بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sabda nabi s.a.w
"يا أيها الناس، توبوا إلى الله، فإني أتوب في اليوم إليه مائة مرة
Maksudnya
“Wahai manusia ! bertaubatlah kepada Allah s.w.t, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah 100 kali sehari”. (riwayat Muslim)
Maka taubat adalah wajib bagi setiap muslim.
Firman Allah s.w.t : an-Nur :31
"dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya”.
Firman Allah s.w.t : at-Tahrim :8
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”.
Semua manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan dan tidak boleh merasakan dirinya selamat daripada melakukan dosa kepada Allah s.w.t.
Sabda nabi s.a.w
"كل بني آدم خطاء"
Maksudnya;
“ setiap anak Adam melakukan kesalahan”. (riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majjah)
Walaubagaimanapun tidak ada masalah kalau manusia melakukan kesalahan, sebab memang manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan, tapi yang jadi masalah kalau manusia berterusan melakukan kesalahan.
Firman Allah s.w.t : ali-Imran :135
“dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.
Sesungguhnya Adam a.s. melakukan kesalahan dan lalai tetapi segera bertaubat kepada Allah s.w.t, sebagaimana doa nabi Adam dirakamkan dalam al-Quran dalam surah al-A’raf :23
“mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".
Dan al-Baqarah :37
“kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat Yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.
Manusia melakukan kesalahan dan tergelincir ke lembah maksiat tapi dia mampu membersihkan diri dengan taubat. Taubat adalah penghapus dosa yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk membasuh dan menyucikan dosa dan maksiat.
Firman Allah s.w.t :al-Baqarah :222
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri”.
Sabda nabi s.a.w
"التائب من الذنب كمن لا ذنب له"
Maksudnya;
“ Orang yang sentiasa bertaubat, seolah-olah tidak ada dosa baginya”.
(riwayat Ibnu Majjah, at-Tobrani dan al-Baihaqi)
Tapi apa makna taubat?
Taubat bukan sekadar ucapan lidah, sebagaimana yang sering kita sebut “Aku kembali bertaubat kepada Allah, aku kembali kepada Allah dan aku menyesal dengan apa yang aku lakukan”. Ini tidak dinamakan taubat.
Taubat yang sebenarnya merangkumi beberapa perkara;
1) Menyesal kerana melakukan dosa
Rasa bersalah dengan dosa yang telah dilakukan, rasa bumi ini sempit, rasa tidak ada jalan keluar lagi kecuali kembali kepada Allah s.w.t.
2) Berazam tidak akan melakukan dosa itu lagi
Berazam dengan ikhlas untuk memperbaiki diri dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama lagi,berazam untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan tidak akan melakukan maksiat dan tidak akan kembali melakukannya sebagaimana susu tidak kembali lagi ke tempat keluarnya.
3) Melakukan amal soleh
Dengan cara menggantikan perbuatan buruk dengan perbuatan yang baik, kata-kata dusta kepada benar, suasana yang buruk kepada suasana yang baik dan sebagainya. Inilah yang perlu dilakukan kerana al-Quran mensyaratkan selepas taubat ialah iman dan amal soleh.
Firman Allah s.w.t:Maryam :60
“kecuali orang-orang Yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”.
Allah mengiringkan taubat dengan iman, kerana maksiat lebih- lebih lagi dosa besar boleh menghalau iman keluar dari hati.
Sabda nabi s.aw
لا يزنى الزاني حين يزني وهو مؤمن، ولا يشرب الخمر حين يشربها وهو مؤمن، ولا يسرق السارق حين يسرق وهو مؤمن
Maksudnya;
“ tidak akan berzina seseorang itu kalau dia ada iman, tidak akan minum arak seseorang itu kalau dia ada iman dan tidak akan mencuri seseorang itu kalau dia ada iman”.
Maksiat zina, minum arak dan mencuri menghalau iman keluar dari hati seorang manusia. Oleh itu mesti memperbaharui iman dengan taubat dan melakukan amalan soleh, inilah resepi taubat.
Penghalang taubat
Apakah yang menghalang manusia bertaubat? Apakah yang melambatkan manusia bertaubat, perkara ini perlu diberi perhatian oleh seorang muslim supaya taubatnya tidak terhalang dan dilambatkan.
Antara penghalang taubat ialah
1) Panjang angan-angan
Manusia merasakan dirinya masih muda dan masih kuat dan menyangka umurnya masih panjang maka dia menunggu umur pencen untuk bertaubat.
2) Meremehkan maksiat
Meremehkan maksiat, menganggap dosa itu kecil, menyangka itu perkara biasa sahaja, semua ini tidak perlu ada pada seorang mukmin.
Sabda nabi s.a.w;
"المؤمن يري ذنبه كالجبل، يخاف أن يقع عليه، والمنافق يري ذنبه كذباب وقع على أنفه فقال هكذا وهكذا
Maksudnya;
“ Seorang mukmin melihat dosa itu seperti gunung yang akan menghempapnya, seorang munafik melihat dosa hanya seperti seekor lalat yang bermain-main di hidungnya dan menghalaunya begitu sahaja. (riwayat Bukhari, Ahmad dan at-Tirmizi)
Satu kisah untuk renungan, “Seorang hamba Allah yang soleh sakit tenat, sahabatnya datang menziarahinya dan orang soleh ini menangis, sahabatnya bertanya; “kenapa kamu menangis? Sedangkan kamu tak pernah melakukan dosa besar dan tak pernah meninggalkan suruhan Allah? Maka jawab hamba soleh ini, “ aku menangis bukan kerana itu, tapi aku menangis kerana aku takut kalau aku melakukan dosa dan aku menyangka ia kecil sahaja tapi sebenarnya di sisi Allah adalah besar”.
Kata ulama salaf
“ janganlah kamu melihat kepada kecilnya maksiat yang dilakukan, tapi lihatlah kepada besarnya zat yang kamu melakukan maksiat kepadanya”. Yakni Allah s.w.t.
3) Bertawakkal kepada pengampunan Allah
Manusia yang melakukan dosa kemudian bertawakkal kepada pengampunan Allah, seperti katanya; “tak apalah lakukan dosa, Allah kan maha pengampun dan penyayang,rahmat Allah kan luas?” dan macam-macam lagi. Ingat jangan kita tertipu dengan syaitan, jangan kita hanya melihat kepada keampunan Allah semata-mata, tapi lihat juga kepada azab Allah yang sangat pedih, memang rahmat Allah itu luas, tapi untuk siapa?untuk orang yang bertaqwa, untuk orang yang melakukan kebaikan.
Firman Allah s.w.t: al-A’raf :156
"Dan Tetapkanlah untuk Kami kebaikan Dalam dunia ini dan juga di akhirat, Sesungguhnya Kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa Yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang Yang bertaqwa, dan Yang memberi zakat, serta orang-orang Yang beriman kepada ayat-ayat kami.
Firman Allah s.w.t: al-A’raf :56
“dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya”.
Akhir sekali orang mukmin perlu berada antara harap rahmat Allah dan takut azab Allah.
Firman Allah s.w.t:az-Zumar :9
“Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?
Firman Allah s.w.t: al-Isra’ :57
“orang-orang Yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang Yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; Sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara Yang semestinya) ditakuti”.
Marilah sama-sama kita menyegerakan taubat dan memperbaiki kesalahan kita, dan mudah-mudahan Allah s.w.t menerima taubat kita sebagai taubat yang nasuha.
Peringatan buat diriku yang selalu lalai dan alpa. Aku tidak pandai, entri ini hanya untuk peringatan diri sendiri sahaja.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
2 comments:
selagi mana perasaan manis terhadap dosa yg ditaubati itu tetap ada dihatinya...selagi itulah Allah tidak menerima taubatnya....
Maha Suci Engkau Ya Allah, terimalah taubatku, dengan rahmat MU, aku tahu rahmatMU amat luas buat diriku yang daif dan naif ini.
Harapan ku pada rahmat MU seluas alam yang ENGKAU ciptakan ini...
Post a Comment