* dalam kecelakaan, kesusahan, dan bencana (2:177)
* dalam debat untuk menyeru ke jalan Allah (16:125-127)
* dalam tiada kemewahan untuk mengahwini wanita-wanita merdeka (4:25)
* sesuatu yang tidak meliputi dalam pengetahuan (18:68)

Mengenai keadaan terakhir di dalam senarai, sebuah cerita yang bercangkuk diturunkan, merupakan kisah Nabi Musa dengan seorang yang dikenali umum dalam Islam sebagai Khidir. Baginda telah menemuinya lalu ingin mengikutinya dalam suatu perjalanan. Begini al-Qur'an menceritakannya:

"Berkata, 'Sesungguhnya kamu tidak akan boleh bersabar dengan aku. Dan bagaimanakah kamu akan bersabar dengan apa yang kamu tidak meliputi dalam pengetahuan kamu?'

Berkata (Musa), 'Kamu akan mendapati aku, jika Allah mengkehendaki, bersabar; dan aku tidak akan menentang kamu dalam urusan.'

Berkata, 'Jika kamu ikut aku, maka janganlah menanyai aku sesuatu sehingga aku sendiri mengemukakan sebutan mengenainya kepada kamu.'

Maka mereka bertolak; sehingga apabila mereka naik di atas kapal, dia melubanginya. Berkata (Musa), 'Apa, adakah kamu melubanginya untuk menenggelamkan ahlinya? Sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang buruk.'

Berkata, 'Tidakkah aku mengatakan bahawa kamu tidak akan boleh bersabar dengan aku?'

Berkata (Musa), 'Janganlah kamu mempertanggungjawabkan aku kerana aku lupa, dan jangan juga memaksa aku untuk membuat sesuatu perkara yang amat sukar.'

Maka mereka bertolak; sehingga apabila mereka bertemu seorang anak lelaki muda, dia membunuhnya. Berkata (Musa), 'Apa, adakah kamu membunuh satu jiwa yang suci, dan bukan kerana membalas untuk jiwa yang dibunuh? Sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang dahsyat.'

Berkata, 'Tidakkah aku mengatakan kepada kamu bahawa kamu tidak akan boleh bersabar dengan aku?'

Berkata (Musa), 'Jika aku menanyakan kamu mengenai sesuatu selepas ini, maka janganlah menemani aku lagi; kamu telah cukup memberi alasan kepadaku.'

Maka mereka bertolak; sehingga apabila mereka datang kepada penduduk sebuah bandar raya, mereka meminta makanan daripada penduduknya, tetapi mereka menolak untuk menerima mereka dengan layanan baik untuk tetamu. Kemudian mereka mendapati sebuah tembok yang hendak roboh, lalu dia menegakkannya. Berkata (Musa), 'Sekiranya kamu menghendaki, tentu kamu mengambil upah untuk itu.'

Berkata, 'Inilah perpisahan antara aku dan kamu. Sekarang aku akan memberitahu kamu interpretasi apa yang kamu tidak boleh bersabar dengannya. Mengenai kapal, ia kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut; dan aku menghendaki untuk merosakkannya kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil tiap-tiap kapal dengan paksa.

Mengenai anak lelaki muda, ibu bapanya orang mukmin; dan kami takut dia akan memaksa mereka dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan. Maka kami menghendaki supaya Pemelihara mereka memberi mereka, dengan menukarkan yang lebih baik daripada dia, dalam zakat (kesucian), dan lebih dekat dalam kasih sayang.

Mengenai tembok, ia kepunyaan dua anak lelaki muda yang yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta simpanan kepunyaan mereka. Bapa mereka orang salih; dan Pemelihara kamu menghendaki supaya mereka sampai dewasa dan kemudian mengeluarkan harta simpanan mereka sebagai satu pengasihan daripada Pemelihara kamu. Aku tidak melakukannya daripada kemahuanku sendiri. Inilah interpretasi apa yang kamu tidak boleh bersabar dengannya.'" (18:67-82)

Oleh itu nyatalah bahawa kesabaran diperlukan untuk mendapat penjelasan bagi sesuatu perkara yang tidak diketahui, seperti ke atas sesuatu kejadian atau ayat daripada Allah.

Dalam kisah Nabi Yusuf pun ada cerita berunsur kesabaran. Baginda telah dihumban ke dalam perigi semasa kecil oleh saudara-saudaranya, ditinggalkan, tetapi bajunya di bawa pulang untuk ditunjukkan kepada bapa mereka sebagai bukti bahawa baginda telah dibaham seekor serigala. Senario itu dirakam di dalam Kitab seperti berikut:

"Mereka berkata, 'Ayah, kami pergi berlumba lari, dan meninggalkan Yusuf dengan barang-barang kami; lalu serigala memakannya. Tetapi kamu tidak akan menjadi mukmin pada kami, walaupun kami berkata benar.' Dan mereka mendatangkan bajunya dengan darah palsu padanya. Dia (Yaakub) berkata, 'Tidak, tetapi jiwa kamu menghasut kamu untuk melakukan sesuatu perkara. Tetapi marilah, kesabaran yang manis! Dan pertolongan Allah dipohonkan terhadap apa yang kamu menyifatkan.'" (12:17-18)

Saudara-saudaranya telah mendatangkan satu lagi berita buruk kepada bapa mereka, iaitu adik Yusuf telah ditahan oleh seorang pembesar kerana didapati mencuri, tanpa mengetahui bahawa kecurian itu adalah suatu helah daripada baginda. Ketika menerima berita tersebut bapa mereka berkata,

"Tidak! Tetapi jiwa kamu menghasut kamu untuk membuat sesuatu perkara. Tetapi marilah, kesabaran yang manis! Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka kesemuanya kepadaku; sesungguhnya, Dialah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana." (12:83)

Sebelum cerita berakhir dengan seluruh ahli keluarga disatukan semula, saudara-saudara Yusuf telah menemuinya sekali lagi di mana baginda telah mendedahkan siapa sebenarnya dia kepada saudara-saudaranya, yang disambut dengan:

"Mereka (saudara-saudara Yusuf) berkata, 'Mengapa, adakah kamu benar-benar Yusuf?' Dia berkata, 'Aku Yusuf. Ini saudaraku (yang dituduh mencuri). Sungguh, Allah telah berbudi baik kepada kami. Sesiapa bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik.'" (12:90)

Orang-orang yang sabar dan bertakwa diterima Allah sebagai orang-orang yang berbuat baik. Daripada cerita tersebut, situasi yang memerlukan kesabaran dapat disimpulkan dengan frasa berikut:

* mendapat berita buruk (12:18)

Lagi cerita Nabi yang diketahui umum. Kali ini kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ke atas anaknya, ketika baginda memberitahu apa yang dilihatnya dalam tidur. Firman-Nya, "Dan apabila dia telah sampai umur untuk berusaha bersama dia, dia berkata, 'Wahai anakku, aku melihat dalam tidurku bahawa aku mengorbankan kamu; renungkanlah; apakah pandangan kamu?' Berkata, 'Wahai ayahku, buatlah apa yang kamu diperintahkan; kamu akan mendapati aku, jika Allah mengkehendaki, termasuk orang-orang yang sabar.'" (37:102)

Tergambar ketiadaan tindakan tergesa-gesa, tetapi terbit suasana yang tenang. Dalam cerita ini, keadaan yang memerlukan kesabaran adalah:

* atas keputusan Allah yang dikenakan (37:102)

Tidak ketinggalan untuk diceritakan ialah mengenai Nabi Muhammad yang kemunculannya tidak sabar ditunggu oleh sekumpulan manusia lalu mereka memanggilnya dari belakang bilik-bilik. Mereka seharusnya berbuat demikian di pintu depan di mana melaluinya rumah-rumah harus dimasuki. Ayat yang mengisahkan berbunyi,

"Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari belakang bilik-bilik, kebanyakan mereka tidak faham. Dan jika mereka bersabar, sehingga kamu keluar kepada mereka, itulah yang lebih baik bagi mereka; dan Allah Pengampun, Pengasih." (49:4-5)

Maka situasi yang memerlukan kesabaran di sini boleh disimpulkan dengan nota di bawah:

* dalam menunggu, seperti menunggu kemunculan Nabi (49:5)

Senarai keadaan yang memerlukan kesabaran dipanjangkan lagi dengan menyebut mengenai mengikuti ayat-ayat Allah. Ia diringkaskan seperti ini:

* mengikuti wahyu, iaitu al-Qur'an (10:109)

Mengikuti petunjuk al-Qur'an tidak menemui jalan mudah. Bangkangan sedia menunggu, dan orang-orang yang membangkang akan bertindak dengan tindakan-tindakan berikut, yang harus dihadapi dengan kesabaran:

* membuat muslihat (3:120)
* mendustakan dan menyakiti (6:34), menyakitkan (14:12)
* mendendami (7:126)
* mengata (20:130, 50:39, 73:10)
* menggelisahkan (30:60)

Permusuhan tercetus di kalangan umat manusia. Lontaran jahat dibaling, tetapi ditangkis dengan tangkisan yang baik. Dengan cara itu musuh boleh bertukar menjadi sahabat yang sedia. Firman-Nya,

"Tidaklah sama yang baik dengan kejahatan. Tangkislah dengan apa yang lebih baik, dan tiba-tiba, orang yang antara kamu dan dia dalam permusuhan, menjadi seakan-akan dia seorang wali (sahabat) yang setia.

Namun begitu, tiada yang menerimanya, kecuali orang yang bersabar; tiada yang menerimanya, kecuali orang yang mempunyai peruntungan yang besar." (41:34-35)

Pengajaran daripadanya atas tajuk kesabaran dicatat di bawah bersama bersabar atas putusan Allah terhadap musuh, yang tidak seharusnya diminta untuk disegerakan:

* bersabar dalam permusuhan (41:34-35)
* bersabar atas putusan Allah terhadap musuh (52:48, 76:24)

Kesabaran juga perlu terhadap orang-orang yang menyeru Pemelihara mereka pada waktu pagi dan petang yang menimbulkan masalah. Sebarang bentuk penganiayaan terhadap mereka untuk mencari keuntungan dunia dilarang Allah. Kandungan ayat yang menjelaskannya dalam konteks kesabaran diringkaskan seperti di bawah ini:

* terhadap orang-orang yang menyeru Pemelihara mereka pada waktu pagi dan petang (18:28)

Senarai keadaan di mana sifat sabar diperlukan diisi lagi dengan menyebut sebuah firman berbunyi, "Dan jika ada segolongan antara kamu yang percaya kepada apa yang aku diutus dengannya, dan segolongan yang tidak mempercayai, maka bersabarlah kamu sehingga Allah menghakimkan antara kita; Dia yang terbaik daripada para hakim" (7:87). Keadaan yang memerlukan kesabaran di sini ialah dalam:

* penghakiman antara dua golongan, percaya dan tidak percaya (7:87)

Manusia berada dalam dua golongan untuk menjadi cubaan bagi satu sama lain. Firman-Nya, "Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu para utusan melainkan bahawa mereka memakan makanan, dan berjalan-jalan di pasar-pasar; dan Kami membuatkan sebahagian kamu menjadi satu cubaan bagi sebahagian yang lain, 'Mahukah kamu bersabar?' Pemelihara kamu melihat." (25:20). Maka kesabaran yang diperlukan kali ini adalah:

* atas cubaan hasil pembentukan dua golongan manusia (25:30)

Untuk mengenali kesabaran di samping mengenali perjuangan di jalan Allah manusia diuji-Nya. Ayat berkaitan berbunyi, "Dan sungguh, Kami akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang antara kamu yang berjuang dan yang sabar, dan Kami akan menguji berita kamu" (47:31). Contoh-contoh ujian yang dikenakan, yang memerlukan kesabaran, adalah:

* ketakutan, kelaparan, dan kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan (2:155)
* dalam harta, dan diri-diri, dan gangguan yang banyak daripada orang-orang yang diberi Kitab sebelum al-Qur'an, dan orang-orang yang mempersekutukan (3:186)
* dalam berita orang-orang terlibat (47:31)
* dan bagi kaum Tsamud, yang tidak percaya, dengan unta betina, yang harus diberi minum seperti yang lain (54:27)

Dalam perjuangan akan berlaku penghijrahan orang-orang yang dizalimi. Itu menimbulkan satu atau dua lagi keadaan yang harus disabarkan, dan dimasukkan ke dalam senarai seperti berikut:

* berhijrah kerana Allah, setelah dizalimi (16:41-42)
* berhijrah setelah dianiaya, kemudian berjuang (16:110)

Perjuangan di jalan Allah termasuk pergi berperang. Kedua-duanya bukan sahaja dimuatkan di dalam senarai keadaan yang memerlukan kesabaran (iaitu yang ke-29 dan 30), seperti dicatat di bawah, tetapi sebagai penutup bagi senarai tersebut:

* berjuang di jalan Allah (47:31)
* perang di jalan Allah (3:146)

Kesabaran dalam peperangan dikurniakan pertolongan daripada-Nya, misalan diturunkan malaikat-malaikat untuk membantu melawan tentera musuh yang lebih ramai. Janji tersebut terkandung di dalam ayat-ayat al-Qur'an bermaksud,

"Ia, jika kamu bersabar, dan bertakwa, dan jika mereka datang kepada kamu dengan segera, Pemelihara kamu akan membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang menyerang dengan pantas." (3:125)

"Wahai Nabi, gesalah orang-orang mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh antara kamu, orang-orang yang sabar, mereka akan mengalahkan dua ratus; jika ada antara kamu seratus, mereka akan mengalahkan seribu orang yang tidak percaya, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami." (8:65)

"Sekarang Allah meringankan untuk kamu, dengan mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan. Jika ada seratus antara kamu, orang-orang yang sabar, mereka akan mengalahkan dua ratus; jika ada antara kamu seribu, mereka akan mengalahkan dua ribu, dengan izin Allah; Allah berserta orang-orang yang sabar." (8:66)

Allah berserta orang-orang yang sabar. Sebelum mereka pergi bertempur mereka berdoa macam dilakukan tentera Thalut yang melawan Jalut. Doa berkenaan terkandung di dalam sebuah ayat berbunyi "Maka, apabila mereka pergi kepada Jalut dan tenteranya, mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, tuangkanlah kepada kami kesabaran, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang tidak percaya (kafir)'" (2:250). Peperangan itu menampilkan seorang hero bernama Daud (Nabi) yang berjaya membunuh Jalut.

Balasan ke atas orang-orang yang menentang, seperti orang-orang yang tidak mempedulikan perintah Tuhan, tidak dipohon supaya disegerakan. Meraka akan dimusnahkan Allah. Putusan yang dipohon kepada-Nya harus diikuti dengan kesabaran. Tiga ayat mengenainya diturunkan:

"Maka bersabarlah kamu, sebagaimana rasul-rasul yang mempunyai tekad bersabar. Janganlah minta disegerakannya untuk mereka - ia seakan-akan, pada hari mereka melihat apa yang mereka dijanjikan, mereka tidak tinggal melainkan sesaat daripada siang hari. Satu penyampaian! Dan tiadalah yang akan dimusnahkan melainkan kaum yang fasiq." (46:35)

"Dan bersabarlah kamu atas putusan Pemelihara kamu; sesungguhnya kamu adalah di bawah pengawasan (mata) Kami. Dan sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu ketika kamu bangkit," (52:48)

"Maka bersabarlah kamu atas putusan Pemelihara kamu, dan janganlah mentaati seorang pun antara mereka, yang berdosa atau yang tidak percaya." (76:24)

Setiap orang yang bersabar, yang berterima kasih, mengambil sesuatu kejadian atau tanda kebesaran Allah sebagai ayat, atau sebagai suatu yang direnungkan, misalan ayat yang menyuruh Nabi Musa mengeluarkan kaumnya, direnung pada apa dan siapa yang dihadapinya, iaitu Firaun yang zalim:

"Dan Kami telah mengutus Musa dengan ayat-ayat Kami, 'Keluarkanlah kaum kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan kamu ingatkanlah mereka Hari-Hari Allah.' Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi tiap-tiap orang yang sabar, yang bersyukur (berterima kasih)." (14:5)

Ayat-ayat lain yang menyebut orang bersabar menjadikan ayat atas sesuatu adalah:

"Tidakkah kamu melihat bahawa kapal-kapal berlayar di laut dengan rahmat Allah, supaya Dia memperlihatkan kepada kamu sebahagian daripada ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi tiap-tiap orang yang sabar, yang berterima kasih." (31:31)

"Tetapi mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami'; dan mereka menzalimi diri-diri mereka sendiri, maka Kami membuat mereka hadis, dan Kami menghancurkan mereka berkecai. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi tiap-tiap orang yang sabar, yang berterima kasih." (34:19)

"Dan jika Dia mengkehendaki, Dia menenangkan angin, dan mereka tetap tidak bergerak di atas punggungnya. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi tiap-tiap orang yang sabar, berterima kasih." (42:33)

Orang-orang yang bersabar dapat petunjuk kerana kesabaran mereka, dan mereka yakin terhadap ayat-ayat Allah. Mendapat petunjuk daripada Allah menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Ayat yang menyatakan mereka mendapat petunjuk berbunyi,

"Dan Kami melantik daripada kalangan mereka imam-imam yang memberi petunjuk dengan perintah Kami apabila mereka bersabar, dan mereka yakin akan ayat-ayat Kami." (32:24)

Sifat yakin akan ayat-ayat Allah, dan bertakwa kepada-Nya yang terlebih dahulu disebut (3:125, 12:90) menjadi pasangan bagi orang-orang yang bersabar. Mereka juga dipasangkan dengan amalan membuat kerja-kerja kebaikan, dan apabila dirasakan kemakmuran setelah disentuh kesusahan, tidak membanggakan diri, seperti berkata "Keburukan telah pergi daripadaku" dengan sangat gembira (11:10-11).

Selain kerja-kerja kebaikan, orang-orang yang sabar melakukan solat, memberi nafkah, dengan diam dan terbuka, dan menolak kejahatan dengan yang baik. Firman-Nya,

"Orang-orang yang bersabar, dengan menginginkan Wajah Pemelihara mereka, melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, dan yang menolak kejahatan dengan yang baik - bagi merekalah tempat kediaman muktamad," (13:22)

Dalam menolak kejahatan dengan yang baik orang yang bermusuhan boleh menjadi seorang sahabat yang setia. Tiada yang menerimanya kecuali orang yang bersabar, yang mempunyai peruntungan yang besar (41:34-35). Dan mereka juga mengampunkan orang lain, menurut ayat berbunyi,

"Tetapi sesungguhnya orang yang bersabar, dan mengampunkan - sesungguhnya itu urusan yang patut ditekadkan." (42:43)

Mereka adalah juga orang-orang yang berjuang di jalan Allah (3:142), dan percaya kepada ayat-ayat-Nya, membuat kerja-kerja kebaikan (disebut lagi), dan bertawakal kepada Pemelihara mereka. Firman-Nya,

"Dan orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, sungguh, Kami akan menempatkan mereka di bilik-bilik yang tinggi di Taman, yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya; sangat baiknya upah orang-orang yang beramal,Orang-orang yang bersabar, dan mempercayakan (tawakal) kepada Pemelihara mereka." (29:58-59)

Sifat-sifat lain yang dipasangkan dengan sabar disebut di dalam sebuah ayat agak panjang tercatat,

"Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim,
dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin,
dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh,
dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar,
dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar,
dan lelaki yang merendah hati dan perempuan yang merendah hati,
dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah,
dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa,
dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga,
dan lelaki yang mengingati Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingati
- bagi mereka, Allah menyediakan keampunan dan upah yang besar." (33:35)

Mereka yang bersabar adalah bersatu dengan orang-orang yang benar, orang-orang yang patuh, orang-orang yang menafkahkan, dan orang-orang yang meminta ampun pada waktu sebelum dinihari (3:17).

Pada Hari Kiamat, upah bagi orang-orang yang bersabar dibayar mengikut yang paling baik daripada apa yang mereka telah buat, dan dibayar sepenuhnya tanpa perhitungan, serta diberi sebuah Taman. Tiga ayat bersangkutan berbunyi,

"Apa yang ada pada kamu akan habis, tetapi apa yang ada di sisi Allah kekal; dan sungguh Kami akan membalas orang-orang yang bersabar dengan upah mereka mengikut yang paling baik daripada apa yang mereka telah buat." (16:96)

"Sesungguhnya orang-orang yang sabar akan dibayar upah mereka sepenuhnya tanpa perhitungan.'" (39:10)

"Dan membalas mereka kerana mereka bersabar dengan sebuah Taman," (76:12)

Salam hormat bagi mereka pada hari itu ialah "'Salamun alaikum, kerana kamu telah bersabar.' Sangat baiknya tempat kediaman muktamad" (13:24). Salam tersebut dalam bahasa asal berbunyi salaamun alaikum bimaa shabartum, diberi setelah segala amalan yang dibuat di dunia diperhitungkan. Terdapat pula golongan yang gelisah apabila ia menjadi salam hormat yang dilontar kepada mereka, kerana kitab amalan mereka belum ditutup lagi dan mereka tidak tahu apa yang akan dilakukan esok, misal hilang kesabaran. Namun jika terdapat golongan yang tidak bersetuju dengan pendapat itu, dan ingin menggunakannya jua, di dunia ini, maka tiada siapa yang akan cuba menghentikannya kecuali orang yang tidak memahami kebebasan dalam membuat pilihan, yang diberi Allah kepada manusia.

Bersabar adalah antara urusan yang ditekadkan. Yang lain turut ditekadkan adalah bertakwa, atau takut kepada Tuhan (3:186), melakukan solat, menyuruh yang baik, melarang yang mungkar, dan bersabar atas apa sahaja yang menimpa (31:17) dan mengampunkan orang lain (42:43).

Urusan bersabar disuruh Allah, ditambah dengan suruhan berlumba-lumba di dalamnya bagi orang-orang yang percaya, dan ia menjadi wasiat pula kepada satu sama lain di kalangan mereka. Firman-firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, bersabarlah, dan berlumba-lumbalah kamu dalam kesabaran, dan berteguhlah, dan takutilah Allah agar kamu beruntung." (3:200)

"Kemudian dia termasuk antara orang-orang yang percaya, dan saling berwasiat untuk bersabar, dan saling berwasiat untuk menjadi yang berpengasihan." (90:17) dan,

"Kecuali orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk bersabar." (103:3)

Lalu ia menjadi seruan di hujung halaman yang menyuarakan dua firman Allah sekali gus menjadi Peringatan terakhir diturunkan di sini berbunyi,

"Maka bersabarlah kamu dengan kesabaran yang manis." (70:5)
"Dan bersabarlah untuk Pemelihara kamu." (74:7)



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: