BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 23 April 2010

Jangan Biarkan Masa Berlalu

Kadang-kala diri ini,
Terasa ingin melarikan diri,
Ke suatu tempat yang tiada penghuni,
Jauh daripada fitnah duniawi,
Hanya ingin bersendiri,
Tiada siapa di sisi,
Hanya Dia yang sentiasa di hati,
Rabb-ku yang dirindui.

Nak kemana bawa hati yang duka lara? Yang kecewa dan hampa? Walaupun kelemasan, kepada Allah jua tempat kembalinya permasalahan. Segalanya adalah takdir yang telah ditetapkan. Sebagai makhluk kita hanya mampu patuh, akur dan redha. Pasrah dengan perjalanan hidup yang telah Allah aturkan begini.

Hidup ini akan rasa sunyi, kosong bila dilalui dengan membiarkan masa berlalu dengan sia-sia. Mengabaikan sesuatu yang berharga berlalu begitu sahaja. Kita akan rasa bererti bila apa yang kita sayangi dihargai, dipeduli dan dikasihi. Tak kira apa pun perkara dan bendanya. Oleh itu jangan biarkan kekesalan menyeliputi diri suatu hari nanti.

Bila penyesalan tiba dan menghantui diri, makin sukar ketenangan dan kebahagiaan itu untuk diraih kembali. Ayuh ...jangan terlewat atau terlambat.

Hargai lah masa yang ada, masa yang kita miliki sekaranglah yang perlu digunakan dengan sebaik-baiknya. Penggunaan masa hari ini akan menentukan corak masa depan kita.


Penyalahangunaan masa bukan sahaja merugikan kita di dunia bahkan diakhirat. Di akhirat, apabila semua manusia dihadapkan di makamah Allah s.w.t., tiada seorangpun akan dibenarkan bergerak selagi tidak dikemukakan kepadanya lima persoalan berikut:

Sihat sebelum sakit,   Muda sebelum tua,   kaya sebelum miskin,  Lapang sebelum sempit, Hidup sebelum mati...


Demi masa…
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan…
Yang beriman dan beramal saleh


Demi masa…
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan…
Nasihat kepada kebenaran dan kesabaran

Gunakan kesempatan yang masih diberi
Moga kita takkan menyesal
Masa usia kita jangan disiakan
Kerana ia takkan kembali

Ingat lima perkara,
sebelum lima perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua,
kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati

Demi masa…
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan…
Yang beriman dan beramal saleh








Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:


  1. Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.


  2. Melaksanakan amal solih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan silaturahim, berbuat baik dengan jiran tetangga, menginfakkan harta, membuang duri dijalanan dan berbagai-bagai lagi amal solih yang dibuat mendatangkan redha Allah.


  3. Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.


  4. Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

Sebenarnya apabila Allah s.w.t. mengaitkannya dengan masa, bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya kita capai atau tidak. Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang beruntung. Sebaliknya sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dia akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang rugi.


Allah s.w.t. telah bersumpah dengan masa. Lantaran masa itu telah terlalu penting khususnya didalam membuat persediaan untuk menempuhi alam akhirat. Didalam hal ehwal keduniaanpun, penggunaan masa yang cekap akan mendatangkan hasil yang menguntungkan.

Oleh kerana masa tidak dapat ditukar-ganti atau pun diulangi gunakanlah masa dengan sebijak-bijaknya.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




2 comments:

Anonymous said...

Demi masa…kita perlu bersiap sedia. Setiap detik tentu berlalu..takkan tunggu kita di belakang. Sentiasa bergerak tak mampu dikejar….

Sentiasa meninggalkan kita yang leka. Masa selalu di depan…walau depan mata pun kita masih rasa ia sangat singkat.

Anonymous said...

“Masa Adalah Anugerah Tuhan” DAN masa terlalu berharga. Perpatah mengatakan “masa itu emas“. Malahan, masa itu lebih berharga dari emas, lantaran emas boleh dijual beli dan begitu juga emas yang hilang boleh ditukar ganti. Tetapi bukan seperti masa, masa yang berlalu tetap berlalu. Ianya tidak akan berulang lagi.

Masa boleh dibahagikan kepada tiga zaman. Zaman yang berlalu yang tidak akan kembali dan bukanlah milik kita. Zaman yang sudah berlalu, zaman sekarang dan zaman akan datang. Zaman akan datang, belum lagi ada kepastian sama ada kita berpeluang menikmatinya.