BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 20 April 2010

Lapangkan dadaku...


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaktian sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al-kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?” (Surah Al-Baqarah : ayat 44)

Tak ada apa yang ingin ummi tulis entri malam ini kerana dah 4 hari ummi tak menulis. Dalam keadaan sakit, lemah dan lelah ummi lebih kan kepada mendiamkan diri. Minda tak mampu untuk berfikir  jauh kerana lemahnya hati dengan runtunan jiwa.

Hanya ummi lumatkan hati ummi beberapa petikan ayat quran, yang ummi tidak bijak menghuraikan. Bukan ayat quran sekadar hiasan ...

Kalam Allah itu sudah sempurna, indah dan dan wajib dibaca dan ditaati. Ummi takut tergolong di dalam kumpulan manusia yang lalai dan leka dan mempermainkan Kalam Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian Allah apabila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan” Surah As-Soff : 2-3)

Orang-orang yang benar-benar rugi menurut neraca Islam di hari Akhirat ialah orang-orang yang rugi dan tidak dapat menyelamat dirinya dari seksaan sekalipun mereka dapat merangkul dunia seluruhnya. Sebaliknya orang-orang yang beruntung mengikut neraca Islam ialah orang-orang yang dapat menyelamatkan dirinya dari seksaan Allah di Hari Akhirat kelak walaupun ia selalu merasa lelah dengan berbagai-bagai ujian.

Sekiranya berlaku sesuatu yang tergolong dalam ‘amal maksiat (dan sudah tentu akan berlaku) mereka hendaklah bersegera memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah swt sebagai menyahut seruan Allah swt yang terkandung di dalam firmanNya:


“Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhan kalian dan berlumba-lumbalah mencari syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orng yang bertaqwa” (Surah Ali Imran : ayat 133)

Kecenderungan bertaubat menyerah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya adalah sifat utama yang dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Firman Allah swt:


“Orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri lantas mereka ingat akan Allah lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapakah pula yang berkuasa mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedangkan mereka mengetahui” (Surah Ali Imran: ayat 135)


Sehubungan dengan itu para ulama’ berpendapat bahawa bertaubat dari setiap dosa adalah wajib. Sekiranya maksiat dan dosa itu ialah di antara manusia denagn Allah SWT maka taubat memerlukan tiga syarat, manakala dosa terhadap manusia memerlukan empat syarat iaitu:-

i. Meninggalkan dosa-dosa itu dan tidak lagi mengerjakannya.
ii. Menyesali terhadap perbuatan dosa yang telah berlalu.
iii. Berazam tidak akan kembali melakukannya selama-lamanya.
iv. Memohon kerelaan dari orang-orang yang ia pernah zalimi / atau memulangkan hak yang pernah diambilnya. (sekiranya ia bersalah kepada manusia)

 Dan akhir entri ummi kali ini, jadilah kita orang yang suka beribadah. Ruang lingkup ibadah itu amat luas. Bukan semata-mata ibadah khusus sahaja. Membuang duri dijalanan juga adalah dikira beribadah. Apatah lagi kita sebenarnya mudah untuk melakukan ibadah kerana peluang dan ruang itu sentiasa terbuka, hanya kita mahu merebut atau tidak.

Meluangkan masa mendengar masalah seseorang, memberikan senyuman, membuang tisu-tisu yang bersepah di surau-surau juga merupakan ibadah , melayan tetamu dan banyak lagi ibadah-ibadah boleh dan mampu kita lakukan.Terlalu mudah ! Seperti mana jika dosa kecil dihimpun akan menjadi timbunan dosa-dosa seperti bukit, begitu juga ibadah -ibadah kecil yang dilakukan dengan konsisten diiringi ikhlas, maka akan menjadi gunung juga...

Sewajibnya kita beribadah kepada Allah dalam setiap gerak-geri dan tindak tanduk, begitu juga dengan perkataan dan perbuatan  supaya dengan itu kita dapat memenuhi tujuan utama hidup sebagaimana Firman Allah swt:

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu” ( surah Az-Zariyat : ayat 56)

Apabila Allah telah menjadi matlamat kita, sasaran ibadah kita, arah dan matlamat hidup kita maka kita akan berpegang teguh dengan segala perintahNya dalam setiap urusan hidup. Dengan tindak tanduk seperti ini memenuhi dan mengisi pengertian untuk menjadikan kehidupan seluruhnya tergolong dalam ibadah kepada Allah Azzawajalla, sesuai dengan pengakuan:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam” (Surah Al An’am: ayat 162)


Impianku menjadi isteri solehah
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

2 comments:

ibunoor said...

Salam ziarah sis...teruskan menulis...semoga Allah senantiasa memberi ketenangan dan kesejahteraan kepada akak dan keluarga di dunia dan di akhirat...

Silalah...singgah ke teratak hamba...

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Terima kasih ibunoor kerana sudi singgah laman ini. Saya menulis dari ilham hati yang bersirat dan dipaparkan pada laman ini.

Bila jiwa saya meruntun pilu, saya jadi lemah dan tidak berdaya, dengan membaca dan menulis sekurangnya ia terluah jua. Adalah berbahaya jika saya tidak meluahkan apa yang tersirat kerana keadaan akan bertambah resah dan gundah.Namun hanya kepada Allah jua tempat saya mengadu dan merayu dan saya yakin janji Allah Benar, cumanya lambat disampaikan...