Usahawan Muslim diseru tingkat ekonomi di samping laksana fardu kifayah.
SATU daripada tanggungjawab besar umat Islam ialah memastikan makanan dimakan dalam keadaan sentiasa halal, baik dan berkhasiat. Isu makanan halal memberi implikasi besar kepada umat Islam kerana ia ada kaitan dengan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Penggunaan makanan halal juga akan bertambah dengan peningkatan kuasa beli umat Islam di negara sedang membangun dan negara maju. Pada masa sama, kesedaran dan keinsafan umat Islam sendiri mengenai hukum agama berkaitan halal dan haram melonjakkan permintaan makanan halal.
Kewujudan satu pasaran besar bagi makanan halal di seluruh dunia sudah pasti memberi peluang kepada usahawan dan ahli perniagaan. Malangnya kebanyakan peluang ini sudah lama direbut orang bukan Islam sama ada di Malaysia atau di luar negara.
Secara global kita dapati pengeluar besar makanan halal adalah negara bukan Islam. Dalam pengeluaran daging khususnya, jelas sekali pengeluar utama adalah negara seperti Amerika Syarikat, Argentina, Australia, Kanada, China, India, New Zealand dan United Kingdom.
Pada peringkat serantau, kita dapati Thailand sudah membina nama sebagai pengeluar makanan halal. Dalam negara sendiri, kita tahu usahawan bukan Islam lebih menguasai pengeluaran makanan halal berbanding usahawan Muslim.
Di sini berlaku keganjilan di mana permintaan untuk makanan halal sangat besar dan penting kepada umat Islam di seluruh dunia, namun peluang menjadi pengusaha dan pengeluar pelbagai jenis makanan halal tidak direbut sepenuhnya umat Islam sendiri.
Negara kita sudah menetapkan hasrat untuk menjadi pusat pengeluaran makanan halal bagi keperluan tempatan dan dunia. Kita dapat saksikan beberapa daya usaha sudah dimulakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai pelbagai peluang perniagaan dalam industri makanan halal.
Sejak 1982, proses pengesahan halal untuk makanan sudah diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pengenalan satu piawaian untuk makanan halal MS1500:2004 oleh kerajaan kebelakangan ini dengan sendiri memberi peluang mendapat kelebihan bersaing bagi pengusaha keluaran makanan halal.
Usahawan Muslim tempatan khususnya hendaklah cepat bertindak merebut pelbagai peluang dalam industri makanan halal. Peluang berniaga dalam industri makanan halal terbuka luas pada semua peringkat rantaian bekalan.
Usahawan Muslim mempunyai pilihan sama ada bergiat pada peringkat asas pertanian seperti menjadi penternak atau peladang. Peluang juga terbuka pada peringkat pengilangan dan pembuatan dengan memberi nilai tambah kepada hasil utama makanan daripada pertanian. Pelbagai jenis makanan dapat diusahakan untuk memenuhi kehendak pengguna Islam.
Seterusnya usahawan Muslim boleh membabitkan diri dalam sektor pemborongan makanan halal. Ini boleh dilakukan dengan menjadi pengedar makanan halal bagi produk import atau pengeluaran tempatan. Jika negara terpaksa mengimport makanan halal, sebaiknya biarlah usahawan Muslim bertindak sebagai pengimport.
Peluang seterusnya kepada usahawan Muslim ialah menjadi usahawan pada peringkat peruncitan. Umpamanya sudah ada usahawan Muslim membuka pasar mini khas untuk barang halal di beberapa tempat. Seharusnya lebih ramai usahawan Muslim bergiat menjadi penjual barang halal.
Untuk bergerak maju dalam industri makanan halal, usahawan Muslim mesti memastikan produk keluaran mereka berkualiti tinggi dan menepati semua keperluan syarak supaya terjamin halal. Pada masa sama produk dikeluarkan hendaklah dapat bersaing dari segi harga.
Usahawan Muslim juga perlu bijak menggunakan teknologi, peralatan dan kemudahan terkini untuk bersaing dalam dunia perniagaan. Perhatian harus juga diberi kepada aspek promosi dan pengiklanan untuk menembusi pasaran makanan halal.
Umat Islam memerlukan kemunculan lebih ramai usahawan Muslim untuk memastikan keperluan pengguna Islam dapat dipenuhi dengan sempurna. Usahawan Muslim perlu tampil menyambut peluang dalam industri makanan halal di samping menyempurnakan fardu kifayah.
0 comments:
Post a Comment