بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semoga kita semua didalam Rahmat Allah dan kasih sayangNya.
Bagaimana mendapatkan rahmat Allah swt. Dan kasih sayang NYA, Al-Quran telah menerangkan dengan terperinci, antara lain ialah:
1) Sentiasa hidup bersama Al-Quran, mempelajari (mendekati) kitab Allah.
Firman Allah swt:
Ertinya: “Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat” (Surah Al-An’aam ayat 155)
Erinya: “Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian” (Surah Al-Israa’ ayat 82)
Dan dari Jabir r.a. katanya : Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah oleh mu Al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi para pembacanya” (Riwayat Muslim)
2) Sentiasa Bertaqwa kepada Allah swt.
Firman Allah swt:
Ertinya: “Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”. (Surah An-Nur ayat 52)
3) Sentiasa meningkatkan iman dan berjihad pada jalan Allah.
Firman Allah swt:
Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah ayat 218)
Rasulullah saw bersabda: “Allah menjamin bagi orang-orang yang berjihad fi sabililllah yang tidak keluar dari rumahnya melainkan hanya untuk berjihad fi sabilillah dan membenarkan kalimah Nya, bahawa Dia memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya ke tempat tinggalnya dengan memperolehi pahala dan ghanimah.” (Riwayat Bukhari, Malik dan An-Nasa’i)
4) Sentiasa berkasih-sayang kerana Allah swt.
Di dalam satu hadith Qudsi disebutkan bahawa Allah swt. Berfirman :
Ertinya: “Wajib mendapat kasih sayang Ku bagi orang yang saling berkasih-sayang kerana Ku dan saling duduk-duduk di dalam majlis kerana Ku dan saling memberi kerana Ku dan saling berziarah kerana Ku.” (Riwayat Ahmad, Hakim dan Ibn Hibban)
5) Sentiasa berbuat ihsan.
Ihsan bermakna engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat akan Dia. Jika engkau tidak dapat melihat Dia, maka sesungguhnya Dia melihat engkau. Firman Allah swt:
Ertinya: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah ayat 195)
Dan di antara amal orang-orang yang ihsan ialah :
a) Sentiasa berinfak ke jalan Allah.
Firman Allah swt:
Ertinya: “Perumpamaan (nafkah yang di keluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261)
b) Sentiasa memperbaiki amalannya.
Firman Allah swt:
Ertinya: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran ayat 133-134)
c) Sentiasa berbakti kepada ibubapa.
Firman Allah swt:
Ertinya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai lanjut umur dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dan penuh kesayangan dan ucapkanlah :Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Surah Al-Israa’ ayat 23-24)
d) Sentiasa berbakti kepada kaum kerabat.
Firman Allah swt:
Ertinya: “Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan ?” (Surah Muhammad ayat 22)
Daripada Abdul Rahman bin Auf bahawa Rasulullah saw bersabda (dalam hadith qudsi): “Berfirman Allah swt: “Akulah Ar Rahman (Maha Pemurah), dan telah Aku jadikan Ar Rahim (Maha Pengasih) dan aku telah pecahkan nama ini dari nama Ku, maka barangsiapa yang memperhubungi kerabatnya nescaya Aku suka berhubung dengannya dan barangsiapa yang memutuskannya Aku putuskan dengannya.” (Hadith riwayat Tarmizi dan Abu Daud)
e) Sentiasa berbakti kepada anak yatim dan fakir miskin.
Sabda Rasulullah saw: “Aku dan orang yang memelihara anak yatim di dalam syurga seperti ini (diisyaratkan telunjuk dan jari tengah dan diruangi antara keduanya.” (Hadith riwayat Bukhari, Tarmizi dan Abu Daud)
Imam Ahmad dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa : Seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah saw tentang hatinya yang keras lalu, baginda bersabda:
“Usapilah kepala anak yatim dan beri makanlah kepada orang-orang yang miskin.”
f) Sentiasa berbakti kepada jiran tetangga.
Dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda :
“Sentiasalah Jibril menasihatkan aku mengenai tetangga, sehingga aku menyangka bahawa tetangga itu akan menerima pesaka.” (Riwayat Shaykhan, Abu Daud dan Tarmizi)
g) Sentiasa berkata dengan perkataan yang ma’aruf.
Firman Allah swt:
Ertinya: “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (iaitu) : Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.”(Surah Al-Baqarah ayat 83)
Sabda Rasulullah saw: “Seorang hamba yang berkata-kata dengan perkataan yang diredhai oleh Allah swt. ia tidak akan jumpa melainkan diangkat oleh Allah swt dengannya beberapa darjat dan seseorang hamba yang berkata-kata dengan perkara-perkara yang dimurkai Allah swt, tidak dijumpai melainkan membawanya ke neraka.” (Riwayat Bukhari)
h) Sentiasa berdoa kepada Allah swt di antara doanya ialah:
“Wahai Tuhan kami, kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi Rahmat.” (Surah Al-Mu’minuun ayat 109)
Ertinya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya.” (Surah Ali Imran ayat 8)
Demikianlah rahmat dan kasih sayang Allah swt. akan dilimpahkan kepada seorang hamba yang mengikuti jalan-jalan yang telah disyariatkan oleh Allah swt. ke atas segenap umat manusia yakni sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw serta meninggalkan dan menjauhi selain dari yang telah disyariatkan oleh Allah swt.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment