BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 25 April 2010

Ujian dan Dugaan Sang PenCIPTA Adalah Anugerah…



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Setiap perjalanan kehidupan yang dilalui manusia di muka bumi ini terdapat banyak cabaran, dugaan, halangan, suka duka, pahit manis dan berbagai macam ragam lagi wujud kerana itu sudah menjadi lumrah kita sebagai hamba-NYA yang sentiasa diuji untuk menilai sejauhmana keimanan dan ketaqwaan kita kepada Sang Pecipta seluruh alam ini. 

Ujian Sang Pencipta adalah berbagai bentuk antaranya sakit demam, hajat dan harapan tidak kesampaian, kegagalan dalam peperiksaan,jodoh tidak berpanjangan,impian tidak tercapai dan sebagainya.

Apabila didatangi ujian yang menimpa diri setiap daripada kita, maka ada yang mengeluh kesah, kecewa malah ada juga yang sanggup menyalahkan Sang Pencipta dengan apa yang menimpa ke atas dirinya. Tahukah kita setiap ujian yang datang itu adalah anugerah yang dikurniakan oleh Sang Pencipta kepada kita? Itu tandanya DIA mengasihi dan menyayangi kita. Bukankah semakin banyak cabaran dan dugaan serta ujian yang dihadapi semakin dekat kita kepada Sang Pencipta?

Bagaimana dikatakan kita dekat dan hampir dengan Allah? Bila hati kita resah, gelisah , kecewa dan hampa, kepada siapa kita mengadu? Kepada siapa kita bermunajat tanpa henti? Adakah kita mengadu kepada manusia? Adakah kita merintih dan merayu kepada manusia?

Sekiranya tidak didatangi pelbagai ujian dalam kehidupan kita, mungkin kita alpa dan lalai dengan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Bukankah Sang Pencipta menjadikan manusia dan jin adalah untuk beribadat kepada-NYA?

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu” ( surah Az-Zariyat : ayat 56)


Kalau kita mengetahui hakikat ini, pasti kita akan sentiasa melakukan dan menurut apa yang diperintahkan oleh-NYA. Tetapi masih ramai manusia yang lupa dengan tuntutan dan kehendak ini. Mereka lupa tujuan apa sebenarnya mereka dilahirkan di dunia ini, apa matlamat dan halatuju mereka serta apakah kesudahan kehidupan mereka di akhirat kelak.

Dengan keterlupaan inilah maka wujudlah di muka bumi ini manusia-manusia yang angkuh dan sombong sehingga tidak mempedulikan apa yang dilakukan itu adalah hak ataupun bathil. Sehingga hati-hati mereka tertutup rapat untuk membezakan kebenaran ataupun kezaliman dan kebaikan ataupun kejahatan. Malah ada juga yang merasa bangga dan mendabit dada apabila melakukan kejahatan dan kezaliman terhadap diri sendiri dan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini.

Manusia seperti ini apabila tidak didatangi ujian dan dugaan daripada Sang Penciptanya, maka dia terus alpa dan lalai dengan keangkuhannya. Apabila ujian Sang Pencipta menimpa diri barulah mereka sedar dan insaf serta kembali kepangkal jalan kebenaran.

Maka dengan itulah baru mereka mengakui bahawasanya ujian dan dugaan daripada Sang Pencipta adalah satu anugerah yang paling berharga jika dibandingkan dengan kemewahan duniawi. Justeru itu, setiap yang berlaku terhadap diri kita hadapilah dengan penuh rasa syukur kerana itu adalah satu ANUGERAH DARIPADA SANG PENCIPTA YANG MAHA AGUNG. 



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



1 comments:

Ratu Pari said...

Ujian yang diturunkan Allah sememangnya cukup berat, jika ia diterima dengan keredhaan, akan hadir sedikit ketenangan dalam kehidupan.

Allah meletakkan kepentingan sabar sebagai asas dalam menghadapi ujian dan malapetaka.

Firman-Nya disebutkan, Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al-Baqarah: 45)

Ujian membuktikan kekuatan manusia dalam berhadapan dengan keadaan tersebut. Malah tingkat ujian berbeza menurut kemampuan seseorang.

Ujian hadir dalam pelbagai bentuk, kehendak hati terhadap sesuatu yang dilarang, konflik antara individu yang akrab dalam keluarga, halangan-halangan dakwah, penderitaan, kemiskinan dan kekayaan, kejadian-kejadian di luar jangkauan kecil mahupun besar adalah antara ujian yang sering dihadapi.

Malah ujian dan dugaan sering membawa bersama manusia dengan dua pilihan, bagaimana seseorang menghadapinya.

Adakah dengan menyalahkan takdir atas kejadian kekecewaan yang menimpa sehingga Tuhan turut dipersoalkan atau menerimanya sebagai satu musibah yang mengingatkan diri tentang kebesaran-Nya dan yakin dengan hikmah-Nya.


Ke manakah motivasi tindakan kita dijanakan, sama ada antara yang membunuh keyakinan atau ke arah yang mengukuhkan diri menghadapi cabaran, ia adalah pilihan yang diberikan Allah.

Melalui dugaan inilah, terpamer sikap seorang bergelar Muslim, dalam kelompok mana seseorang itu berada kini. Boleh jadi dalam kelompok Muslim yang benar-benar ikhlas beriman kepada Allah atau sebaliknya. Firman Allah, surah al-Baqarah ayat 155:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Seorang yang beriman, perlu menghadapi setiap dugaan dan cabaran dengan nilai-nilai positif sebagai usaha mengimbangi kehidupan yang sedia agar sentiasa lurus di jalan-Nya.

Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membelakangi suruhan-Nya dengan andaian-andaian palsu kononnya Tuhan tidak menyayanginya lagi sehingga gelap masa depannya.

Kesabaran dalam menghadapi dugaan datang bersama tindakan daripada diri sendiri dan secara kolektif melalui bantuan yang termampu.

Nilai kehidupan berjemaah dalam masyarakat Islam dapat ditingkatkan dengan pertolongan yang diberikan, yang secara langsung mengikat nilai ukhuwah dan pertautan jiwa atas nama persaudaraan Islam.

Dugaan datang bersama hikmah. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara.